Thursday, July 27, 2006

Tingkatkan kualiti latihan OKU

Utusan Malaysia, 27 julai 2006


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HAMDEN RAMLI

BANGI 26 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kualiti latihan kemahiran untuk orang kurang upaya (OKU) di negara ini ditingkatkan supaya mereka mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Menurut Perdana Menteri, antara langkah yang perlu diambil ialah memastikan tahap latihan kemahiran mereka adalah sama seperti mana yang diterima oleh orang normal.

Beliau menegaskan, dengan adanya latihan seperti itu, golongan OKU akan terdedah dalam satu sistem yang lebih bermutu dan akhirnya hasrat kerajaan untuk melihat mereka lebih berjaya di dalam kehidupan seharian akan tercapai.

Kita perlu bersungguh-sungguh menyediakan latihan kemahiran kepada mereka dan bukannya hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka juga salah satu komponen masyarakat yang perlu dibela dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita mahu mereka dapat bekerja dan bersaing dengan orang lain dan dengan itu, tahap latihan yang mereka lalui perlu sama dengan orang yang sempurna,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Nada Nadi Komuniti sempena ulang tahun ke-60 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Timbalannya, Datuk G. Palanivel, Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Faizah Mohd. Tahir.

Perdana Menteri berkata, saranannya itu juga berkait rapat dengan kepentingan membina keupayaan serta potensi OKU memandangkan cabaran yang mereka perlu hadapi pada masa ini dan masa akan datang adalah cukup hebat.

“Kerajaan tidak pernah mengetepikan mereka dan bukan dasar kita mendiskriminasikan golongan ini. Bagi saya, mereka perlu diberikan latihan secukupnya,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta badan korporat mengambil satu persatuan kebajikan sebagai anak angkat bagi memudahkan penglibatan syarikat tersebut dalam program-program kebajikan di negara ini.

“Saya percaya dalam negara kita terdapat banyak syarikat atau badan korporat yang begitu prihatin dengan golongan yang tidak bernasib baik. Syarikat-syarikat seperti ini boleh menjadikan persatuan kebajikan yang terbukti aktif sebagai anak angkat mereka.

“Melalui persatuan itu, mereka (badan korporat) boleh merangka dan seterusnya merealisasikan program yang mampu meningkatkan taraf hidup golongan tersebut dengan lebih mudah,’’ tambahnya.

1 comment:

Anonymous said...

I like it! Good job. Go on.
»