Edisi Timur: Letupkan selamatkan 7 sekeluarga
Oleh Rosliza Mohamed
KOTA BHARU: Beberapa letupan kecil yang berlaku dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bunut Payong di sini, semalam, menyelamatkan seorang gadis dan seorang warga emas yang cacat pendengaran dari menjadi mangsa.
Dalam kebakaran kira-kira jam 4.10 pagi itu, Helwina Hadini, 23, tersedar daripada tidur selepas terdengar letupan kecil dari ruang tamu rumahnya.
Dia kemudian mengejutkan semua ahli keluarganya apabila ternampak api semakin marak.
Seorang bekas pengetua, Mustafa Hapipi Hasan Hilmi, 59, berkata anak perempuannya itu kemudian meluru ke bilik tidurnya dan memberitahu mengenai kejadian itu.
Menurutnya, dia yang tidur bersama isterinya, Noraziah Abdul Rahman, 48, tanpa berlengah mengejutkan tiga lagi anak mereka berusia antara lapan hingga 17 tahun di bilik tidur masing-masing.
“Saya turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan emak saudara, Halimah Abdullah, 59, yang cacat pendengaran dan anggota kerana api hampir merebak ke biliknya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Selain memusnahkan rumah, kebakaran awal pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta Chevrolet Aveo milik Helwina yang baru dibeli setahun lalu musnah.
Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas ketika keluarga berkenaan sedang tidur di dalam bilik masing-masing di rumah dua tingkat itu.
Mustafa berkata, dia cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan cepat.
“Walaupun hilang harta-benda bernilai kira-kira RM300,000, saya tetap bersyukur kerana keluarga selamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment