Sukar dapat pasangan normal
JIKA boleh, jiwa orang kerdil tidak mahu bertemu jodoh sesama orang kerdil. Bagi lelaki kerdil, mereka bimbang jika berkahwin sesama insan senasib, kemungkinan zuriat yang bakal lahir mewarisi ciri fizikal ibu bapa.
Bagaimanapun, harapan itu tidak mudah ditunaikan kerana pelbagai faktor, termasuk kekhuatiran ibu bapa gadis normal bahawa lelaki kerdil tidak akan mampu menyara anak mereka.
Inilah pengalaman Jasmi Shafie yang putus tunang dengan seorang gadis normal kerana tanggapan itu.
“Mungkin itu alasan, tetapi itulah yang saya dengar. Kami bertunang selama setahun, tetapi kerana sebab kecil, pertunangan diputuskan,” katanya.
Jasmi kemudian bertemu jodoh dengan gadis senasib dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun. Semua anak lebih tinggi daripada Jasmi dan isterinya, tetapi anak bongsu menghadapi beberapa masalah kesihatan.
Bagaimanapun, ada orang kerdil yang bertemu jodoh gadis normal. Bukan seorang, tetapi tiga orang dan kini dua orang pada masa sama.
Walaupun beristeri dua, Ikhsan Sirat, 44, menempuh laluan sukar pada usia lewat 20-an untuk mencari pasangan hidup.
“Saya memang hendak kahwin dan keluarga di Pontian, Johor, pun suruh menamatkan zaman bujang. Keluarga turut mencarikan calon yang sesuai, tetapi sedih kerana apabila pergi meminang, pelbagai alasan diberikan apabila mengetahui keadaan diri saya.
“Pinangan ditolak dengan mengatakan saya kerdil, tetapi dengan berhelah seperti anak gadis mereka belum sedia berkahwin. Mungkin tidak menyinggung perasaan saya, tetapi saya faham makna tersirat,” katanya.
Ikhsan berkata, gadis normal tidak menolak apabila diajak keluar berjalan, tetapi akan memberi pelbagai alasan apabila dia menyuarakan hasrat hati untuk menjalin hubungan serius.
Bagaimanapun, hasil usaha keluarga, Ikhsan bertemu gadis normal, tetapi perkahwinan tidak bertahan lama. Dia kemudian berkahwin lain, seorang gadis normal dan mungkin sudah jodohnya, dia berkahwin dengan isteri kedua yang juga normal.
No comments:
Post a Comment