Monday, July 10, 2006

Edisi Timur: Roslan bantu insan senasib

Harian Metro, 10 julai 2006

Oleh Adnan Mohamad

TUMPAT: Walaupun terpaksa merangkak dan berkerusi roda untuk ke pekan, seorang pemuda kurang upaya, Roslan Ismail, 34, dari Kampung Pulau Seratus, di sini, sanggup menempuhi halangan itu demi berbakti kepada insan yang senasib dengannya.


Roslan yang cacat kakinya akibat penyakit polio sejak dilahirkan sanggup menggunakan kerusi roda sebelum merangkak di atas titian bagi menaiki bot melintasi Sungai Kelantan sejauh lebih dua kilometer untuk menuju ke Pangkalan Jeti Kok Majid, dekat sini.

Tindakannya itu bukan untuk dirinya sendiri tetapi hanya untuk membantu insan senasib dengannya yang tidak mempunyai pengetahuan serta terperuk di perkampungan yang daif tanpa diketahui pihak berkuasa.

Ketika dikunjungi di rumahnya semalam, Roslan berkata keinginan untuk membantu insan cacat timbul dalam hatinya apabila tersentuh dengan keadaan seorang kanak-kanak, Intan Syafikah Fauzi, 2, yang menghidap penyakit bengkak hati, suatu ketika dulu.

Menurutnya, dia terharu apabila mendapati kanak-kanak terbabit tidak mempunyai belanja mencukupi bagi menjalani pembedahan dan terpaksa meminta derma.

Katanya, pada masa itu, dia tidak mempunyai alternatif lain dan bertindak mencetak sebanyak 1,000 keping risalah bagi diedarkan kepada orang ramai supaya menderma bagi membiayai pembedahan kanak-kanak itu.

“Bermula dari situlah, saya semakin bersemangat melakukan kerja amal walaupun kanak-kanak terbabit tidak sempat menjalani pembedahan kerana meninggal dunia sedangkan wang yang dikutip sudah mencukupi,” katanya yang mempunyai sijil dalam bidang komputer dan kesetiausahaan.

Menurut anak kelapan daripada sembilan beradik itu, berikutan itu rumahnya kini menjadi seolah-olah tempat mengadu bagi penduduk kampung disebabkan kesungguhannya membantu insan kurang upaya.

Roslan berkata, sejak bergiat aktif sebagai sukarelawan dalam membantu orang kurang upaya (OKU), kira-kira 30 individu cacat atau keluarga miskin sudah dibantunya.

“Kaedah yang saya gunakan adalah mudah saja. Setiap akhbar atau majalah yang saya baca, saya akan perhatikan betul-betul.

“Selepas itu, saya akan menulis surat atau menghantar e-mel kepada pihak terbabit dengan merayu supaya menyumbangkan derma atau apa saja bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, jika ada pihak yang sanggup membantu, mereka boleh menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai orang yang ingin mereka bantu.

Roslan berkata, dia lakukan semua itu bukannya untuk mengharapkan balasan tetapi bagi menyedarkan orang ramai terutama yang normal supaya turut membantu insan kurang upaya.

“Bagi saya, jika segala usaha mendapat maklum balas yang baik daripada orang ramai atau sesiapa saja, itu sudah mencukupi.

“Kepada insan yang mendapat bantuan pula, mereka hendaklah bersyukur dan menggunakan kemudahan diterima dengan sebaik mungkin supaya tidak dicerca pihak lain,” katanya.

No comments: