Wednesday, July 05, 2006

Pelajaran ‘murid balang oksigen’ menggalakkan

Utusan Malaysia, 5 julai 2006

ALOR STAR 4 Julai - Keluarga Mohamad Zulhilmi Yahaya, murid yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram (kg) ke sekolah setiap hari gembira dan bersyukur kerana kanak-kanak itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelajarannya.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas itu mendapat tempat keempat dalam peperiksaan pertengahan tahun, dua bulan lalu.

Ibu 'murid balang oksigen' itu, Norizan Yeop, 39, menyifatkan prestasi memberangsangkan anaknya adalah hasil sokongan semua pihak yang memberi keselesaan dan kemudahan untuk Mohamad Zulhilmi, 7, berjaya dalam pelajaran.

Katanya, walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar anak tunggalnya itu, namun tanpa bantuan dan sokongan semua pihak, adalah sukar bagi Mohamad Zulhilmi atau Amy menumpukan perhatian dalam pelajaran akibat menghidap penyakit paru-paru kronik.

Lancar

''Sehingga kini segalanya berjalan lancar bagi Amy berikutan pelbagai bantuan yang disalurkan kepadanya.

''Saya amat gembira dan bersyukur dengan perkembangannya dalam pelajaran dan berharap, impian Amy untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akan tercapai suatu hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah penderitaan Mohamad Zulhilmi dari Taman Makmur, Lunas yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram ke sekolah mendapat perhatian umum setelah Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenainya pada awal tahun ini.

Berikutan laporan itu, pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan kepadanya termasuk pengurangan kos pembelian bekalan gas itu oleh Malaysia Oxygen Bhd. (MOX).

Norizan berkata, Mohamad Zulhilmi menunjukkan penguasaan yang baik dalam kesemua subjek terutama Sains dan Matematik dengan mendapat A bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Menurutnya, ia adalah permulaan yang baik kepada anaknya itu untuk terus berusaha bersungguh-sungguh.

''Kami akan terus memberinya semangat supaya berusaha meningkatkan prestasi. Biarpun Amy mempunyai masalah kesihatan, namun kami sekeluarga tidak mahu ia menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya," katanya.


No comments: