Thursday, July 06, 2006

Kempen pesakit strok

Berita Harian, 6 julai 2006


Sokongan keluarga mempertingkatkan keupayaan untuk pulih sekali gus beri kehidupan bermutu

MANGSA serangan strok berpeluang menjalani hidup sihat dan normal sekiranya mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan masyarakat. Ini terbukti apabila lebih 1,700 bekas pesakit strok yang menjadi ahli Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam), mampu menikmati hidup seperti sedia kala hasil motivasi yang diberikan badan sokongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyeru lebih ramai tampil ke depan untuk menyertai kumpulan sokongan yang ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu pesakit strok bangkit menjalani hidup lebih bererti.

“Kumpulan sokongan seperti Nasam amat penting bagi meniup semangat mangsa serangan strok. Tanpa dorongan, mereka akan terus terlantar dan kehilangan kehidupan yang pernah dilalui sebelum ini. Jangan tunggu pihak kerajaan saja untuk menubuhkan kumpulan sokongan ini, sebaliknya orang ramai boleh menyertai NGO dan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk membantu golongan ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran ‘Kempen Do Good, Look Good’ bagi meraih dana membantu bekas pesakit strok di pusat beli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen yang berlangsung sehingga Ogos ini, dianjurkan Nasam dengan kerjasama salun rambut La’Mode yang mensasarkan jumlah kutipan berjumlah RM70,000. Mereka yang menderma sekurang-kurangnya RM70 ke tabung Nasam bakal menerima baucar yang boleh ditebus untuk mendandan rambut di La’Mode. Menjayakan kempen berkenaan, bagi pihak kementerian, Shahrizat menyumbangkan RM20,000 kepada badan berkenaan. Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Nasam, Janet Yeo dan Ketua Eksekutif La’Mode Holdings, Alex Lim.

Shahrizat berkata, motivasi yang diberikan sama ada oleh kumpulan sokongan terutama ahli keluarga dapat membantu mengurangkan penderitaan fizikal dan emosi pesakit.

“Saya percaya setiap keluarga pernah mempunyai ahli keluarga yang diserang strok. Strok adalah penyakit yang semakin meningkat dari segi jumlah dan usia. Jika dulu kita dengar strok hanya menyerang mereka yang berusia 90 tahun, tetapi hari ini, semakin ramai golongan muda berusia 20-an juga mengalaminya.

“Perkara yang perlu difikirkan, apa yang akan terjadi selepas mangsa keluar dari hospital? Siapa yang akan menjaga mereka dan apakah ahli keluarga mampu untuk menjalankan tanggungjawab ini? Keluarga dan penjaga perlu diberikan latihan khusus untuk menjaga dan merawat pesakit ini, kerana melaluinya mereka masih berpeluang menjalani hidup seperti biasa”, katanya.

Sementara itu, Yeo berkata, setiap tahun Nasam berusaha menubuhkan pusat baru yang menelan belanja antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan kos penyelenggaraan sekitar RM10,000 hingga RM12,000 sebulan.

“Setakat ini, Nasam memiliki enam pusat di Petaling Jaya, Ampang, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Klang. Pusat terbaru di Johor masih dalam perancangan untuk dibuka tidak lama lagi. Kita memiliki 1,700 pesakit yang menjalani pelbagai program pemulihan untuk menjalani kehidupan normal semula. Dana yang bakal diperoleh menerusi kempen ini bakal disalurkan untuk membayar ahli fisioterapi,” katanya.

Nasam yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu bermatlamat membantu mengurangkan penderitaan pesakit strok dan mendidik mereka untuk menikmati hidup seperti biasa. Selain menjalani latihan fisioterapi, mereka juga diberikan kaunseling sekurang-kurangnya dua jam setiap hari.

“Motivasi dan dorongan amat penting kerana kebanyakan pesakit ini mengalami tekanan selepas tidak boleh berjalan atau lumpuh. Amat menyedihkan apabila ada antaranya ditinggalkan pasangan, sama ada suami atau isteri semata-mata kerana diserang strok.

“Keluarga tidak sepatutnya berasa malu jika ahli keluarga mereka mengalami strok kerana hakikatnya ia boleh dipulihkan. Bezanya cuma antara cepat atau lambat. Misalnya saya sendiri dulu diserang strok lebih 17 tahun dan akhirnya berjaya pulih seperti biasa,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang derma boleh menghubungi Nasam di talian 03-79564840.

No comments: