Wanita cacat minta pampasan
Utusan Malaysia, 10 julai 2006
Oleh Ali Mahmood
|
|
KUANTAN 9 Julai - Seorang wanita cacat menuntut supaya kerajaan membayar pampasan kerana mendakwa diberhentikan sebagai pekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa mengikut prosedur yang betul 20 tahun lalu.
Wanita itu, Minah Mohd. Daud, kini berusia 61 tahun, yang tidak mempunyai kaki dan tangan diberhentikan sebagai kerani am di JKM pada tahun 1986 dan telah dijanjikan untuk mendapat pencen tetapi malangnya sehingga hari ini janji tersebut tidak ditunaikan.
Minah, anak bekas anggota polis mengalami kecacatan itu sejak lahir telah diambil bertugas sebagai kerani am pada tahun 1969.
‘‘Hidup saya kini ibarat sampah. Sudah 20 tahun saya menanti bayaran pencen seperti yang dijanjikan setelah JKM mengakui tindakan mereka memberhentikan saya adalah salah.
‘‘Saya bukannya minta sedekah tetapi hanya menuntut hak saya sebagai seorang bekas kakitangan kerajaan,” kata Minah kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Minah, JKM memberhentikannya dengan alasan tidak lagi berupaya untuk bertugas.
Setelah merasakan dirinya teraniaya, dia bertemu pihak atasan di JKM bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan hasil daripada beberapa siri pertemuan, jabatan mengakui telah menamatkan perkhidmatannya tanpa alasan yang munasabah dan dengan cara yang salah.
Pihak JKM memberitahunya, walaupun telah dipecat tetapi dia layak untuk mendapat bayaran pencen daripada tarikh mula perkhidmatannya ditamatkan.
Menurut Minah, dia diambil bekerja bersama beberapa pekerja cacat yang lain sebagai kerani am di Lembaga Loteri JKM.
Minah yang turut mengalami komplikasi usus sejak kecil menggunakan kaki dan tangan palsu yang disumbangkan oleh persatuan polis sehingga dia dewasa.
Bapanya, Mohd. Daud Ismail meninggal dunia kerana sakit tua pada tahun 1991.
Minah anak bongsu daripada dua beradik turut aktif dalam persatuan pertubuhan bukan kerajaan di Pusat Pemulihan Orang Cacat Cheras sebagai guru Bahasa Inggeris.
Dia telah berkahwin pada tahun 1972 dengan Zainuddin Kassim dan dikurniakan seorang anak lelaki, Zukri Zainuddin, 31, yang kini menjadi tempat dia bergantung selepas kematian suami.
No comments:
Post a Comment