Tuesday, July 18, 2006

‘Saya macam tak percaya wajah Elis semakin pulih’


Berita Harian, 18 julai 2006


KUALA LUMPUR: “Keadaan Elis seperti magik (luar biasa), saya macam tidak percaya wajah anak saya akan beransur pulih dan bengkak lebihan cecair otak di mukanya juga sudah tiada” kata ibu Elis Rochmita Sari, Purwandari, 23, sejurus anaknya itu dibawa keluar dari dewan bedah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Elis, 4, ketika ditemui masih keletihan dan berkeadaan separuh sedar selepas lebih dua jam menjalani pembedahan neurologi untuk menyalurkan lebihan cecair otak terkumpul ke ususnya.

Pembedahan diketuai Pakar Perunding Pembedahan Neurologi PPUM, Prof Madya Dr Vickneswaran terhadap kanak-kanak mangsa gempa bumi Yogyakarta itu, bermula tepat jam 9 pagi.

Ibunya, Purwandari berkata, beliau percaya peluang anaknya untuk melihat semula juga cerah berikutan kejayaan pembedahan itu serta berharap rawatan selepas ini yang dirancang oleh pakar perubatan PPUM, berjalan lancar.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, doktor dan kakitangan PPUM serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak jemu memberi semangat serta layanan baik kepada kami sekeluarga.

“Elis seorang anak yang tabah walaupun dia baru berusia empat tahun, dia cepat matang dan saya percaya Elis akan dapat melihat semula,” katanya yang turut ditemani suaminya, Krisyanto, 34.

Pembedahan itu turut disiarkan secara langsung menerusi program Selamat Pagi Malaysia di RTM1.

Usaha membawa Elis, kanak-kanak dari Yogyakarta, Indonesia yang menghidap penyakit lebihan cecair otak, menjalani rawatan di Malaysia disuarakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau dan sekumpulan pegawai serta pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Gunting, Desa Karung Gede, Yogyakarta, baru-baru ini.

Kos bagi pembedahan dan rawatan Elis sebanyak RM70,000 adalah menerusi kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri-Radio Televisyen Malaysia (RTM), manakala kos penginapan ibu bapanya ditanggung Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pengurus Perhubungan Awam PPUM, Yahaya A Hamid berkata, pihaknya akan terus memantau rapi keadaan Elis untuk memastikan tidak berlaku komplikasi jangkitan kuman terhadap kanak-kanak itu.

“Pembedahan hari ini (semalam) dianggap berjaya, namun kita berharap dan berdoa kesihatan Elis akan semakin baik, sekali gus memulihkan semula penglihatannya.

“Insya-Allah PPUM akan mengadakan sidang media dalam waktu terdekat untuk mengumumkan tarikh pembedahan lanjutan kanak-kanak ini,” katanya.

No comments: