Friday, July 21, 2006

Elis semakin ceria, aktif


Utusan Malaysia, 21 julai 2006



ELIS ceria didukung ibunya Puswandari di wad kanak-kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 20 Julai – Ceria dan aktif. Itulah perkembangan terbaru Elis Rochita Sari tiga hari selepas berjaya menjalani pembedahan mengalirkan cecair otak ke ususnya.

Malah, kanak-kanak itu tidak langsung menunjukkan rasa sakit atau tidak selesa dengan perubahan pada wajahnya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Elis dilihat sering menyentuh bekas ketumbuhan yang telah susut itu.

Ibu Elis, Puswandari, 23; berkata, anaknya aktif dan lasak seperti biasa.

“Kadang-kadang saya letih melayan karenah Elis. Setiap kemahuannya perlu dituruti segera,’’ katanya.

Puswandari juga berkata, Elis sudah mula makan nasi.

“Sebelum ini dia tidak mahu makan nasi. Ubat pun susah nak makan. Tetapi hari ini dia sudah mula makan nasi walaupun nasi kosong,’’ katanya kepada pemberita.

Menyentuh mengenai pembedahan ‘membina’ batang hidung kanak-kanak yang berusia empat tahun itu dengan menggunakan tulang dadanya, bapa Elis, Krisyanta, 34, berkata, pembedahan itu dijangka dilakukan pada hujung bulan ini.

“Tapi kalau Elis sudah betul-betul pulih dan tiada masalah...pembedahan akan dicepatkan.

“Esok dia akan mula menjalani pemeriksaan mata,” katanya.

Hidung Elis sebelum ini gagal terbentuk dengan sempurna manakala matanya juling akibat penyakit ensephalacelo yang dideritainya.

Kisah penderitaan Elis yang didedahkan oleh Utusan Malaysia itu mendapat simpati banyak pihak.

1 comment:

Anonymous said...

semoga cepat sembuh.