Wednesday, April 25, 2007

HUSM berjaya bedah otak rawat Parkinson

Utusan Malaysia, 25 April 2007

Oleh HAPIZAH AZIZ

KOTA BHARU 24 April – Kejayaan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini menjalankan pembedahan stimulasi otak bagi merawat penyakit Parkinson baru-baru ini memberi peluang kepada pesakit terutama di Pantai Timur dipulihkan dengan kos yang jauh lebih rendah.

HUSM merupakan satu daripada tiga hospital di negara ini yang telah menjalankan kaedah terbaru itu sejak dilengkapi dengan kepakaran serta peralatan pembedahan dan rawatan terkini berharga RM1.7 juta.

Ketua Jabatan Neurosains HUSM, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, sekiranya pembedahan dilakukan di hospital swasta, ia dianggarkan menelan kos lebih RM200,000 berbanding sekitar RM90,000 di HUSM.

Katanya, pembedahan dilakukan bagi memasukkan elektrod dengan dua saluran di kawasan sel otak sebelah kiri dan kanan kepala.

“Elektrod sepanjang enam sentimeter itu digerakkan dengan kuasa bateri kecil yang ditanam pada bahagian dada pesakit dan akan bertindak menyeimbang dan meredakan getaran anggota pesakit,” ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini bagi memaklumkan kejayaan pembedahan yang dilakukan ke atas seorang pesakit Parkinson yang kronik, Che Idris Che Ahmad, 54, pada 21 Mac lalu.

Turut serta pakar neurologi, Dr. Abdul Rahman Izani Ghani dan perunding neurologi, Prof. Madya John Tharakan.

Katanya, dengan kejayaan itu, ia memberi kemudahan pesakit di Pantai Timur dan juga di negeri-negeri di utara Semenanjung menjalani kaedah rawatan terkini itu.

Beliau menganggarkan terdapat antara 2,000 hingga 3,000 orang di kawasan berkenaan yang mengidap penyakit itu termasuk sekitar 500 hingga 600 orang di Kelantan.

“Terdapat pesakit yang enggan mendapatkan rawatan hospital untuk mengelak ia menjadi kronik dan hanya tertumpu kepada rawatan tradisional kerana merasa malu,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan kemajuan teknologi terkini, kejayaan rawatan berkenaan membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan yang berkualiti, mampu berdikari termasuk kembali bekerja.

Beliau memberitahu, parkinson adalah sejenis penyakit yang menyebabkan pergerakan tidak terkawal dan antara puncanya ialah keturunan, kecederaan otak yang lama, jangkitan kuman dan serangan angin ahmar.

Menurutnya, pesakit yang menjalani pembedahan perintis itu dikenal pasti mengidap Parkinson sejak 1991 dan memakan ubat untuk penyakit itu, namun sejak lima tahun kebelakangan ini, penyakitnya semakin teruk dan dicadangkan menjalani pembedahan.

‘‘Pembedahan selama tiga jam dilakukan oleh sekumpulan pakar neurosains, bius, psikologi dan radiologi dengan dua jam daripadanya, pesakit berada dalam keadaan sedar dan mengetahui perjalanan pembedahan yang dilakukan,” katanya.

Tuesday, April 24, 2007

Dapat kerusi roda

Utusan Malaysia, 24 April 2007

SOLLEH Ahmad dan isterinya, Zauyah Abdullah Hadi bersama anak kembar mereka, Noor Shaqilah (kanan) dan Noor Syafawani di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 23 April – Kehidupan dua beradik kembar berusia enam tahun, Noor Syafawani Solleh, dan adiknya, Noor Shaqilah yang terlantar sejak dilahirkan kini berubah apabila pergerakan mereka menjadi lebih mudah selepas menerima dua kerusi roda sumbangan orang ramai.

Malah Noor Syafawani yang mempunyai berat badan 10 kilogram (kg) dan Noor Shaqilah, 26kg, kini tidak perlu lagi didukung oleh ibu bapa untuk ke mana-mana khususnya bagi mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya hanya ditolak di atas kerusi roda masing-masing.

Bapa kanak-kanak itu, Solleh Ahmad, 42, berkata, sumbangan tersebut memberi makna yang cukup besar kepada anak-anaknya yang sedang membesar kerana ia dapat meringankan beban dua beradik itu.

‘‘Jarak di antara rumah dengan hospital kira-kira 500 meter, maka saya dan isteri boleh menggunakan kerusi roda untuk ke sana sambil mereka bersiar-siar,” katanya.

Solleh yang merupakan kakitangan Pos Malaysia berkata demikian selepas menerima sumbangan kerusi roda berharga RM2,600 setiap satu daripada institut pengajian tinggi swasta, Universiti Terbuka Malaysia, di rumahnya di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Pos Malaysia Pulau Pinang, Abdul Hadi Hamid.

Semalam, Mingguan Malaysia menyiarkan kesengsaraan Solleh dan isterinya, Zauyah Abdullah Hari, 42, menjaga anak kembar kesayangannya mereka yang terlantar sejak dilahirkan pada 10 Disember 2001.

Noor Syafawani cacat anggota tangan dan kaki akibat menghidap penyakit kejang otot (cerebral palsy), manakala adiknya, Noor Shaqilah tidak ada sebarang pergerakan sejak dilahirkan kerana menghidap penyakit kepala berair (hydrocephalus).

Berikutan laporan tersebut, pelbagai pihak sama ada individu, badan bukan kerajaan dan parti politik termasuk dari Brunei tampil menghubungi suami isteri itu untuk menghulurkan bantuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyatakan komitmen menyumbang kerusi roda khas dan bantuan RM300, Pergerakan Pemuda UMNO menyumbang RM5,000, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah menyerahkan kerusi roda bernilai RM1,900 untuk Noor Syafawani manakala Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salehuddin Ayub menyumbang RM3,700.

Sunday, April 22, 2007

Isteri lumpuh, 2 anak sakit mental

Harian Metro, 22 April 2007

KUALA SELANGOR: Sukar digambarkan penderitaan seorang lelaki warga emas apabila terpaksa menghabiskan separuh dari usianya menjaga isteri yang uzur dan lumpuh, selain dua anak lelakinya yang mengalami masalah mental di sebuah rumah usang hampir roboh sejak 30 tahun lalu.

Lebih menyayat hati apabila salah seorang daripada anak lelakinya yang lumpuh pada kaki selain kecacatan mental sejak lahir gemar berbogel sepanjang masa.

Midon Abas, 68, berkata, kepayahan hidup yang dialami itu menyebabkan mereka sekeluarga hidup dalam keadaan daif berikutan dia tidak boleh ke sungai berdekatan untuk mencari rezeki.

Dia yang sebelum ini menyara hidup dengan menjadi pendayung bot pelancong bagi orang ramai yang ingin melawat kelip-kelip di Kampung Kuantan di sini, terpaksa berada sepanjang masa di rumah bagi menjaga isteri dan anaknya.

“Hidup saya hanya bermain dengan air mata walaupun saya sedar ini semua ujian dari Allah. Namun, setiap kali menatap wajah isteri yang uzur selain memikirkan nasib anak-anak, hati saya cukup sebak,” katanya,

Menurutnya, isterinya, Bontak Yahya, 60, sebelum ini terjatuh ketika sedang memasak nasi di dapur kira-kira 10 tahun lalu menyebabkan dia lumpuh tanpa diketahui punca sebenar.

“Sudah puas saya menghantarnya berubat di hospital dan secara tradisional namun penyakitnya gagal diubati. Malah dia semakin kurus dan hanya mampu duduk bersandar di tepi dinding rumah setiap hari.

“Dia turut mengalami masalah pendengaran dan tidak lagi dapat bercakap seperti dahulu. Malah untuk makan dan mandi pun perlu dibantu setiap hari.

“Manakala anak saya, Nasharuddin, 31, pula cacat sejak lahir dan tidak dapat bertutur seperti anak orang lain. Dia sekadar boleh mengengsot di ruang tamu rumah,” katanya.

Midon berkata, lebih memeningkannya apabila Nasharuddin tidak suka memakai baju atau seluar sebaliknya suka berbogel hampir sepanjang masa.

“Keadaan Nasharuddin yang cacat menyebabkan dia beberapa kali terjatuh dari tangga dapur atau tangga hadapan rumah hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Menurutnya, anaknya itu yang hanya tahu menangis dan tersenyum terpaksa disuap makan dan minumnya setiap hari selain dimandikan.

“Saya sudah tua dan kadang-kadang mengalami sakit semput, namun terpaksa kuatkan semangat untuk memasak dan memberi isteri dan anak-anak makan.

“Cuma adakalanya seorang lagi anak lelaki saya, Johari, 41, yang turut mengalami masalah mental akan turun menjala di Sungai berhampiran untuk mendapatkan ikan bagi juadah makan malam,” katanya.

Kembar Siam Romania jalani pembedahan

Mingguan Malaysia, 22 April 2007

CLEVELAND 21 April – Ibu bapa kepada pasangan kembar Siam, Anastasia dan Tatiana, 3, semalam melahirkan kebimbangan berhubung risiko tinggi pembedahan bagi memisahkan kepala anak mereka yang bercantum.

“Kami sangat bimbang walaupun kami juga optimis ia akan berjaya” kata Alin Dogaru, paderi Katolik Byzantine kepada Associated Press (AP) sewaktu dia dan isterinya, Claudia, menunggu pasangan kembar itu dibedah di Hospital Kanak-Kanak Rainbow di sini.

Dogaru, 31, dan Claudia, 31, berasal dari Romania.

Pasangan kembar yang dilahirkan di Rom, Itali itu bercantum di bahagian kepala, dengan bahagian atas kepala Tatiana bersambung di bahagian belakang kepala Anastasia.

Pembedahan memisahkan mereka itu melibatkan sekumpulan 50 doktor dan jururawat.

Pasangan itu dijadual melalui empat peringkat pembedahan dalam tempoh beberapa minggu dan prosedur semalam adalah fasa pertama usaha memisahkan mereka.

– AP

Friday, April 20, 2007

Darul Najjah rancang buka pusat pembelajaran khas

Berita Harian, 20 April 2007


KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur dan Selangor mahu menubuhkan pusat pembelajaran khas kanak-kanak disleksia bagi memberi peluang mendapat peluang pendidikan sama dengan kanak-kanak normal.

Menerusi perancangan yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan sokongan Kementerian Pelajaran, dua kawasan iaitu Bukit Lanjan dan Jalan Kebun, Klang di kenal pasti untuk pembinaan pusat itu.

Setiausahanya, Salmah Nordin, berkata dengan adanya pusat itu kelak, ia akan memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara menghantar anak mereka belajar di pusat khas pembelajaran anak disleksia.

Beliau berkata, pihaknya merancang membina pusat itu tahun ini dengan sasaran menempatkan 100 pelajar.

“Persatuan memerlukan peruntukan kira-kira RM900,000 untuk membina pusat itu di Bukit Lanjan atau di Jalan Kebun, Klang yang disediakan JHEOA Selangor.

“Kita harap lebih ramai masyarakat tampil memberi sumbangan kepada persatuan bagi membolehkan rancangan membina pusat itu menjadi realiti untuk anak-anak disleksia,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Disleksia An-Najjah yang disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, yang turut dihadiri Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Saudara Baru An-Najjah di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Pahang menyumbang RM100,000 kepada tabung berkenaan. Turut memberi sumbangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz dan Yayasan Pendidikan Titiwangsa, masing-masing RM5,000.



Mengenai Pusat Jagaan Anak Yatim dan Saudara Baru An-Najjah di Jalan Kent 2, Jalan Maktab di sini, katanya ketika ini ada 19 penghuni, termasuk anak Orang Asli, anak saudara baru dan anak yatim.

Katanya, daripada jumlah itu anak Orang Asli dan saudara baru masing-masing enam orang dan dua anak yatim yang mengalami disleksia.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian atas nama Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur dan Selangor menerusi nombor akaun 564212-10-3300 (Maybank Jalan Maktab).

Wednesday, April 04, 2007

Hishammuddin ‘belajar semula’ di sekolah rendah

Utusan Malaysia, 4 April 2007

PARIS 3 April – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ‘kembali semula’ ke bilik darjah hari ini untuk mempelajari selanjutnya tentang program mengintegrasikan pelajar cacat penglihatan dengan rakan sebaya mereka yang normal di sebuah sekolah rendah.

Sambil duduk di bangku di bilik darjah, beliau bertanya dengan penuh minat kepada cikgu Valerie Rouget mengenai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan program seperti itu, peralatan yang diperlukan dan bentuk kelonggaran yang perlu ada bagi menjadikan inisiatif itu satu kejayaan.

‘‘Saya memang percaya bahawa pelajar cacat penglihatan harus diintegrasikan dengan kanak-kanak normal di sekolah,’’ katanya ketika melawat Ecole Elementary – satu-satunya sekolah rendah di Paris dengan kelas untuk pelajar cacat penglihatan.

Rouget memberitahu Hishammuddin, ada lapan pelajar di bawah jagaannya, berumur antara 6 dan 12 tahun, yang mempelajari subjek seperti Matematik dan Bahasa Perancis.

Hishammuddin yang kagum dengan apa yang disaksikannya di sekolah itu yang dibina pada 1886, memberitahu pegawai yang mengiringi beliau dan Pengetua sekolah itu, Thierry Jallerat bahawa beliau mengabadikan dalam ingatan apa yang akan dilakukan sekembalinya ke tanah air kelak.

‘‘Meskipun bilik darjah perlu kecil dengan tidak lebih daripada 12 pelajar, kepimpinan sekolah dan kelas serta guru yang mempunyai autonomi untuk menentukan kemajuan pelajar, amat mustahak.

‘‘Hubungan sekolah-ibu bapa juga amat penting bagi kejayaan pelaksanaan program berkenaan,’’ kata Hishammuddin yang diiringi dalam lawatan itu oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan di kementerian berkenaan, Datuk Yusoff Harun dan Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Guru, Datin Asariah Mior Shaharuddin.

Lawatan

Delegasi itu turut disertai Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail dan Anggota Parlimen Cameron Highlands, S. K. Devamany, seorang bekas guru.

Lawatan ke sekolah itu, yang mempunyai pelajar berjumlah 360 orang, merupakan sebahagian daripada jadual padat Hishammuddin hari ini, iaitu hari kedua dalam lawatan empat hari beliau ke sini.

Beliau kemudian dijadual meraikan delegasi 192 anggota tetap UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam jamuan tengah hari dan melawat Institut Antarabangsa bagi Perancangan Pendidikan.

– Bernama