Monday, July 17, 2006

Orang kerdil bukan bahan lawak


Berita Harian, 17 julai 2006



SAIZ menyebabkan orang kerdil menjadi perhatian masyarakat. Di mana saja berada, mereka menjadi tumpuan. Ada yang berbisik dan tidak kurang yang memanggil dengan panggilan tidak enak didengar.

Sejak berabad lamanya, kedudukan orang kerdil dalam masyarakat, tidak kira apa bangsa lebih banyak bersifat negatif.

Dalam filem Barat, banyak watak orang kerdil diwujudkan. Ketika ada watak yang dilihat sebagai positif, tidak kurang yang memperlekehkan mereka seperti menjadi bahan lawak.

Itu adalah dunia lakonan dan di dunia realiti, ada orang kerdil sejak kecil dibuli rakan sebaya seperti yang dialami Jasmi Shafie.

Ketika berusia 11 tahun, Jasmi sukar melupakan peristiwa dikurung selama dua jam dalam bilik air sebuah sekolah rendah di Beseri, Perlis.

“Bilik air terletak berasingan dan jauh dari bangunan kelas. Sebaik saja masuk, tiba-tiba pintu dikunci dari luar. Habislah! Mesti kawan-kawan buat hal lagi. Nak panjat tak boleh. Saya terkurung hingga tukang kebun membuka pintu,” katanya.

Walaupun sudah lama berlalu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) itu sukar melupakan peristiwa yang dianggap menyeronokkan bagi rakan-rakannya, tetapi penyiksaan terhadap dirinya.

Menjadi bahan lawak orang lain menyebabkan perasaan Jasmi cukup pedih hingga dia tidak mahu meneruskan persekolahan.

Mujur nasihat keluarga menyebabkannya meneruskan persekolahan hingga sekolah menengah, tetapi setakat mengambil peperiksaan LCE atau Lower Certificate of Education (setaraf Penilaian Menengah Rendah sekarang).

Jasmi yakin pengalaman pahit yang dialaminya ketika kecil tidak lagi berlaku kerana keadaan sekolah sudah berubah. Jika masih ada yang hendak membuli, guru pasti mengambil tindakan.

Tanpa perangkaan rasmi, Jasmi menganggarkan tidak kurang 2,000 orang kerdil di negara ini. Katanya, walaupun PKOKM hanya mempunyai kira-kira 500 ahli, jumlah sebenar adalah kira-kira empat kali ganda berdasarkan penemuan setiap hari.

Beliau melihat taraf kehidupan orang kerdil di negara ini semakin baik, tetapi di kawasan pedalaman masih ada sedikit masalah. Ada yang belajar setakat sekolah rendah kerana perasaan rendah diri dan tekanan orang sekeliling.

Walaupun mempunyai kekurangan, kehidupan orang kerdil sama seperti manusia lain, termasuk dari segi intelektual. Ada juga orang kerdil berkelulusan profesional dan memegang jawatan baik di sektor awam dan swasta. Malah di Barat, ada orang kerdil menjadi pakar bedah.

Katanya, status orang kerdil sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) melayakkan mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi sesetengah ibu bapa yang mempunyai anak kerdil bersikap tidak peduli atau tidak tahu mengenai bantuan yang ditawarkan.

“Saya tidak menafikan masih ada orang kerdil rendah diri atau malu, tetapi mendaftar diri di JKM memberi banyak manfaat,” katanya.

Seperti manusia normal, katanya keutamaan orang kerdil ialah mendapat pekerjaan, tetapi dengan kekurangan fizikal, sesetengah sektor pekerjaan tertutup rapat seperti pasukan pakaian seragam yang memerlukan ketinggian minimum 5’ 2”.

Walaupun tidak berlaku diskriminasi terhadap orang kerdil di negara ini untuk mendapatkan pekerjaan, sama ada di sektor awam dan swasta jika memenuhi syarat ditetapkan, tetapi kekurangan fizikal sedikit sebanyak menyebabkan peluang mereka tidak secerah orang normal.

Ini yang menyebabkan sesetengah orang kerdil lebih suka bekerja sendiri, terutama dalam bidang perniagaan seperti Jasmi yang pernah menjadi ejen insurans dan kini, perniagaan makanan.

Katanya, bidang perniagaan menjanjikan peluang lebih cerah kepada orang kerdil kerana mereka boleh berusaha sendiri dan JKM memberi bantuan modal untuk memulakan perniagaan secara berkelompok kepada OKU, termasuk orang kerdil.

No comments: