Abang pendorong Mohd. Adam peluk Islam
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
|
|
HIDUPNYA dilihat penuh ‘kegelapan’. Namun, di sebalik tanggapan masyarakat umum itu, Mohd. Adam Abdullah, 35, yang cacat penglihatan sentiasa mendapat nur daripada kitab Allah.
Manakan tidak, pemuda yang dilahirkan sebagai Lee Sum Kiat ini mampu mengalunkan al-Quran dengan begitu baik melalui penggunaan braille.
Pada pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau melagukan ayat 119 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada mereka yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
Dengan maksud yang begitu mendalam, Adam sendiri menemui kebenaran mengenai Islam walaupun dibesarkan sebagai penganut Buddha. Pada ketika ada umat Islam yang tidak menghargai kebenaran yang hadir bersama ketika mereka mula dilahirkan di muka bumi ini, beliau tidak mempersia-siakan kebenaran itu malah begitu ingin merebut kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
“Ini kerana Allah tidak pernah meletakkan syarat sama ada celik atau buta tetapi mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang berhak untuk berada di sisi-NYA. Di sinilah cantiknya Islam, tidak melihat rupa dan paras malah mereka yang buta seperti saya juga ada di tempat dan kedudukannya dalam agama.
“Berbanding agama lain, tidak lebih menganggap butanya saya ini akibat hukuman dan sumpahan pada hal apa dosa saya selama ini,” katanya membuka bicara.
Adam memberi analogi hubungannya dengan al-Quran yang penuh dengan cahaya, petunjuk dan penjelasan itu ibarat pasangan kekasih yang tidak boleh dipisahkan.
“Walaupun saya memeluk Islam 13 tahun lalu iaitu ketika saya berumur 22 tahun namun tidak seminit hidup saya dapat dipisahkan dengan al-Quran ini. Semakin saya mengenali al-Quran semakin kuat perasaan ingin mengenali segala macam isi kandungannya.
“Bagi saya kitab suci ini benar-benar hidup yang begitu ‘menerangi’ kehidupan saya selama ini,” ujarnya.
Tauke ikan
Dilahirkan sebagai anak bongsu daripada 10 adik-beradik iaitu dari keluarga yang begitu terkenal dengan gelaran sebagai tauke ikan di pekan Banting, Selangor, Adam memeluk Islam dengan cara yang begitu unik.
Tanpa memerlukan sebarang sentuhan ajaib atau sebarang kejadian ganjil yang seumpama dengannya, Adam memeluk Islam melalui satu pencarian akibat cacatnya penglihatan.
“Apabila anda gagal untuk melihat, fikiran anda lebih bekerja keras memikirkan mengenai kehidupan dan saya sentiasa tercari apakah makna di sebalik kegagalan saya untuk melihat,” katanya.
Sebagai insan yang cacat penglihatan, beliau tidak menafikan perasaan rendah diri begitu menguasai diri.
“Tetapi saya cuba untuk sentiasa berfikiran rasional, terbuka dan berfikiran positif tetapi saya memerlukan sesuatu sebagai sumber kekuatan saya. Semua ini mula terjawab apabila abang saya yang juga cacat penglihatan memeluk Islam walaupun pada mulanya saya sendiri begitu terkejut dengan tindakannya itu,” jelasnya.
Keputusan abangnya ini menimbulkan pelbagai persoalan kenapa memilih Islam sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang faktor yang boleh mempengaruhi pemikiran untuk mengubah kepercayaan terhadap Buddha selama ini.
“Tinggal pula di persekitaran yang kesemuanya terdiri dari kaum Cina, tidak ada orang Melayu malah jauh sekali sebarang elemen Islam seperti Masjid dan sebagainya,” katanya.
Namun abangnya iaitu Mohd. Ali Abdullah begitu tabah menerima pelbagai tekanan akibat memeluk Islam sehingga hampir dibuang keluarga dan disisihkan masyarakat.
“Ketabahan abang itu menjadi inspirasi kepada saya dan saya percaya agama baru yang dianutinya itu telah membuatkan dia begitu tabah menghadapi dugaan. Semua ini seperti memberi jawapan kepada saya dan saya luahkan hasrat ingin memeluk Islam kepadanya.
“Tetapi saya mendapat tindak balas yang sungguh mengejutkan dari abang, dia agak marah dan tidak setuju dengan keputusan saya itu kecuali saya mesti mempelajari dan mengenali Islam terlebih dahulu kerana tidak mahu saya kecewa di kemudian hari.
“Walaupun jawapan abang saya agak mengecewakan tetapi saya sahut cabarannya itu dan saya tidak mahu ada orang menuduh abang yang kononnya memaksa atau mempengaruhi saya memeluk Islam,” katanya.
Sebenarnya Islam kepada Adam bukanlah perkara yang baru atau asing kerana di peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau mendapat agregat 1 untuk Pengetahuan Agama Islam dan agregat 2, kertas Agama Islam dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketika itu beliau masih Lee Sum Kiat dan malah bercadang untuk mengambil subjek Syariah di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Bagaimanapun, guru yang mengajar tidak dapat membenarkan saya me-
ngambil kertas itu kerana bimbang ia terlalu berat untuk saya ditambah lagi saya bukan penganut Islam ketika itu.
“Begitu pun saya tetap mengambil Sejarah Islam, kertas dua Sejarah dan alhamdulillah saya mendapat gred ‘A’ untuk subjek itu. Bagi saya tidak ada peristiwa atau sejarah yang lebih menarik untuk dipelajari kecuali sejarah Islam terutama dari ia mula diturunkan, Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah sehinggalah sejarah zaman Muawiyah, Abasiah, Mamluk Saljuk, Fatimiyyah dan Uthmaniah,” jelasnya.
Begitupun Adam tetap mengikuti kelas-kelas agama walaupun tidak mengambilnya sebagai subjek peperiksaan.
“Malah ketika itulah minat saya terhadap Islam semakin membuak-buak malah sering membuatkan ustazah yang mengajar menjadi pening kepala apabila saya mengajukan pelbagai persoalan mengenai Islam.
“Ini termasuklah penentuan Allah dalam qada dan qadar terhadap hamba-hamba-NYA,” katanya.
Menurut Adam, abangnya menjadi pendorong kuat yang sering memberi panduan dan nasihat terutamanya agar menjadikan al-Quran sebagai ‘kawan baik’ semasa susah atau senang.
Walaupun mempunyai pelbagai halangan, namun beliau berjaya membuktikan bahawa tidak ada perkara yang mustahil kecuali kita berusaha untuk mendapatkannya.
“Sebagaimana pepatah Arab yang menyebut, Man Jadda Wa Jada; siapa yang berusaha dia akan mendapatnya,” katanya.
Bertugas
Ketika itu Adam bertugas di sebuah perpustakaan awam di Johor Bahru dan ini memberi kesempatan dan peluang yang banyak kepadanya mendalami Islam dan al-Quran.
“Ketika itu juga kerajaan Johor begitu hebat mempromosi dan melaksanakan Program Pembudayaan al-Quran melalui siaran radio yang mengajar dan melatih pendengar mengaji di samping mempelajari tafsiran bagi setiap ayat dan surah-surah dari kitab suci itu.
“Jadi saya sangat mengikuti siaran ini sebagai ‘guru’ belajar mengaji,” katanya.
Adam juga seorang yang sangat mengikuti perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan ini membolehkannya memanfaatkan sepenuhnya terutama kemudahan Internet untuk mendengar bacaan al-Quran oleh mana-mana qari dari seluruh dunia.
“Saya tidak boleh bayangkan betapa hidup saya begitu tenang dan gembira kerana al-Quran benar-benar menjadi sumber kekuatan saya yang dilahirkan buta ini,” katanya.
Perjuangan untuk menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran tidak terhenti malah mendapat suntikan baru apabila abangnya menghadiahkan beberapa jilid al-Quran versi braille.
“Bukan satu tugas yang mudah sebenarnya tetapi berkat tunjuk ajar abang akhirnya saya berjaya membaca al-Quran menggunakan braille,” katanya.
Berpandukan sebuah jilid itu Adam memperdengarkan kemahiran membaca al-Quran yang dibaca dari kiri ke kanan. Ia memerlukan kepantasan hujung jari Adam untuk ‘membaca’ ayat-ayat suci yang sebenarnya merupakan barisan atau titik-titik yang timbul di permukaan kertas.
Tentunya lebih ramai yang ingin mengenali Adam dan mendengar kemerduan suaranya mengalunkan bacaan al-Quran. Semua ini boleh disaksikan apabila Adam merupakan antara 126 peserta yang menyertai Majlis Tilawah al-Quran Saudara Baru yang dianjurkan oleh Nusantara Gems yang bermula sejak semalam.
Ia adalah peringkat saringan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raja Datuk Rezza Shah dalam kenyataannya berkata, orang ramai dijemput hadir ke majlis itu yang merupakan pusingan akhir. Penyampaian hadiah pula akan berlangsung pada malam ini di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah ‘Terbuka Qari’, ‘Terbuka Qariah’, ‘Milineum Qari’, ‘Milineum Qariah’, ‘Azan Putera’ dan ‘Azan Remaja’.
Selain wang tunai, para pemenang juga akan merebut beberapa piala yang berprestij iaitu Piala Pusingan dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Piala Milineum yang disumbangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penaung majlis tersebut. Ini diikuti Piala Azan yang dikurniakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah.
Yang Dipertuan Agung, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agung, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dijangka mencemar duli pada acara kemuncak majlis tersebut.
Selain Adam, Amirah Abdullah, 52, saudara baru dari Filipina juga dijangka akan layak ke pusingan akhir malam ini. Amirah atau nama asalnya, Maria Qurason Modesto memeluk Islam pada 1993 dan pada majlis yang sama tahun lalu tidak memenangi sebarang kategori.
“Tetapi ini tidak sama sekali tidak mematahkan semangat malah sebenarnya saya gembira kerana dapat peluang untuk menguji bacaan dan bertemu dengan saudara baru yang lain,” katanya.
Pada tahun lalu, penguatkuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Mohd. Nordin Abdullah memenangi tempat kedua bagi kategori Terbuka Qari.
Tahun ini beliau mengambil bahagian dengan semangat untuk memeriahkan lagi majlis dan mahu menggalakkan lebih ramai lagi saudara baru untuk menyertai majlis seperti ini.
No comments:
Post a Comment