Thursday, July 27, 2006

Implan koklea ceriakan hidup Wai Ho

Utusan Malaysia, 27 julai 2006


HOW WAI HO gembira di samping bapanya, How Kuan Sen.

Hanya mampu melihat reaksi tanpa mendengar sebarang bunyi adalah gambaran yang diberikan terhadap mereka yang mengalami masalah pendengaran.

Masalah pendengaran boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti masalah kongenital (bayi yang dilahirkan dengan kecacatan), jangkitan di telinga tengah, meningitis, pendedahan bunyi yang terlalu kuat dan faktor usia.

Bagi masalah pendengaran yang tidak teruk, memadai pesakit menggunakan alat bantuan pendengaran untuk menguatkan bunyi.

Tetapi mereka yang mengalami kerosakan membabitkan keseluruhan telinga, pembedahan pemasangan implan koklea adalah kaedah terkini yang berupaya mengembalikan semula sebahagian pendengaran.

Pesakit yang menggunakan kaedah implan koklea mampu berkomunikasi secara biasa tanpa perlu membaca gerak bibir dan menggunakan bahasa isyarat.

Program implan koklea telah dilakukan di negara ini sejak awal tahun 1990-an lagi. Di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pembedahan ini telah banyak dilakukan.

Baru-baru ini, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya telah menyambut kejayaan pembedahan pemasangan implan koklea ke atas seorang pesakitnya, How Wai Ho, yang berusia enam tahun.

Majlis istimewa yang dinamakan Switch On itu diadakan bersempena bagi mengaktifkan alat pendengaran canggih yang dipakai oleh Wai Ho.

Ini bermakna pada majlis berkenaan, Wai Ho telah dapat mendengar buat pertama kali dalam hidupnya.

Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar SHAIFUL HAFIZAL sempat merakamkan saat-saat indah itu.

TIDAK ramai yang tahu dunia sepi yang ditanggung How Wai Ho, 6, yang menderita masalah pendengaran sejak lahir.

Baginya, apa yang dapat dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan hanyalah pelbagai reaksi yang sukar dimengertikan.

Namun dunia sunyi itu berakhir baru-baru ini apabila satu pembedahan pemasangan implan koklea dilakukan ke atasnya.

Bersempena dengan kejayaan pembedahan itu juga, satu majlis simbolik Switch On diadakan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Pada majlis itu komponen implan berkenaan telah diaktifkan bagi membolehkan Wai Ho mendengar buat pertama kali.

Buat seketika, anak bongsu daripada dua adik-beradik ini termanggu menikmati bunyi-bunyi asing serta suara ibu dan ayahnya buat pertama kali.

Tetapi ia tidak lama kerana Wai Ho kembali aktif dalam majlis berkenaan sambil ‘menikmati’ dunia baru.

Apabila ditanya kepada ibunya bagaimana dia menyedari anaknya mengalami masalah pendengaran, Chee Ching Cheng, 33, berkata, beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya itu kerana Wai Ho tidak boleh bercakap dan tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil.

“Hanya apabila ada bunyi dentuman petir yang amat kuat, baru dia boleh mendengar sedikit dan berlari ke arah kami kerana takut mendengar sesuatu yang pelik,” katanya sambil ditemani suaminya, How Kuan Sen, 35 dan anak sulung mereka, How Wai Kiat, 11.

Pada mulanya mereka mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi memandangkan senarai menunggu yang panjang, mereka membuat keputusan untuk mendapatkan perkhidmatan pusat perubatan swasta di Kuantan, Pahang.

Di situ, pihak doktor mengesahkan anaknya itu mengalami masalah pendengaran yang kronik.

Memandangkan perbelanjaan rawatan yang tinggi, pasangan suami isteri ini terpaksa meminta bantuan daripada pihak-pihak tertentu bagi mengubati anaknya.

Hajat mereka termakbul apabila Yayasan Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh dan MCA bertindak menghulurkan derma hasil sumbangan orang ramai.

Sumbangan berkenaan membolehkan kanak-kanak ini melakukan pembedahan pemasangan implan koklear yang membolehkan beliau mendengar iaitu sesuatu yang tidak mampu dilakukannya dahulu.

Selepas ini Wai Ho dan ibu bapanya akan menjalani sesi latihan terapi pertuturan bagi membolehkan dia belajar mengenal pasti bunyi dan suara.

Dunia Wai Ho kini lebih bererti dan kegembiraan itu jelas terpancar pada wajahnya.

3 comments:

Anonymous said...

Here are some links that I believe will be interested

Anonymous said...

I say briefly: Best! Useful information. Good job guys.
»

Anonymous said...

I like it! Keep up the good work. Thanks for sharing this wonderful site with us.
»