Edisi Selatan : Si cacat hampa
Oleh Mary Victoria Dass
JOHOR BAHRU: Seorang gadis cacat pendengaran hampa apabila impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Politeknik Johor Bahru di Pasir Gudang, dekat sini berkecai apabila surat tawarannya dibatalkan Selasa lalu.
Tawaran itu dibatalkan dengan alasan memalsukan maklumat dalam borang permohonan.
Gadis yang enggan dikenali itu mendakwa dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang memproses makanan di Larkin, di sini mengisi borang permohonan kemasukan bagi sesi Julai secara `online’ pada April lalu.
Katanya, semangatnya untuk mengisi e-borang berkenaan bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan pengurusan hotel dan katering muncul ketika dia membantu adik lelakinya serta sepupu mengisi permohonan ke beberapa pusat pengajian tinggi termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi.
Menurutnya, dia bersemangat untuk melanjutkan pelajaran selepas mendapat Sijil Pengurusan Hotel dan Ketering di politeknik yang sama dua tahun lalu.
“Dalam permohonan itu saya nyatakan maklumat peribadi, maklumat peperiksaan sijil politeknik, jenis kursus yang dipohon, maklumat kegiatan sukan dan kokurikulum serta maklumat perakuan pemohon.
“Saya berterus-terang mengenai keilatan dialami dengan mengisi ruangan sama ada pemohon mempunyai kecacatan anggota dengan menandakannya ‘ya’.
“Saya nafikan dakwaan pengurusan politeknik itu yang mengatakan saya memalsukan maklumat termasuk tidak menjelaskan kecacatan, “ katanya, semalam.
No comments:
Post a Comment