Sunday, July 23, 2006

Warga emas hidup melarat sebatang kara

Berita Minggu, 23 julai 2006


MUAR: "Saya hidup sebatang kara dan tidak ada keluarga kerana tidak pernah berkahwin,” demikian rintihan Rosimah Abdul Rahman, 54, yang lumpuh sebelah badan kerana diserang penyakit angin ahmar sejak lebih 20 tahun lalu.

Beliau yang tinggal seorang diri di sebuah rumah sewa di Lorong Ubi, Jalan Daud, di sini, tidak boleh bergerak jauh walaupun ke luar rumahnya kecuali dipimpin jiran yang datang menjenguknya sekali sekala.

Rosimah berkata, penyakitnya itu berpunca selepas terjatuh ketika bertugas di sebuah kilang perindustrian di Tanjung Agas, di sini, pada 1985.

Katanya, berikutan kemalangan itu, beliau tidak boleh meneruskan tugasnya kerana tidak mampu bergerak dan diberhentikan selepas diberi cuti bergaji selama sebulan.

"Saya menerima pencen ilat RM270 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dengan wang sebanyak itu dibelanjakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan.

"Bakinya yang tidak seberapa itu dibelanjakan untuk makan minum dan barangan keperluan harian serta membayar bil elektrik dan air," katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Rosimah mendakwa tidak boleh berdiri tegak dan perlu memegang dinding atau pintu terutama ketika hendak ke bilik air dan dia memasak makanan sambil duduk.

Katanya, nasib baik ada jiran yang bersimpati menjenguknya setiap hari kerana bimbang terhadap keselamatannya yang tinggal berseorangan di rumah lebih-lebih lagi pada waktu malam.

"Mereka juga membantu saya membeli barang keperluan dapur dan memimpin saya untuk berjalan seketika di luar rumah pada waktu petang," katanya.

Beliau mendakwa, pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira 10 tahun lalu tetapi sehingga kini belum diberikan bantuan.

"Kemungkinan saya tidak layak diberi bantuan oleh pihak kerajaan kerana sudah menerima pencen ilat daripada Perkeso walaupun tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

"Baki wang pencen saya hanya tinggal kira-kira RM70 sebulan selepas ditolak sewa rumah dan bil semasa. Dengan wang sebanyak itulah saya belanjakan untuk makan minum dan keperluan harian," katanya.

Beliau reda dengan keadaan dirinya tetapi berharap ada pihak yang sudi membantu bagi menambah perbelanjaan terutama untuk membeli ubat bagi merawat penyakitnya.

Sementara itu, jiran terdekatnya, Bentong Mahadi, 70, berkata beliau yang bersimpati dengan nasib menimpa Rosimah sering menziarahinya bagi mengelak dia rasa dipinggirkan.

Beliau berkata, agak malang baginya kerana sudahlah tidak mempunyai keluarga, tiada sesiapa yang datang menjenguknya sehingga membuatnya rasa tertekan.

"Kami bimbang keadaan penyakit yang dihidapi Rosimah terutama pada waktu malam kerana beliau tinggal keseorangan di rumah sewa yang sudah usang.

"Kawasan perkampungan ini sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat akibat sistem perparitan tidak sempurna menyebabkan air masuk ke rumah penduduk termasuk rumah Rosimah," katanya.


3 comments:

dollah said...

Kesian...mana perginya simpati orang ramai terutama jabatan kebajikan masyarakat.

Anonymous said...

I say briefly: Best! Useful information. Good job guys.
»

Anonymous said...

I'm impressed with your site, very nice graphics!
»