Saturday, July 08, 2006

Kecacatan bukan halangan Lee

Berita Harian, 8 julai 2006


PESERTA cacat penglihatan yang bersaing dalam kategori khas untuk golongan kurang upaya (OKU) Tilawah al-Quran Saudara Kita 2006 berakhir Khamis lalu, membuktikan kekurangan bukan satu halangan.

Malah kemampuan mereka menyampaikan ayat suci al-Quran dengan baik dilihat sebagai cabaran hebat bagi golongan celik yang ada antaranya tidak fasih membaca al-Quran.

Johan kategori khas, Muhammad Lee Abdullah, bagaimanapun menjelaskan pembabitan peserta cacat penglihatan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya, usaha penganjur mewujudkan kategori khas itu adalah peluang bagi peserta cacat bersama menyemai minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat kerana ilmu Allah bukan untuk golongan tertentu saja.

“Saya berterima kasih kepada Nusantara Gems Sdn Bhd yang memberi kami peluang mendedahkan kebolehan menguasai ilmu al-Quran. Kami bukan ingin bertanding tetapi sekadar memeriahkan majlis tilawah kali ini,” katanya.



Mohammad Lee adalah salah seorang daripada enam peserta yang menyertai kategori khas yang julung kali diperkenalkan pada Majlis Tilawah Saudara Kita 2006 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd.

Beliau yang memeluk Islam pada 1987, pernah menyertai tilawah al-Quran Peringkat Kebajikan Masyarakat pada 1994. Bagi majlis tilawah untuk saudara baru, ini adalah percubaan kali pertama beliau.

Ditanya sama ada sukar bagi golongan cacat penglihatan untuk mempelajari al-Quran, katanya, tiada apa yang susah jika dilakukan dengan minat dan semangat bersungguh-sungguh.

“Jika kita kata susah, maka susahlah jadinya. Bagi saya semua dapat kita lakukan dengan syarat ia dilakukan secara bersungguh. Jangan jadikan kecacatan sebagai alasan kerana yang celik juga tidak akan berjaya jika tidak berusaha,” katanya.

Katanya, apa yang diharapkan, lebih banyak pihak bersedia menerima penyertaan golongan kurang upaya bukan saja untuk majlis tilawah tetapi dalam apa juga bentuk pertandingan yang dianjurkan.

Muhammad Lee berkata, sudah tiba masanya masyarakat menerima dan melayan golongan kurang upaya sama rata dan tidak membezakan mereka hanya kerana kecacatan yang dialami.

Beliau berkata, rasa kurang yakin sesetengah pihak tidak akan membantu golongan kurang upaya sebaliknya tindakan mereka hanya menutup peluang golongan berkenaan membuktikan mereka juga boleh melakukan yang terbaik.

“Sebagai permulaan, mungkin penganjur tidak perlu mewujudkan kategori khas tetapi benarkan kami bertanding untuk kategori terbuka. Biar kami diberi layanan sama dengan mereka yang normal,” katanya.

No comments: