Friday, July 07, 2006

Edisi Selatan: Lelaki lumpuh mangsa tipu

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my

MUAR: “Tak sangka ada juga jenis manusia yang sanggup mempergunakan orang seperti saya ini untuk kepentingan sendiri,” kata Mohd Saidi Hassan, 36; yang lumpuh hampir keseluruhan badan sejak tahun 1992.


Beliau mendakwa dianianya oleh kenalannya sehingga menyebabkan dia kini disaman oleh bank kerana tidak menjelaskan pinjaman kenderaan.

Menurutnya, dia terpaksa membayar baki pinjaman kereta jenis Proton Wira yang menggunakan namanya berjumlah kira-kira RM37,000.

Malah katanya, dia dikenakan tindakan saman oleh bank dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 13 Julai ini berkaitan kes tuntutan saman itu.

“Saya tidak tahu menahu tentang pembelian kereta itu atas nama saya kerana sejak kemalangan jalan raya pada 1992, saya tidak lagi boleh memandu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kilometer 33.6, Jalan Muar-Batu Pahat di Parit Sulong dekat sini, semalam.

Katanya, kemalangan pertama berlaku ketika dia bekerja sebagai penghantar surat di Petaling Jaya, Selangor pada tahun 1992 dan terpaksa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selama sebulan.

“Selepas itu saya terlantar di rumah selama empat tahun kerana lumpuh pada bahagian kaki dan tangan kanan serta kepala. Kemalangan kedua berlaku pada 1998 akibat dilanggar sebuah kereta di pekan Parit Sulong ketika cuba melintas jalan menggunakan tongkat,” katanya.

Mohd Saidi mendakwa, ketika itu dia pernah mempunyai seorang kawan dikenali dengan nama Manan yang ingin meminjam kad pengenalannya beberapa hari dengan alasan untuk menuntut insurans kemalangan.

“Beberapa tahun selepas itu, saya terkejut apabila menerima banyak surat saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan pada 26 April lalu, dia menerima tunggakan ansuran kereta berjumlah RM1,281.82 yang perlu dijelaskan segera.

Katanya, berdasarkan surat daripada mahkamah yang disertakan salinan dokumen perjanjian jual beli kereta atas namanya itu adalah jenis Proton Wira 1.6 XLi bernombor pendaftaran JEG 2880.

“Barulah saya sedar bahawa nama saya digunakan oleh pihak tertentu untuk membeli kenderaan tanpa sebarang pengetahuan saya.

“Saya juga kesal kerana dalam hal ini, pihak bank tidak teliti dalam mengesahkan sama ada identiti peminjam adalah sahih atau sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Parit Sulong pada 18 Mei lalu.

No comments: