Tuesday, July 18, 2006

Elis selamat jalani pembedahan


Utusan Malaysia, 18 julai 2006

Oleh BINTU RASYADA ABD RAHMAN


KUALA LUMPUR 17 Julai – Elis Rochmita Sari, 4, kanak-kanak dari Yogyakarta, Indonesia yang menghidap penyakit lebihan cecair otak, selamat menjalani satu pembedahan kecil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Pembedahan bagi menyalurkan lebihan cecair ke usus itu mengambil masa dua jam bermula pukul 9 pagi dan diketuai oleh Pakar Perunding Pembedahan Neurologi PPUM, Prof. Madya Dr. Vickneswaran.

Pembedahan itu turut disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program Selamat Pagi Malaysia.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam PPUM, Yahaya A. Hamid, pihaknya akan mengadakan satu sidang akhbar khas mengenai keputusan pembedahan Elis dalam waktu terdekat.

“Keadaan Elis stabil buat masa ini dan bengkak pada mukanyapun sudah surut. Tetapi, keputusan pembedahan dan apa tindakan seterusnya akan kami bentangkan nanti,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, berkemungkinan Elis hanya memerlukan pembedahan kosmetik bagi memperbaiki mukanya kesan lebihan cecair sebelum ini.

Sementara itu, ibu Elis, Purwandari, 23, dan bapanya, Krisyanto, 34, yang kelihatan resah sepanjang pembedahan berlangsung, berulang kali melahirkan rasa syukur sejurus anak mereka dibawa keluar dari Dewan Bedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Terima kasih kepada pasukan doktor PPUM, kerajaan dan rakyat Malaysia serta semua yang telah membantu.

“Saya tak tahu nak cakap apa lagi cuma terima kasih dan syukur. Semoga Tuhan membalas jasa anda semua,’’ kata Purwandari.

Dia yang kagum dengan kejayaan pembedahan itu berharap Elis dapat melihat semula seperti sedia kala.

Penderitaan Elis mendapat simpati orang ramai setelah kisahnya didedahkan Utusan Malaysia pada 7 Jun lalu.

Usaha membawa Elis menjalani rawatan di Malaysia disuarakan oleh Ahmad Zahid ketika beliau dan sekumpulan pegawai serta pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Dapok, Gilangharjo, Pandak, Bantul.

Kos bagi pembedahan dan rawatan Elis sebanyak RM70,000 akan diambil daripada kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri-RTM.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan PPUM pula membiayai kos penginapan serta makan-minum ibu bapa Elis sepanjang mereka di sini.

No comments: