Monday, July 10, 2006

Permata Hati: Ibu risau lihat Rizqi tak mampu bergerak

Berita Harian, 10 julai 2006


IBU BAPA mana yang tidak risau apabila anak berulang kali diserang demam, tidak kebah serta terpaksa beberapa kali berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Perasaan tentu lebih meresahkan apabila anak dimasukkan ke wad dan perlu menjalani beberapa ujian pemeriksaan seperti ujian darah, jantung dan hati serta membuat sinar X. Sedangkan, penyakit yang dihidapi masih tidak ketahui puncanya dan tidak nampak pada pandangan mata kasar.

Kekalutan perasaan inilah yang dialami Zuliana Md Shaim, 30, dan suami, Ahmad Suhaimi Md Yusuff, 38, apabila anak mereka, pertama kali dikesan menghidap tanda penyakit Artritis Juvenil. Penyakit itu disebabkan gangguan auto-imun yang mana badan menganggap sel dan tisu sebagai bahan asing.

Selepas dua bulan lebih berulang-alik membuat rawatan dan pemeriksaan, Mac lalu baru diketahui bahawa anak sulung pasangan itu, Ahmad Rizqi yang berusia sembilan tahun mengidap penyakit berkenaan.

“Anak saya itu jarang sakit sejak kecil. Apabila dia demam seminggu dan tidak elok ketika itu memang saya risau. Dia pula mengadu kakinya tidak boleh bergerak. Selepas dirawat seminggu kemudian dia demam lagi. Apabila doktor sahkan Rizqi menghidap artritis, terkejut juga kerana setahu saya penyakit ini biasanya dialami orang dewasa,” kata Zuliana mengimbas pengalaman awal mendapat tahu anak menghidap penyakit artritis.

Kata Ahmad Suhaimi pula, ketika penyakit Rizqi sering berulang kali menyerang, selain rawatan moden mereka sekeluarga turut mencuba ikhtiar rawatan cara tradisional. Lebih-lebih lagi, mendengar pandangan orang tua bahawa anaknya itu kemungkinan terkena sampuk atau apa saja yang berkaitan makhluk halus.

“Bukan tidak percaya rawatan moden tetapi apa salahnya mencuba jika segala usaha rawatan moden tidak menunjukkan perubahan. Kita mencuba selebihnya berserah kepada Allah,” katanya yang mengakui lega selepas mengetahui penyakit sebenar dihidapi Rizqi.

Sebagai ibu, kata Zuliana, dirinya sentiasa mendampingi dan cuba memberi perhatian sepenuh kepada Rizqi supaya kesakitan dialami berkurangan. Malahan, pada awal penyakit Rizqi dikesan, ibu yang mempunyai dua lagi anak lelaki berusia enam tahun dan sembilan bulan serta bekerja sebagai kerani di Shah Alam itu, sanggup mengambil cuti sebulan tanpa gaji.

Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kerana demam yang menyerang Rizqi kadang-kala begitu tinggi sehingga menggigil dan tidak boleh tidur. Paling merisaukan, kesakitan sendi dialami pesakit artritis tidak nampak dan menyerang secara senyap serta tidak diketahui puncanya.

Selain itu, perubahan sikap dan diri yang semakin ketara pada anaknya itu turut membimbangkan. Daya ingatan Rizqi lemah dan suka berkhayal, manakala pelajaran di sekolah semakin merosot.

“Menjaga anak sakit memang perlu kesabaran dan kuat semangat. Kesihatan Rizqi yang tidak menetu membuatkan mood dia sering berubah dan cepat marah. Ketika itulah saya cuba menasihatkan dan memujuknya,” katanya yang turut gembira melihat perubahan positif anak sulungnya kini.

Bagi memastikan kesihatan Rizqi stabil, Zuliana sentiasa memastikan anaknya itu mengambil ubat yang disarankan doktor, di samping menjaga amalan diet makanannya. Untungnya, Rizqi tidak banyak kerenah setiap kali disuruh makan ubat tetapi dalam menjaga diet makannya ada kala hati Zuliana teruji.

“Antara kesan pengambilan ubat pada pesakit artritis ialah berat badan meningkat. Doktor selalu berpesan, supaya menjaga amalan diet Rizqi, tetapi tahulah kanak-kanak apabila lapar, tentu hendak makan dan tidak mengambil kira keadaan kesihatannya. Jika dia menangis, timbul pula rasa kasihan. Bagaimanapun, saya tetap cuba memujuknya supaya kawal makan dan banyakkan makan buah-buahan,” katanya.

Berbanding Ahmad Suhaimi yang sentiasa positif dalam berdepan dengan ujian itu. Baginya, walaupun Rizqi sakit, anaknya itu tidak perlu dilayani sebagai orang sakit dan dimanjakan keterlaluan. Didikan dan kasih sayang sama rata diberikan seperti adiknya yang lain sekurang-kurangnya memberi keyakinan dan membantu Rizqi supaya lebih berdikari.

FAKTA
Gejala Artritis Idiopatik Juvenil (JIA)
Gejala biasa termasuk:

  • Berjalan terjengket-jengket
  • Ruam yang datang dan hilang
  • Ketegangan sendi apabila bangun
  • Kekurangan tahap aktiviti
  • Kesusahan menggunakan sebelah tangan atau kaki
  • Demam panas yang kerap terutama pada sebelah petang
  • Sendi bengkak
  • Kejanggalan yang terlebih
  • Noda limfa bengkak
    Untuk keterangan lanjut hubungi, Yayasan Artritis Malaysia 03-56216177
    Laman web: www.afm.org.my

    Panduan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap artritis

  • Galakkan ahli keluarga untuk meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka.
  • Amalkan pembawaan positif dan dapatkan cara untuk membantu anak anda mengatasi masalahnya.
  • Benarkan anak anda yang menghidap artritis untuk meluahkan rasa marahnya dari semasa ke semasa dan ingatkan si kecil bahawa anda sentiasa sedia menyokongnya.
  • Galakkan anak anda yang menghidap artritis untuk berkelakuan seperti kanak-kanak lain dan berikan tanggungjawab sama seperti tugas mengemas rumah.
  • Latih anak yang lebih matang untuk menguruskan ubatan dan program senaman mereka sendiri.
  • Maklumkan kesan sampingan ubatan kepada si kecil dan pastikan dia melaporkan kepada anda jika perkara itu terjadi.

  • No comments: