Balu 10 anak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga
Utusan Malaysia, 27 julai 2006
KUALA TERENGGANU 26 Julai – Penderitaan seorang ibu tunggal sepuluh anak dari Kampung Gong Lingai, Batu Rakit, dekat sini, yang hampir lumpuh setelah terbabit dalam nahas jalan raya baru-baru ini kini boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.
Aznah Ismail, 44, kini hilang punca pencarian setelah tidak lagi dapat keluar menoreh getah kerana kesan kecederaan dialaminya ekoran kemalangan yang meragut nyawa suaminya, Mohd. Zin Jusoh, 43, kira-kira empat bulan lalu.
Akibat kemalangan itu, Aznah mengalami kecederaan parah di tulang belakang serta tulang pinggang sehingga sukar bergerak dan terpaksa dipapah oleh anak-anaknya.
“Selepas keluar dari hospital sehingga sekarang, saya tidak mampu bergerak atau berjalan-jalan seperti sedia kala, malah, saya baru dua minggu keguguran anak dalam kandungan akibat nahas tersebut.
“Mujurlah ada anak-anak saya terutama Siti Azuha Baha, 23, yang membantu memapah atau mengusung setiap kali saya ke bilik air,” katanya yang terpaksa berteduh di sebuah rumah usang di kampung itu.
Apa yang menyedihkan lagi, menurut beliau, lima anaknya masih bersekolah dan tidak mendapat bantuan biasiswa daripada pihak sekolah.
Sepuluh anaknya itu adalah hasil daripada tiga perkahwinannya iaitu perkahwinan pertama mendapat dua orang anak, perkahwinan kedua mendapat seorang anak manakala perkahwinan ketiganya memperoleh tujuh orang.
Lima anaknya yang masih bersekolah ialah Siti Ami Fawani Mohd Zin, 15, Ahmad Ridzuanuddin, 12, Nazatul Akma Nazihah, 11, Hafizatul Aida Zulaikha, 9, dan Ahmad Khairul Azuan, 8.
Seorang lagi anaknya, Siti Ayuni Mat, 20, kini mengambil Diploma Akauntan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam kemalangan pada 27 Mac lalu, motosikal yang ditunggang oleh Mohd. Zin dalam perjalanan untuk pergi menoreh getah sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
Dia berkata, kehidupan keluarganya begitu terhimpit dan apatah lagi setiap hari terpaksa menyediakan wang persekolahan bagi lima orang anak selain perbelanjaan lain.
Sebelum ini, Aznah bersama anak-anaknya menggunakan wang perbelanjaan seharian dari wang simpanan arwah suaminya di samping ibunya, Mek Wok @ Fatimah Salleh, 62, turut membantu keluarga itu.
“Walaupun sebelum ini Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kam pung ini selalu membantu kami tetapi dalam masa yang sama saya masih mengharapkan bantuan bulan daripada Jabatan Kebajikan.
No comments:
Post a Comment