Sunday, July 09, 2006

Ibu tunggal, anak lumpuh hidup daif di rumah pusaka

Berita Minggu, 9 julai 2006


SEGAMAT: Seorang ibu tunggal bersama anak yang cacat sejak 10 tahun lalu terpaksa makan nasi berlauk kicap, bawang dan ikan bilis setiap hari untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Dua beranak itu kini hidup menderita di sebuah rumah usang yang pada bila-bila masa akan runtuh di Kampung Paya Luas, di sini.

Zainun Yaacob, 64, yang kini sudah uzur dan tidak berdaya untuk bekerja terpaksa mengharapkan simpati orang kampungnya untuk meneruskan sisa-sia kehidupan bersama anaknya, Irwan Shah Abu Hassan, 26, yang bergerak di atas kerusi roda.

Katanya, beliau dua beranak tidak ada pilihan lain untuk terus tinggal di rumah pusaka keluarga yang kini menunggu masa untuk runtuh.

"Hidup saya bagaikan jatuh ditimpa tangga selepas ditinggalkan suami sejak 30 tahun lalu, anak saya pula mengalami kecacatan selepas diserang sawan 10 tahun lalu menyebabkannya lumpuh.

"Walaupun saya ada anak-anak lain, namun mereka sudah berumahtangga dan hidup susah.

"Mereka sesekali ada memberi wang saku untuk makan minum saya dan Irwan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Zainun berkata, beliau tidak dapat keluar rumah kerana menjaga Irwan yang tidak mampu bergerak.

"Ketika kecil, Irwan cergas dan rajin bekerja, namun kini pertuturannya juga sukar difahami. Oleh kerana saya tidak ada pendapatan, dan wang yang ada sekadar cukup untuk mengalas perut maka hasrat untuk membaiki rumah yang uzur ini tidak dapat dilakukan.

"Bahagian hadapan rumah menunggu saat untuk runtuh menyebabkan saya dan Irwan tinggal di bahagian dapur yang juga sudah uzur. Anak-anak yang lain pun takut hendak balik kerana keadaan rumah yang tidak selamat diduduki," katanya.

Katanya, bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat untuk Irwan sebanyak RM155 sebulan.

"Dengan RM155 sebulan serta sedikit pemberian daripada anak-anak digunakan untuk keperluan sara hidup setiap hari termasuk membayar bil elektrik dan air.

"Setiap hari kami dua beranak hanya makan apa yang ada. Malah terpaksa berlapar apabila kehabisan beras dan bawang," katanya.

Ditanya mengenai bantuan kerajaan melalui Program Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT), Zainun berkata, usaha sudah dilakukan pihak tertentu tetapi sehingga sekarang beliau tidak mengetahui status permohonan itu.

"Rumah ini adalah peninggalan orang tua saya termasuk sebidang tanah yang diduduki sekarang. Saya merayu mana-mana pihak yang sudi membantu membaiki rumah yang sekarang keadaannya sudah uzur dan bila-bila masa saja boleh runtuh.

"Ketika tidur pun saya rasa takut bila agaknya rumah ini akan runtuh. Saya juga berharap JKM dan Baitulmal menimbangkan bantuan saya,” katanya.



untuk sara hidup dan membaik pulih rumah kerana nak mengharapkan pertolongan anak-anak sendiri pun berkeadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Katanya, keadaan bertambah sengsara kerana setiap bulan beliau terpaksa membawa anaknya ke Hospital Segamat untuk rawatan.

No comments: