Thursday, July 27, 2006

Kebajikan untuk semua

Utusan Malaysia, 27 julai 2006

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI (WARTAWAN UTUSAN)


KEWUJUDAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mungkin tidak memberi sebarang kesan terhadap rutin harian kita, tetapi bagi sebilangan orang khususnya golongan kurang bernasib baik, jabatan tersebut cukup dekat di hati malah menjadi nadi kehidupan mereka.

Sejak ditubuhkan pada April 1946, pekerja kebajikan kerap kali menjadi antara orang pertama tiba menghulur bantuan di tempat-tempat yang dilanda bencana seperti banjir, kebakaran dan kemalangan atau ke serata pelosok negara mendekati yang daif dan miskin.

Seiring dengan usia dewasanya, JKM telah mengalami beberapa perubahan struktur dan pada 27 Mac 2004, jabatan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Membawa visi masyarakat sejahtera dan penyayang, JKM berusaha melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dalam membangunkan masyarakat ke arah kesejahteraan sosial melalui perkhidmatan-perkhidmatan secara profesional.

Sepanjang perjalanan selama 60 tahun itu, JKM sentiasa berusaha memastikan ia tidak lari daripada landasan objektifnya untuk memberi perlindungan dan pemulihan kepada tujuh kumpulan sasar.

Ketujuh-tujuh kumpulan tersebut ialah kanak-kanak (mengikut tafsiran Akta Kanak-Kanak 2001); orang kurang upaya; warga tua; orang papa (mengikut tafsiran Akta Orang Papa 1977); keluarga (wanita dan gadis, ibu bapa tunggal, mangsa keganasan rumah tangga, orang miskin dan mereka yang mempunyai masalah), mangsa bencana alam dan pertubuhan sukarela kebajikan.

Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pelaksanaan tanggungjawab terhadap kumpulan sasar, secara tidak langsung sebenarnya JKM berusaha membangunkan masyarakat melalui perubahan sikap dan peningkatan keupayaan agar mereka lebih berdikari.

“Usaha-usaha tersebut dilakukan semata-mata untuk merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan masyarakat yang berbudaya penyayang, di samping meningkatkan kesejahteraan melalui perkhidmatan kebajikan dan pembangunan sosial yang profesional,” katanya.

Bagi mencapai objektifnya, JKM menyusun beberapa strategi yang dilaksanakan secara berterusan dan mengikut situasi serta perkembangan semasa.

Antaranya, jabatan itu berusaha mengoptimumkan keupayaan dan potensi diri serta kesejahteraan kumpulan sasar dan memastikan aspek kebajikan diintegrasikan dalam perancangan ke arah mencapai pembangunan sosioekonomi yang menyeluruh.

Di samping itu, jabatan tersebut juga berusaha mempertingkatkan peranan dan keupayaannya dalam merancang serta menilai program-program pembangunan kebajikan masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, lima perkara menjadi teras kepada perkhidmatan kebajikan masyarakat iaitu pencegahan, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian.

JKM sememangnya mengamalkan pembangunan yang menyeluruh, tuntas dan seimbang bagi memastikan golongan kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan, tidak terlepas daripada pembelaan.

Pelbagai perkhidmatan telah disediakan kepada golongan ini termasuklah bantuan dari segi kewangan, program pemulihan, rancangan dan latihan, dan bimbingan yang bertujuan untuk membolehkan mereka dapat hidup lebih bermaruah dan berdikari.

Contohnya, dalam konteks kebajikan kanak-kanak, JKM bertanggungjawab memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada anak-anak agar mereka dapat hidup sejahtera.

Program tersebut dijalankan sama ada di dalam Institusi Kebajikan dan melalui perkhidmatan luar iaitu dengan kerjasama masyarakat setempat serta pertubuhan-pertubuhan sukarela.

Dalam hal ini, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah bimbingan dan kaunseling, pendidikan formal, pendidikan agama, riadah, rawatan kesihatan dan sebagainya.

Manakala dari aspek perlindungan dan pemulihan pula ia meliputi bantuan kepada kanak-kanak terlibat dengan jenayah, tidak terkawal, terdedah kepada unsur pelacuran dan sebagainya.

Apa pun, JKM masih memerlukan pembabitan proaktif masyarakat di semua peringkat dalam menjalankan tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu golongan orang kurang bernasib baik.

Ia bukan sahaja satu budaya murni malah merupakan salah satu tuntutan agama bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera dan penyayang.

Amalan tolong-menolong sepatutnya diperhebatkan lagi dan bukan diletakkan pada bahu JKM semata-mata. Selain mengeratkan lagi silaturahim, ia juga dapat mengurangkan bebanan dan penderitaan golongan tersebut untuk bersama-sama menikmati kehidupan seharian yang lebih sempurna dan selesa.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan yang sentiasa mendukung prinsip pembangunan negara seimbang terutama antara pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial.

Setiap anggota masyarakat bersama-sama menyumbang tenaga dan fikiran dalam usaha menangani pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat di negara ini.

“Tanggungjawab ini tidak boleh kita bebankan ke atas bahu kerajaan semata-mata. Melalui usaha secara bersepadu dan sistematik akan dapat mempertingkatkan keberkesanan program kebajikan dan pembangunan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi,” jelas Shahrizat.

Dalam hubungan ini, strategi yang digunakan JKM nampak begitu ketara dalam melahirkan masyarakat yang penyayang dan komited terhadap mereka yang memerlukan.

Sehubungan itu langkah JKM mengoptimumkan keupayaan dan potensi diri serta kesejahteraan kumpulan sasar jabatan perlu diambil berat dan diberi perhatian. Di bahu masyarakat juga terpikul komitmen ini bagi mengajak golongan ini untuk sama-sama bangun menikmati pembangunan negara.

Begitu juga dengan usaha bagi memastikan aspek kebajikan diintegrasikan dalam perancangan ke arah mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh, juga perlu diberi penekanan dan perhatian. Rakyat perlu diajak sama bekerjasama menjayakan pelbagai program yang bakal dirangka.

Masyarakat juga perlu membantu memberi input dan bantuan dalam usaha mempertingkatkan peranan dan keupayaan JKM sebagai peneraju dalam program-program pembangunan kebajikan masyarakat.

Pendedahan lebih menyeluruh juga perlu bagi memberi maklumat lebih berkesan akan peranan dan tanggungjawab jabatan tersebut dalam masyarakat.

Dalam hubungan ini, jabatan perlu mengadakan lebih banyak program perkongsian bijak dan strategik melalui kerjasama dengan semua kumpulan masyarakat, badan-badan kerajaan dan agensi-agensi antarabangsa.

Pihak swasta, syarikat dan korporat patut diajak bersama berganding bahu merealisasikan program JKM yang masih dalam perancangan. Komitmen mereka meringankan beban yang digalas oleh JKM.

Pada masa yang sama semestinya jabatan juga perlu meningkatkan penggunaan sumber manusia, serta melipatgandakan kualiti perancangan dan pengurusan kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi secara profesional.

Langkah JKM selepas berada di bawah KPWKM dan dalam usia 60 tahun nampaknya semakin matang. Komitmen juga semakin menyerlah.

Pelancaran Tahun Kebajikan Negara 2006 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam membuktikan komitmen tidak berbelah bagi kerajaan terhadap peranan JKM.

Ia merupakan langkah terbaik menggerakkan usaha bagi meningkatkan pelbagai program dan projek yang dirancang untuk kepentingan mereka yang tersenarai di bawah tanggungjawab JKM.

Dan lebih meresap di sanubari, Kembara Kebajikan Negara 2006, yang akan bermula ke sekolah negara tidak lama lagi, mungkin akan mencatat sejarah tersendiri dalam diari JKM untuk jangka masa panjang. Sesungguhnya, program ini pastinya melekat di hati mereka yang terpilih menerima dan menyertainya. Sebagaimana dekatnya JKM di hati mereka yang memerlukan!

2 comments:

Anonymous said...

I say briefly: Best! Useful information. Good job guys.
»

Anonymous said...

Nice idea with this site its better than most of the rubbish I come across.
»