Thursday, July 06, 2006

Mencegah pemotongan kaki akibat penyakit diabetes

Berita Harian, 6 julai 2006


KAWAN saya mengalami diabetes sejak 10 tahun lalu. Kami, sekumpulan kaki bola, sering bermain bola sepak pada setiap hari minggu. Kini, beliau hanya boleh memerhatikan kami bermain. Segala-galanya bermula daripada luka kecil pada kakinya yang berlaku tahun lalu. Luka berkenaan menjadi punca kepada pemotongan kaki kerana beliau mengabaikan komplikasi penyakit diabetes.

Pesakit diabetes berisiko tinggi terhadap ulser pada kaki atau tapak kaki kerana kerosakan saraf menyebabkan mereka tidak dapat merasai kesakitan atau ketidakselesaan, iaitu tanda kepada wujudnya luka atau jangkitan. Pakar perubatan menyatakan sekurang-kurangnya separuh daripada kes pemotongan kaki boleh dielakkan sekiranya diubati awal.

Gejala awal kepada kerosakan saraf termasuk rasa kebas, semut-semut dan pedih. Sekiranya anda atau orang terdekat mengalami satu daripada gejala itu, sila mendapatkan rawatan secepat mungkin.

ANDA dapat menyelamatkan kaki dengan mengawasi komplikasi diabetes melalui empat langkah ringkas berikut:

1. Mengawasi paras gula darah

Pengawalan paras gula darah pada paras normal adalah penting. Merancang menu hidangan, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengambil ubat-ubatan membantu anda mengawal paras gula darah yang normal. Pemakanan diabetes seharusnya tinggi dalam serat, karbohidrat kompleks dan rendah dalam karbohidrat ringkas (seperti gula) serta lemak. Amalan bersenam seperti berjalan atau menunggang basikal tiga kali seminggu membantu meningkatkan rangsangan insulin dan memperbaiki toleransi glukosa.

Herba-herba seperti fenugreek, gymnema, holy basil dan peria mungkin membantu menurunkan paras gula darah dengan meningkatkan penghasilan insulin dan penggunaan glukosa.

2. Memeriksa kaki anda

Setiap hari, luangkan satu atau dua minit untuk memeriksa kaki anda sama ada terdapat luka, bintik merah atau bengkak. Langkah ini berupaya mencegah pemotongan kaki.

3. Makanan tambahan antioksida

Tekanan oksidatif berkait dengan kerosakan saraf pada pesakit diabetes. Kejadian paras radikal bebas yang tinggi berpunca daripada metabolisme glukosa yang berlebihan. Oleh itu, pesakit diabetes memerlukan nutrien antioksida yang banyak untuk mencegah kerosakan saraf.

Asid alfa lipoik adalah nutrien antioksida berpotensi tinggi yang dikaji secara berleluasa. Ia terbukti membantu meringankan rasa kebas, semut-semut dan pedih pada pesakit dengan paras gula darah yang tinggi. Asid alfa lipoik membantu melambatkan kejadian kerosakan saraf dan seterusnya mencegah pemotongan kaki.

Nutrien antioksida lain yang berupaya melindungi pesakit diabetes daripada komplikasi diabetes ialah beta karotena, vitamin B, C dan E, selenium dan zink. Sebagai contoh, vitamin B dan E adalah penting dalam penurunan paras gula darah dan melindungi saraf daripada serangan radikal bebas.

4. Penjagaan diri

Tukar sarung kaki setiap hari. Kebersihan kaki adalah penting dalam pencegahan pemotongan kaki pada pesakit diabetes. Memotong kuku anda dengan berhati-hati dengan mengguna pemotong kuku yang bersesuaian. Memotong kuku secara melintang dan jangan menggunting kulit keras di sekeliling kuku.

Memilih sepasang kasut yang selesa dengan ruangan yang mencukupi untuk jari kaki. Sebelum memakai kasut, pastikan tidak mempunyai butiran pasir.

Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan di talian 03-7728 7407 (Isnin-Jumaat; 9.00 pagi - 6.00 petang) atau e-mel kami di health@biolife.com.my.

No comments: