Thursday, July 27, 2006

Edisi Timur: Perkeso bantu si lumpuh




Harian Metro, 27 julai 2006

Oleh Nasir Hassan

MACHANG: Lelaki lumpuh separuh badan yang pernah mencetuskan kejutan kerana mengahwini seorang ibu tunggal muda yang sempurna, terus mendapat perhatian apabila menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan.

Husmizi Ibrahim, 32, menerima sumbangan sebuah kerusi roda bermotor dan katil berubat serta lampin pakai buang bernilai kira-kira RM11,000 daripada Pengarah Perkeso Kelantan, Mohd Rosdi Mat Yassin, petang semalam.

Menurut lelaki kurang upaya terbabit, bantuan yang diberikan Perkeso itu dapat meringankan beban isterinnya yang terpaksa membantu setiap pergerakannya sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Perkeso yang memberi sumbangan kerusi roda,” katanya selepas menerima bantuan itu.

Bantuan itu disampaikan Mohd Rosdi di rumah Husmizi di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, dekat sini.

Turut bersamanya di majlis penyerahan bantuan itu adalah isteri Husmizi, Zuriati Ruhaida Harun, 28, ibunya, Naimah Deraman, 56, dan Penolong Pengarah (Faedah), Perkeso Kelantan, Abdul Rahim Jusoh serta Pengurus cawangan syarikat yang membekalkan kerusi roda itu, Malaysian Healthcare Sdn Bhd, Ridwan Ramdass.

Sementara itu, Mohd Rosdi berkata, kerusi roda bermotor itu yang termoden pernah disumbangkan pihaknya sebagai bantuan ilat susulan kepada pencarumnya di negeri ini atas nasihat doktor panel pertubuhan itu.

Menurutnya, kerusi roda canggih itu mempunyai alat kawalan tanpa perlu menggunakan tenaga untuk membantu pesakit bergerak.



Sementara itu, isterinya, Zuriati Ruhaida, yang berasal dari Dungun, Terengganu, mempunyai seorang anak hasil perkahwinan pertamanya mengambil keputusan berkahwin dengan Husmizi kerana menyenangi lelaki itu walaupun mendapat tentangan ahli keluarganya.

Menurutnya, suami pertamanya, Che Azizi Alias, 31, meninggal dunia selepas terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana menderita penyakit barah tulang pada 21 Disember 2004.

“Saya bertemu dengan Husmizi yang ketika itu juga sedang mendapatkan rawatan di HUSM.

“Arwah suami dengan Husmizi amat baik, hubungan mereka macam adik-beradik kerana saling mengenali dan mendapat rawatan di tempat sama,” katanya.

Husmizi lumpuh dari paras pinggang ke kaki bawah akibat patah tulang belakang serta putus saraf tunjang akibat kemalangan jalan raya pada 27 Februari 2002.

Kini, Husmizi bekerja sambilan dengan membuat wau atau layang-layang. hiasan di rumahnya dan masih menjalani rawatan susulan di HUSM.

1 comment:

Anonymous said...

I like it! Good job. Go on.
»