Wednesday, July 12, 2006

Peluang Elis melihat semula terlalu tipis

Utusan Malaysia, 11 julai 2006

Oleh WAN RAHIMAH DRAMAN


PETALING JAYA 11 Julai - Harapan Elis Krisyanto Sari, kanak-kanak dari Yogyakarta, Indonesia yang menghidap penyakit lebihan cecair otak untuk melihat semula terlalu tipis.

Timbalan Pengarah Bahagian Klinikal (Ikhtisas) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr. Jamiyah Hassan berkata, ini kerana urat saraf matanya telah tertutup seratus peratus.

Bagaimanapun katanya, peluang untuk muka kanak-kanak itu kembali normal masih cerah apabila masalah lebihan cecair itu diatasi.

''Penglihatan Elis seratus peratus telah rosak. Tidak ada jaminan dia boleh melihat semula sebab urat saraf matanya sudah tertutup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak di wad pediatrik PPUM di sini, hari ini.

Kanak-kanak malang daripada keluarga mangsa gempa bumi di Yogyakarta itu kini ditempatkan di wad pediatrik PPUM bagi menjalani pemeriksaan rapi daripada pakar bedah pusat perubatan tersebut sebelum pembedahan dilakukan.

Penderitaan Elis mula mendapat simpati orang ramai setelah kisahnya didedahkan Utusan Malaysia pada 7 Jun lalu.

Usaha membawa Elis menjalani rawatan di Malaysia telah disuarakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau dan sekumpulan pegawai serta pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Gunting, Desa Karung Gede, Yogyakarta.

Kos bagi pembedahan dan rawatan Elis sebanyak RM70,000 akan diambil daripada kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri-RTM.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula akan membiayai kos penginapan ibu bapa Elis sepanjang pembedahan anak mereka di sini.

Menurut Jamiyah, pihaknya masih meneruskan penyiasatan melalui perincian pemeriksaan mengenai punca penyakit yang dihadapi oleh Elis.

''Paling cepat pun, pembedahan hanya boleh bermula Isnin depan. Itu pun bergantung kepada hasil penelitian pemeriksaan dari semua aspek," jelasnya.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan juga mendapati tempurung tengkorak Elis tidak tercantum.

Ekoran itu katanya, terdapat lubang dan seolah-olah wujud alur seperti longkang dalam otak yang mengalirkan lebihan cecair keluar dan berkumpul di bahagian depan, menyebabkan mukanya membengkak.

Menurutnya, untuk mengurangkan lebihan cecair dalam otak, Elis perlu menjalani pembedahan neurologi dan maksilofasial.

''Kita juga kena teliti sama ada tempurung tengkoraknya boleh ditutup atau tidak, baru boleh tetapkan tarikh pembedahan.

''Sebab itu pemeriksaan dan penyelidikannya mengambil masa agak lama," ujarnya.


No comments: