Saturday, July 08, 2006

Pengurus wanita tipu OKU

Oleh Zainal Zawawi Mohamed
zzawawi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus wanita sebuah syarikat sanggup menipu seorang lelaki cacat dengan melarikan wang tunai sejumlah RM139,000 yang dikeluarkan daripada simpanannya untuk membeli rumah di Cheras, baru-baru ini.

Orang kurang upaya (OKU) itu yang hidup serba kekurangan bersama isteri dan tiga anaknya kini terpaksa menanggung beban lebih teruk apabila wang yang disimpan hasil titik peluhnya selama ini untuk membeli rumah dilarikan dalam sekelip mata.

Mangsa yang berusia 50 tahun, bekerja sebagai penjual kuih di Cheras itu berkata, dia mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata untuk membeli rumah yang menjadi idamannya selama ini dengan bantuan wanita yang mengaku pemaju perumahan terbabit.

“Hari mengeluarkan wang itu, wanita terbabit yang dikenali sebagai Natrah ikut bersama dan menawarkan saya kaki palsu tetapi saya menolaknya kerana impian saya untuk membeli rumah.

“Saya mula mengenali wanita itu pada Jun 2005 selepas dia sering datang membeli karipap di gerai saya termasuk menolong pada hari cuti,” katanya di sini, semalam.

Katanya, wanita itu memberitahu dia bekas seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur dan kini menjadi pemaju perumahan.

“Wanita terbabit menawarkan rumah kepada saya tetapi meminta menjelaskan wang secara tunai kononnya sebagai syarat supaya memudahkan urusan mendapatkan rumah.

“Selepas itu, saya menyerahkan wang tunai RM100,000 sejurus mengeluarkannya daripada kereta sebagai tanda persetujuan untuk mendapatkan rumah daripada syarikat milik wanita itu,” katanya.

Yahya berkata, wanita terbabit berkunjung ke rumahnya setiap hari selama beberapa minggu, kononnya kerana bersimpati dengan nasibnya tetapi setiap kali sebelum pulang wanita itu meminta baki harga rumah dibayar secara ansuran sebanyak RM2,000 daripada isterinya.

“Selepas membayar secara ansuran sebanyak RM39,000 diselesaikan, saya bertanya mengenai rumah yang dibeli itu tetapi wanita terbabit enggan menjawabnya dan menangguhkan tarikh untuk melihat rumah itu.

“Wanita itu menghilangkan diri dan tidak lagi datang ke rumah saya dan apabila saya menghubunginya, dia memarahi saya,” katanya.

Beliau yang menyedari ditipu membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

No comments: