Dua beradik tinggal di‘ rumah hantu’
Utusan Malaysia, 22 julai 2006
Oleh: AZRAN FITRI RAHIM
|
|
KUALA PILAH 21 Julai – Sekali pandang rumah kecil yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit di Kampung Air Kempas, Kepis Ulu dekat sini tidak ubah seperti ‘rumah hantu’.
Jika dilihat dari bentuk fizikalnya pasti orang ramai tidak berani menghampiri rumah tersebut tambahan pula ia terletak kira-kira dua kilometar dari jalan utama kampung.
Suasana lebih menyedihkan semasa menjejakkan kaki ke dalam pondok usang ini apabila lantai kayu mengeluarkan pelbagai bunyi seolah-olah menunggu masa untuk roboh, dinding berlubang-lubang akibat reput dimamah cuaca manakala struktur tiangnya juga tidak kukuh.
Namun bagi dua beradik Basir Layar, 37 dan Samit, 41, pondok usang itulah yang menjadi tempat mereka berteduh daripada hujan dan panas sejak bertahun lamanya.
Semua ini dilakukan oleh Basir yang sanggup mengorbankan jiwa raga dan hasrat untuk mendirikan rumah tangga demi menjaga abangnya, Samit yang menghadapi masalah mental dan lumpuh.
Basir berkata, dia hanya bekerja sebagai penjaga stor getah yang terletak berhampiran rumahnya dan mendapat upah kira-kira RM18 sehari.
“Bukan saya tidak mahu berubah daripada hidup serba kedaifan ini, masalah utama ialah tidak dapat pergi jauh untuk bekerja kerana kesihatan abang yang tidak mampu bergerak dan menghadapi masalah mental.
“Saya terpaksa mengambil alih tugas emak dan ayah untuk menjalankan urusan harian serta menjaga abang selepas mereka berdua meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Katanya, keadaan bertambah sukar apabila dia terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan abangnya keseorangan di rumah.
“Walaupun kami ada menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM80 sebulan namun jumlah tersebut agak kecil dan tidak mampu untuk menyara kehidupan kami berdua.
“Apatah lagi untuk membaiki pondok usang ini dan keadaan bertambah teruk apabila hari hujan kerana air akan masuk disebabkan zink telah bocor dan dinding juga berlubang,” katanya.
Selain itu kata Basir lagi, bekalan air dan elektrik juga tiada sehingga menyukarkan dia untuk menjalani kehidupan seharian.
Jelasnya, pada masa ini dia terpaksa menggunakan air perigi berdekatan pondok usang itu untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian.
Basir sangat berharap ada pihak yang akan tampil menghulurkan bantuan membaiki pondok usangnya serta menguruskan bekalan elektrik dan air.
No comments:
Post a Comment