OKU wajar bersikap terbuka cari pekerjaan
SAYA terpanggil untuk mengulas kenyataan surat pembaca yang ditulis oleh graduan yang hanya dikenali sebagai 'Graduan OKU' dari Kuala Lumpur di dalam ruangan ini pada 20 Julai 2006 yang bertajuk ‘Graduan OKU lebih sukar dapat kerja’.
Saya sedar kebanyakan pandangan masyarakat terhadap golongan OKU di negara kita masih mengamalkan konsep minda yang tertutup dan ini dapat dilihat dari segi penerimaan majikan terhadap pekerja yang mereka ambil dalam sektor pekerjaan.
Sebagaimana kenyataan graduan OKU berkenaan ada menyebut bahawa sektor awam dan swasta ada menyediakan beberapa jawatan yang dikhaskan untuk golongan OKU, akan tetapi bilangannya agak terhad dan keadaan ini amat menyulitkan lagi golongan seperti ini untuk menempatkan diri mereka ke dalam jawatan yang disenaraikan.
Memang tidak dinafikan golongan OKU yang bakal bergelar siswazah kemungkinan akan bertambah jumlahnya apatah lagi apabila negara kita melangkah ke arah negara yang lebih maju.
Namun, kita juga tidak dapat lari dari jumlah sizwazah menganggur yang sememangnya sempurna dari segi fizikal dan mental yang akan bertambah ramai bilangannya pada masa akan datang sedangkan sektor awam dan swasta belum tentu dapat menampung kesemua siswazah yang memohon sebarang pekerjaan sekiranya ada kekosongan.
Jadi bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah graduan OKU yang menganggur sedangkan graduan sempurna sedia ada sudah terlalu ramai sehinggakan tiada tempat untuk mereka bekerja pada satu-satu masa.
Oleh itu saya berpendapat bagi mereka yang berada di dalam kategori graduan OKU, janganlah terlalu berharap untuk mendapatkan pekerjaan yang disediakan oleh pihak tertentu saja kerana peluang pekerjaan bukanlah terletak di dalam sebuah pejabat yang memiliki infrastruktur yang canggih semata, tetapi rezeki ditentukan oleh Tuhan asal saja kita pandai berusaha mencari di mana rezeki masing-masing.
Tidak semestinya seseorang graduan itu perlu duduk di meja dan kerusi yang empuk sambil menatap komputer riba dengan suasana yang sejuk sambil membuat tugasan masing-masing.
Kita perlu bersikap terbuka dalam mencari peluang yang ada dan kemungkinan peluang kita untuk mendapat rezeki adalah di tempat lain ataupun sebagai usahawan yang berjaya. Semua itu bergantung kepada usaha dan inisiatif masing-masing.
Kita maklum bahawa golongan OKU dianggap istimewa bukan kerana perbezaan mereka dengan manusia lain dari segi fizikal semata, tetapi juga dari segi bagaimana mereka meneruskan hidup mereka.
Golongan OKU juga dianggap istimewa adalah kerana mereka terpaksa bekerja dengan lebih keras berbanding mereka yang normal untuk dapat hidup seperti orang biasa di dalam masyarakat yang normal pula.
Saya percaya golongan OKU terutama yang cacat anggota boleh menempatkan diri mereka di dalam dunia pekerjaan seperti orang lain yang sempurna fizikalnya sama ada di sektor awam mahupun swasta ataupun sebagai usahawan muda, tetapi tugasan yang mereka lakukan seharusnya tidak membabitkan pergerakan badan secara menyeluruh lebih-lebih lagi cacat anggota.
Beberapa pekerjaan seperti pakar motivasi, pakar kaunseling, pakar psikologi, pakar kesihatan, pensyarah, arkitek, pelukis pelan dan beberapa jawatan hanya melibatkan mental dan pemikiran kreatif adalah sesuai untuk graduan OKU.
Tambahan pula, bidang berkenaan semakin mendapat tempat di dalam masyarakat disebabkan keperluan fisiologi yang semakin meningkat selari dengan peningkatan taraf hidup manusia.
Oleh itu saya berharap golongan OKU terutama bakal ke institusi pengajian tinggi agar memperbanyakkan inisiatif untuk menceburkan diri dalam bidang sesuai dengan keupayaan masing-masing serta kemahiran yang ada selaras dengan bidang pekerjaan yang ada potensi untuk mendapat tempat di dalam masyarakat pada masa akan datang.
SARINA MUSA,
Tawau, Sabah.
No comments:
Post a Comment