Monday, July 03, 2006

P&G bantu buka pusat disleksia baru

Berita Harian, 3 julai 2006


RAKYAT Malaysia sememangnya terkenal sebagai masyarakat pemurah. Kini, bukan sekadar individu, malahan syarikat korporat turut prihatin dalam menunaikan tanggungjawab sosial. Terbaru Procter & Gamble Malaysia Sdn Bhd (P&G Malaysia) atas dasar kemanusiaan menyumbangkan sejumlah dana bagi membuka pusat disleksia di Subang Jaya.

Pusat Disleksia Subang Jaya itu menyediakan kemudahan pembelajaran khusus bagi kanak-kanak disleksik. Penghidap disleksia menghadapi kesukaran untuk memahami proses pembelajaran tradisional seperti kanak-kanak biasa. Oleh itu golongan ini menjurus kepada sistem pembelajaran interaktif yang pastinya menelan belanja lebih daripada sistem konvensional.

Pengurus Perhubungan Awam P&G Malaysia, Shahira Ahmed Bazari, berkata segalanya bermula pada 2005 apabila P&G Malaysia melalui Yayasan Nur Open Minds menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana bertujuan membantu kanak-kanak yang memerlukan.

“Antara aktiviti termasuklah menjual kek dan biskut, mengadakan kelas belajar tenis, dan majlis makan malam. Hasilnya, P&G berjaya memperoleh RM2 juta yang turut diagihkan kepada Persatuan Autisme Kebangsaan, Yayasan Kebajikan Malaysia dan pusat disleksia ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pusat berkenaan di Subang Jaya, baru-baru ini.

Majlis perasmian menyaksikan kanak-kanak disleksi menerima hadiah berupa blok mainan lego dari P&G Malaysia. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Disleksia Wilayah Persekutuan, Sariah Amirin.

Menerusi projek itu, P&G Malaysia mensasarkan seorang pekerja untuk mendapatkan sumbangan sekurang-kurangnya bernilai RM2,000. Sementara bagi pekerja pengurusan kanan, jumlah yang disasarkan ialah RM20 ribu setiap individu.

Menariknya, Ketua Eksekutif P&G Malaysia, Patrick Lockwood-Taylor sendiri mengutip RM50 ribu dalam satu majlis climbthon yang dilakukannya dengan mendaki Gunung Kinabalu. Usahanya itu memakan masa setengah hari demi mengutip sumbangan buat Open Minds.

Shahira berkata, Subang Jaya terpilih sebagai destinasi baru pusat disleksia berikutan permintaan ibu bapa di kalangan kawasan sekitarnya yang lebih tinggi berbanding kawasan lain. Kebanyakan ibu bapa itu datang dari kawasan berhampiran seperti Shah Alam, Subang Jaya dan Klang. Secara kebetulan, ibu pejabat P&G Malaysia juga terletak di Subang Jaya.

Rumah teres lot tepi itu dilengkapi lima komputer dengan perisian Fitzroy Reading bagi membantu kanak-kanak disleksik membaca. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ruang riadah, manakala kedua buah bilik dijadikan bilik pembelajaran efektif.

Sementara itu, Sariah berkata, ada 30 sekolah di seluruh Malaysia yang menyediakan program khas bagi mengajar kanak-kanak disleksia. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi bagi menampung sejumlah 314,000 orang kanak-kanak disleksik di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai lagi pihak tampil memberi sumbangan bagi menyediakan kelengkapan buat insan disleksik.

Setakat ini, Pusat Disleksia Subang Jaya menempatkan 10 kanak-kanak pada hari biasa, manakala 12 orang lagi pada hari Sabtu.

Bagi yang berminat mendapatkan maklumat mengenai disleksia, bolehlah menghubungi Pusat Kegiatan Persatuan Disleksia di nombor 03-4025 5109. Persatuan itu terletak di No 6, Persiaran Kuantan Off Jalan Titiwangsa, Setapak Kuala Lumpur.

No comments: