Saturday, July 08, 2006

Tilawah serlah kebolehan saudara baru


TILAWAH al-Quran Saudara Kita 2006 yang berlangsung pada 5 dan 6 Julai lalu berjaya menyerlahkan semangat serta kesungguhan saudara baru mendalami serta menguasai ilmu pembacaan al-Quran dengan baik.

Kebolehan itu dibuktikan melalui penghayatan serta kemampuan mereka yang menyertai tilawah kali ini menyampaikan bacaan dengan tajwid yang betul dan secara berlagu sehingga berjaya menarik perhatian hadirin.

Peningkatan jumlah peserta seramai 130 orang berbanding 80 tahun lalu juga jelas menunjukkan minat saudara baru untuk mempamerkan kebolehan mereka menyampaikan bacaan ayat al-Quran dengan indah.

Tilawah al-Quran Saudara Kita 2006 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Allied Coordinating Committee of Islamic (ACCIN).

Majlis penyampaian hadiah yang diadakan malam Khamis lalu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut menyerikan majlis, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Dua kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori millenium (untuk saudara baru yang memeluk Islam pada 200 atau lebih awal).

Buat julung kalinya, kategori golongan kurang upaya (OKU) diperkenalkan pada tilawah kali ini khusus untuk peserta cacat penglihatan. Kategori lain turut dipertandingkan ialah azan untuk kanak-kanak dan remaja.

Qari dari Sabah, Raffie Ghalil Abas, membuktikan kehebatan apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dan sekali lagi diumumkan sebagai johan qari kategori terbuka.

Johan qariah kategori terbuka disandang peserta dari Pahang, Siti Salmiah Sulong; naib johan, Fatimah Abdullah dan tempat ketiga menjadi milik Mardiana Razali.

Naib johan qari kategori terbuka jatuh kepada Mohad Nordin Abdullah dan tempat ketiga, Johari Abdullah.

Johan qari kategori millenium ialah peserta dari Thailand, Hanafi Abdullah dan peserta Perak, Yusni Baharom muncul johan qariah. Yusni juga adalah johan bagi tilawah tahun lalu.

Johan qari dan qariah kategori terbuka masing-masing menerima wang tunai RM10,000, tiket umrah, piala pusingan Sultan dan Sultanah Pahang, persalinan dan hamper makanan kesihatan.

Naib johan menerima wang tunai RM5,000, tiket umrah, persalinan dan hamper makanan kesihatan. Tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000, tiket umrah, persalinan dan hamper makanan kesihatan.

Johan qari dan qariah kategori millenium pula masing-masing menerima piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur wang tunai RM5,000, tiket umrah, persalinan dan hamper makanan kesihatan.

Naib johan (RM3,000), tempat ketiga (RM1,000) berserta tiket umrah, persalinan dan hamper makanan kesihatan.

Bagi kategori OKU, johan menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan hamper makanan kesihatan. Setiap peserta menerima hadiah sagu hati.

Mohd Raffie yang tidak menyangka akan diumumkan sebagai johan qari mengakui berhadapan dengan saingan sengit daripada peserta lain yang turut mempamerkan bacaan bermutu.

Bagaimanapun, beliau yang bertugas sebagai guru melahirkan rasa syukur kerana usaha bersungguh mempertingkatkan kemahiran bacaan membolehkan beliau mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.



Katanya, selain membaca al-Quran dengan baik, umat Islam juga perlu menghayati ajaran yang terkandung dalam ayat yang dibaca supaya usaha mendalami ilmu al-Quran menjadi lebih bermakna.

Mohd Raffie memeluk Islam bersama keluarganya pada 1985 ketika berusia sembilan tahun dan mula belajar al-Quran sejak itu apabila ibunya menghantarnya ke sekolah agama.

Siti Salmiah yang berbangsa suku kaum Jahut berkata, minat mendengar qari dan qariah memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa mendorong beliau mendalami ilmu bacaan al-Quran.

Beliau mula mendalami teknik pembacaan al-Quran bertajwid ketika belajar al-Quran di Institut Dakwah Islamiah Perkim di Kelantan pada 1991 selain mendapatkan khidmat Ustaz Muhammad yang mahir dalam bidang taranum.

“Saya bersyukur kerana penyertaan kali pertama membawa kenangan manis apabila saya diumumkan sebagai johan. Saya terbaca dalam akhbar mengenai tilawah ini dan terus menelefon penganjur.

“Bagi saya kalah menang bukan perkara utama tetapi sekurang-kurangnya kami saudara baru diberi peluang menunjukkan kebolehan menguasai ilmu bacaan al-Quran sama seperti orang lain,” katanya.

Katanya, disebabkan minat mendalam terhadap al-Quran, beliau tidak akan melepaskan peluang menonton tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta bercita-cita untuk menyertai pertandingan itu satu hari nanti.

No comments: