Saturday, July 08, 2006

Draf OKU siap tak lama lagi

Berita Harian, 8 julai 2006


SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyerahkan draf Rang Undang-Undang berkaitan hak dan perlindungan orang kurang upaya (OKU) kepada Pejabat Peguam Negara, tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Rang Undang-Undang berkenaan akan diteliti Peguam Negara untuk diperlengkapkan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Beliau berkata, proses penggubalan Rang Undang-Undang itu mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ia memanfaatkan kumpulan sasar.

Shahrizat berkata demikian selepas pelancaran VCD Integrasi Teknologi Maklumat Dalam Pembelajaran Kemahiran Jahitan yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini semalam.

Katanya, kerajaan berharap masalah golongan OKU selama ini dapat diberikan perhatian sewajarnya dan disusuli tindakan lebih tersusun dengan adanya akta berkenaan.

"Melalui akta ini, kita dapat menjaga hak dan kebajikan, keistimewaan serta memperkasakan OKU," katanya.

Beliau berkata, pembentangan akan dilakukan selepas pindaan Akta Taman Asuhan, Akta Pembangunan Keluarga dan Akta Pusat Jagaan selesai dibentangkan di Parlimen.

Mengenai penerbitan VCD berkenaan, Shahrizat berkata, usaha dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan memberi peluang kepada wanita mempelajari kemahiran menjahit tanpa perlu ke kelas.

Modul dalam VCD itu termasuk pengenalan kursus, penggunaan mesin dan jahitan tangan, teknik mengukur dan cadangan bentuk corak, memotong kain dan membuat bahagian kecil, kajian fabrik, ubahsuai, teori lukisan dan rajah, mengenalpasti jenis kain dan fesyen serta rekaan.

"Kaedah pembelajaran sendiri ini memberi pendedahan lebih meluas kepada wanita serta mendidik mereka mahir menggunakan peralatan multimedia pada kos lebih murah.

"Kita akan mengedarkan VCD ini melalui Majlis Pembangunan Wanita di setiap kawasan Parlimen. Selepas ini, kita akan memikirkan kemahiran lain yang boleh dilaksanakan dalam bentuk VCD untuk tujuan sama," katanya.

No comments: