Monday, July 17, 2006

Rakyat Indonesia doa Elis selamat jalani pembedahan


Utusan Malaysia, 17 julai 2006

Elis, 4 tahun dari Kampung Dusun Karangyecde, Bantul, Yogyakarta didukung oleh ibunya, Harwandari, 23, baru-baru ini.

Kuala Lumpur 16 Julai – Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Abdul Rahman Mohd. Fachir mengucapkan terima kasih atas kesudian kerajaan Malaysia membantu menguruskan pembedahan Elis Krisyanto Sari.

Beliau berkata, pertolongan kerajaan Malaysia adalah simbol kerjasama dua negara yang sudah lama terjalin.

“Saya mewakili seluruh rakyat Indonesia merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan moral dan mental kepada Elis.

‘‘Kami rakyat Indonesia mendoakan semoga pembedahan Elis akan berjaya dan cepat sembuh untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga sempena sambutan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos ini di Taman Tasik Permaisuri di sini, hari ini.

Pembedahan Elis Krisyanto Sari, kanak-kanak dari Yogyakarta, Indonesia yang menghidap penyakit lebihan cecair otak dijadualkan esok dan akan disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Usaha membawa Elis menjalani rawatan di Malaysia telah disuarakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau dan sekumpulan pegawai serta pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Dusun Karangyecde, Bantul, Yogyakarta.

Kos bagi pembedahan dan rawatan Elis sebanyak RM70,000 akan dibiaya daripada kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri-RTM.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula akan membiayai kos penginapan ibu bapa Elis sepanjang pembedahan anak mereka di sini.

No comments: