Monday, July 24, 2006

Siapakah remaja ini?

Utusan Malaysia, 24 julai 2006

Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


SENYUMAN yang diberikan oleh pesakit mental ini seolah-olah dia tidak mengalami masalah kesihatan mental.Hakikatnya, dia tidak minta dijadikan begini.

SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke Wad Psikiatri, Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, langkah saya terhenti seketika. Kesedihan tiba-tiba menyelinap dalam dada.

Suasana keliling begitu menyentuh perasaan. Saya hanya dapat melihat wajah-wajah sayu yang bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka ialah pesakit yang sedang menjalani rawatan psikiatri.

Melihat keadaan keliling, kesedihan dalam hati makin terasa terutama kala memikirkan bahawa mereka ini tidak minta dijadikan begini. Seperti orang lain mereka juga berhak menikmati kehidupan sempurna sama seperti insan lain.

Rasa insaf menerpa. Saya akur dengan kehendak Tuhan. Sesungguhnya tidak semua manusia lahir sempurna sifat dan akalnya.

Ketika orang lain dapat hidup sempurna dan selesa, mereka tersisih daripada keluarga dan terpaksa tinggal di wad ini untuk diberi perhatian dan pemulihan. Begitulah lumrah kehidupan, begitulah kehendak Tuhan!

Perjalanan saya diteruskan dengan langkah yang semakin perlahan. Di kiri kanan mereka mengambil kesempatan melemparkan senyuman kepada kami. Saya membalasnya dengan wajah gembira. Realitinya kehadiran kami bertujuan baik.

Dalam kelekaan memerhatikan wajah seorang demi seorang pesakit psikiatri ini, mata saya singgah pada seorang pesakit lelaki yang masih remaja. Tidak tercatat sebarang identiti pada katilnya. Dia tersenyum meleret melihat saya dan jurugambar.

Seperti tahu saya berminat untuk mendekatinya dan bertanya khabar, dia memberi pelbagai aksi menarik untuk dirakamkan jurugambar. Seperti awal tadi, wajahnya sentiasa mengukir senyuman. Peluang ini tidak kami lepaskan begitu sahaja.

Kehadiran saya di wad ini adalah atas rasa ingin tahu dan memenuhi permintaan pihak hospital yang berulang kali menelefon meminta untuk disiarkan kisah remaja ini dalam akhbar.

Tiada siapa kenal dan tahu asal usul remaja ini. Dia dimasukkan ke HTAR awal Julai lalu. Menurut pihak hospital, apabila diajukan soalan di mana tempat tinggal dan siapa namanya, dia hanya tersenyum dan mengangguk.

Menurut pihak hospital lagi, remaja lelaki ini ditemui oleh pihak polis ketika merayau-rayau di hadapan pasar raya Mydin, Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor. Dia kemudian dimasukkan ke wad psikiatri ini.

Mungkinkah selama hidupnya dia sering merayau-rayau. Adakah dia lari dari rumah? Tiada jawapan pasti yang boleh diberikan.

Buat sementara di sinilah tempatnya berlindung. Di sinilah juga dia terpaksa menumpang kasih daripada jururawat yang menjaga dan merawatnya.

Apa pun sebagai manusia, saya yakin dan pasti kebanyakan pesakit di sini memerlukan sokongan keluarga untuk kembali pulih. Keluarga digalakkan datang ke hospital bagi memberi sokongan kepada pesakit.

Perlu diingat hanya kira-kira satu perlima orang boleh mendapat gangguan mental tetapi orang lain boleh membantu dalam pelbagai aspek.

Menjaga kesihatan mental dan mengelakkan gangguan mental menjadi urusan kita semua.

Selain itu, ia dapat membina keluarga bahagia di samping menjaga kepentingan masyarakat sejagat.

Mungkin ada pihak yang tidak mengetahui bahawa terdapat rawatan dalam komuniti di mana rawatan susulan diberi di rumah pesakit bagi penyakit mental yang berpanjangan dan serius seperti yang dilakukan oleh pihak hospital ini.

Banyak rahsia yang kita tidak tahu mengenai kehidupan misteri remaja ini. Setelah mendapat maklumat ringkas daripada pihak hospital, saya pulang dengan satu harapan iaitu semoga satu hari nanti dia akan bertemu semula dengan keluarganya.

Saya juga mendoakan agar satu hari nanti dia akan dibawa pulang oleh keluarganya untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna.

Walaupun dia mengalami masalah mental, itu bukan alasan untuk dia tidak berhak menerima kasih sayang daripada keluarga. Usianya yang masih muda memerlukan perhatian dan belaian daripada orang tersayang walaupun hakikatnya dia tidak mengerti semua itu.

Kepada saudara-mara dan ibu bapanya, jika anda terbaca kisah remaja ini datanglah Hospital Tunku Ampuan Rahimah. Jenguklah dia dan bawalah dia pulang. Sekurang-kurangnya dia tahu masih ada keluarga yang menyayanginya!

Bagi mereka yang mengenali pesakit ini anda boleh menghubungi Wad Psikiatrik HKTR di talian 03-3372 3333 atau 03-3375 7000 sambungan 1387

1 comment:

Anonymous said...

Greets to the webmaster of this wonderful site. Keep working. Thank you.
»