Petanda tak mahu pakai baju
Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
SEBERANG PERAK: Kelakuan aneh seorang remaja ‘Sindrom Down’ enggan memakai baju sejak dua hari lalu menjadi petanda kehilangannya buat selama-lamanya apabila maut dilanggar sebuah kereta, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika Mohd Nazri Muhammad, 19, cuba melintas jalan selepas makan di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Teluk Intan-Sitiawan, berhampiran Kampung Sungai Renggam, dekat sini.
Malah, hidangan nasi putih serta ayam goreng yang diberikan pemilik restoran itu secara percuma juga menjadi hidangan terakhir mangsa, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Bakar Arang, Sungai Renggam, Kota Setia di sini.
Dalam kemalangan itu, mangsa mati serta-merta kerana kecederaan parah di kepala dan badan selepas dilanggar kereta yang datang dari arah Teluk Intan ke Lumut.
Bapa mangsa, Muhammad Harun, 57, berkata Nazri adalah pelanggan tetap restoran itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya dan kerap diberi makan dan minum secara percuma setiap kali berkunjung.
Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa ada menunjukkan tanda tertentu dan perubahan yang aneh.
“Anak saya itu tidak pernah keluar rumah tanpa memakai baju, tetapi entah kenapa sejak dua hari lalu dia tidak mahu memakai baju dan berdegil mahu berbasikal tanpa baju.
“Malah, Mohd Nazri juga menunjukkan perangai aneh seperti akan gelak tidak tentu pasal serta ketawa bersendirian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Muhammad berkata, mereka sekeluarga amat merasai kehilangan mangsa kerana Mohd Nazri adalah anak paling disayangi.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga sepupu mangsa, Azmi Darus, 41, berkata tempat itu adalah lokasi paling kerap berlaku kemalangan termasuk membabitkan kemalangan maut.
No comments:
Post a Comment