Showing posts with label kerdil. Show all posts
Showing posts with label kerdil. Show all posts

Thursday, June 07, 2007

Mydin tawar kerja kepada Fadhly

Utusan Malaysia, 7 jun 2007

Oleh IRMAN HASHIM

KUALA TERENGGANU 6 Jun – Nasib graduan kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, yang gagal mendapat pekerjaan sejak setahun lalu ekoran kecacatannya, mendapat perhatian Pasar Raya Besar Mydin yang menawarkan kerja kepadanya.

Menurut Mohamad Fadhly, seorang pegawai dari Jabatan Sumber Manusia syarikat itu menghubunginya hari ini meminta beliau hadir ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur untuk sesi temuduga bagi jawatan pegawai inventori.

Katanya, pegawai itu memintanya hadir ke ibu pejabat syarikat itu minggu depan untuk berbincang mengenai tawaran berkenaan.

‘‘Mungkin saya akan pergi pada hari Isnin atau Selasa minggu hadapan apabila keadaan membenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohamad Fadhly yang gagal mendapatkan kerja kerana status orang kurang upaya (OKU) ekoran penyakit soft bone yang dialaminya walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan UDM dan Diploma Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Mohamad Fadhly, jawatan pegawai inventori itu menawarkan gaji sebanyak RM800 sebulan tidak termasuk elaun.

Katanya, dia bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Mydin yang sanggup mengambil graduan kurang upaya sepertinya bekerja di gedung mereka.

‘‘Saya tidak memilih kerja dan sanggup menerima apa sahaja jawatan yang ditawarkan oleh Mydin dan saya yakin mampu melaksanakan tugas yang diberikan,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai anak sulung, beliau bertanggungjawab untuk membantu menyara keluarganya memandangkan ayah dan ibunya, Mustafa Usman, 59, dan Fattimah Che Tawang, 57, sudah bersara.

“Mak, ayah dah pencen dan saya anak sulung daripada tiga beradik, apa yang sangat diperlukan sekarang adalah kerja bagi meneruskan kehidupan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Mohamad Fadhly turut memberitahu, beliau menerima panggilan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hari ini bertanyakan sama ada telah mengisi borang permohonan jawatan yang ditawarkan oleh SPA.

Sunday, February 11, 2007

Zulhanif kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan

Berita Minggu, 11 Februari 2007

PEKAN: Kanak-kanak kenit, Zulhanif Abdul Halim, 7, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, dekat sini kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan sebaya selepas menerima kerusi khas disumbangkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

Pelajar kenit dengan ketinggian 72 sentimeter dan berat 7.5 kilogram itu mengalami kesukaran menyesuaikan diri dan mengikuti pembelajaran kerana kerusi dan meja dalam kelas terlalu besar untuk saiznya yang kecil.

Kerusi ciptaan sekumpulan pensyarah UMP yang diberi nama ‘Zump’ diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di sini semalam.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Mohamed Said Mat Lela, berkata nama Zump adalah gabungan nama Zulhanif dan UMP.

“Ini adalah projek khidmat masyarakat UMP mereka bentuk dan fabrikasi kerusi khas dengan pacuan motor elektrik. Ia disesuaikan dengan asas ergonomik pelajar terbabit dari segi ketinggian dan saiz badan,” katanya.

Kerusi yang dibina dengan kos kira-kira RM12,000 itu mempunyai bahagian rehat tangan dan kaki, bahagian duduk yang boleh dilaras dan rak buku di kiri serta kanan tempat duduk.

Selain itu, ciri tambahan kerusi itu dilengkapi pelindung keselamatan dan mudah alih.

Projek khidmat masyarakat itu diketuai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UMP, Profesor Madya Dr Rosli Abu Bakar dan dibantu Gan Leong Ming, Wong Hong Mun, Devarajan Ramasamy, Mohd Fazli Ismail, Faizul Syahidan Rajuli dan Mohd Aminuddin Ayob.

Zulhanif walaupun kurang bercakap tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menerima kerusi khas itu dan tidak keberatan apabila diminta mencubanya sambil diperhatikan orang ramai.

“Saya suka dengan kerusi ini kerana dapat duduk lebih selesa dalam kelas. Malah, saya termimpi-mimpi apabila diberitahu akan mendapat kerusi ini,” katanya.

Bapanya, Abdul Halim Sulaiman, 30, berkata kerusi itu akan memudahkan anaknya mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.

“Sebelum ini, dia terpaksa mendongak untuk melihat ke arah papan hitam, tetapi dengan adanya kerusi ini kedudukannya boleh diubah suai,” katanya.

Beliau menyifatkan sumbangan itu tidak ternilai harganya kepada Zulhanif dan beliau sekeluarga.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit memberikan sumbangan ini, terutama UMP,” katanya.

Thursday, January 18, 2007

Kuktem cipta kerusi murid kenit

Utusan Malaysia, 18 Januari 2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD

KUANTAN 17 Jan. – Kanak-kanak kenit, Muhd. Zull Hanif Abd. Halim, bakal menerima sebuah kerusi separuh automatik yang direka khas oleh Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Kuktem) bagi memudahkan murid tahun satu itu menjalani proses pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

Idea kreatif itu tercetus apabila Rektor Kuktem, Profesor Datuk Dr. Mohammad Said Mat Lela membaca laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu mengenai kanak-kanak tersebut yang memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan.

Zull Hanif cuma setinggi 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci dengan berat badan 7.5 kilogram.

Dr. Mohammad Said berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu setelah membaca laporan berita yang menyiarkan mengenai keprihatinan pihak sekolah yang bercadang memotong kaki meja serta kerusi bagi disesuaikan dengan saiz tubuh Zull Hanif.

‘‘Saya sendiri telah meminta sekumpulan pensyarah Kuktem agar memikirkan satu idea terbaik bagi membantu kanak-kanak ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, bersesuaian dengan kepakaran yang dimiliki oleh Kuktem, maka tercetus idea untuk mereka cipta sebuah kerusi khas menggunakan teknologi bermotor agar Zull Hanif dapat menggunakannya semasa di kelas.

Jelas beliau, pihaknya membentuk satu pasukan khas yang diketuai oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya, Dr. Rosli Abu Bakar bagi mereka cipta kerusi itu.

Dr. Rosli pula ketika ditemui memberitahu, empat pensyarah Kuktem sedang sibuk berbincang menghasilkan reka bentuk terbaik dengan dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna.

‘‘Setakat ini, kita hanya buat draf awal. Kerja-kerja menyempurnakan reka bentuk kerusi khas itu masih diteruskan.

‘‘Apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah kerusi itu kelak bakal berfungsi bagi memudahkan Zull Hanif duduk sama tinggi dan menggunakan meja yang sama dengan rakan sekelasnya,” ujarnya.

Menerangkan lebih lanjut fungsi kerusi itu, beliau berkata, kerusi menggunakan teknologi bermotor itu berupaya bergerak ke atas dan ke bawah bagi memudahkan kanak-kanak kerdil tersebut berada sama paras dengan ketinggian meja di kelasnya.

Tambah beliau, bagi memastikan kerusi istimewa itu ‘mesra pengguna’, ia juga boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang agar kedudukan Zull Haniff dengan meja berkenaan dapat diselaraskan.

‘‘Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan Zull Haniff terjamin, kita juga akan melengkapkan kerusi dengan rak buku, tali pinggang keselamatan dan sebuah platform bagi memudahkan dia meletakkan kakinya,” jelasnya lagi.

Menurut Dr. Rosli, kerusi itu yang dianggarkan berharga RM5,000 akan memiliki berat keseluruhan antara 45 dan 50 kilogram bagi memastikan ia benar-benar stabil.

Katanya, untuk aspek mudah alih, roda akan dipasang di bahagian bawah selain dilengkapi butang khas bagi memudahkan Zull Hanif mengawal pergerakan kerusi itu.

Beliau menjelaskan, pihaknya memerlukan masa kira-kira empat minggu bagi melengkapkan kerusi itu agar ia benar-benar sempurna untuk digunakan.

Thursday, January 04, 2007

Murid kerdil mulakan persekolahan penuh semangat

Utusan Malaysia, 4 januari 2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD

MUHD. Zull Hanif Abd. Halim yang ketinggiannya hanya 72sm disediakan meja dan kerusi khas ketika memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan, Pahang, semalam.

PEKAN 3 Jan. – Bagi Muhd. Zull Hanif Abd. Halim dunia ini semuanya besar. Dengan ketinggian hanya 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci, dia memulakan alam persekolahan tahun satu hari ini.

Walaupun bertubuh kecil, semangatnya tidak kecil. Jiwanya besar. Dia amat berbangga dapat bersama rakan-rakan normal lain memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara di sini.

Dengan berat badan 7.5 kilogram, pihak sekolah yang prihatin sudah bersedia menerima kedatangan kanak-kanak istimewa ini dengan pelbagai persiapan.

Guru Besar sekolah tersebut, Ab. Razak Jaapar berkata, pihaknya akan memastikan Zull Hanif berasa selesa sewaktu berada di sekolah.

‘‘Sebagai permulaan, pihak sekolah akan menempatkan Zull Hanif di bilik makan prasekolah apabila tiba waktu rehat dan dia juga akan menggunakan kemudahan tandas bersaiz kecil.

‘‘Kita berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas dirinya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, bagi memastikan Zull Hanif turut menggunakan meja dan kerusi seperti yang digunakan oleh rakan-rakannya yang lain, pihak sekolah bercadang untuk memotong kaki meja serta kerusi untuk disesuaikan dengan saiz tubuhnya.

Jelas Ab. Razak, beliau turut memaklumkan kepada guru-guru di sekolah itu agar dapat memberikan perhatian yang lebih kepada Zull Hanif bagi memastikan kanak-kanak kerdil itu dapat memanfaatkan masanya di sekolah dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, guru kelas kanak-kanak tersebut, Norhanizah Abu Hanipah memberitahu, setakat ini, Zull Hanif terpaksa menggunakan kerusi dan meja prasekolah dan dia ditempatkan di bahagian hadapan kelas.

‘‘Pergaulannya bersama rakan sekelas semuanya berjalan dengan baik dan saya akan memastikan dia tidak berasa terasing sewaktu berada di dalam kelas,” ujarnya.

Bapa Zull Hanif, Abd. Halim Sulaiman, 30, ketika ditemui berkata, disebabkan saiz tubuh anaknya yang terlalu kecil, dia terpaksa menempah baju sekolah dan membelikan kasut bayi untuk kegunaan anaknya itu.

Selain itu, katanya, dia turut berhadapan dengan masalah untuk menghantar anaknya itu berulang-alik dari rumah ke sekolah.

‘‘Saya perlu bekerja dan saya tidak punya masa yang cukup untuk menghantarnya ke sekolah pada setiap hari,” jelasnya.

Namun begitu, Abd. Halim memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana anaknya itu amat memerlukan perhatian terutamanya untuk menghantar dan mengambilnya dari sekolah.

Monday, July 17, 2006

Orang kerdil bukan bahan lawak


Berita Harian, 17 julai 2006



SAIZ menyebabkan orang kerdil menjadi perhatian masyarakat. Di mana saja berada, mereka menjadi tumpuan. Ada yang berbisik dan tidak kurang yang memanggil dengan panggilan tidak enak didengar.

Sejak berabad lamanya, kedudukan orang kerdil dalam masyarakat, tidak kira apa bangsa lebih banyak bersifat negatif.

Dalam filem Barat, banyak watak orang kerdil diwujudkan. Ketika ada watak yang dilihat sebagai positif, tidak kurang yang memperlekehkan mereka seperti menjadi bahan lawak.

Itu adalah dunia lakonan dan di dunia realiti, ada orang kerdil sejak kecil dibuli rakan sebaya seperti yang dialami Jasmi Shafie.

Ketika berusia 11 tahun, Jasmi sukar melupakan peristiwa dikurung selama dua jam dalam bilik air sebuah sekolah rendah di Beseri, Perlis.

“Bilik air terletak berasingan dan jauh dari bangunan kelas. Sebaik saja masuk, tiba-tiba pintu dikunci dari luar. Habislah! Mesti kawan-kawan buat hal lagi. Nak panjat tak boleh. Saya terkurung hingga tukang kebun membuka pintu,” katanya.

Walaupun sudah lama berlalu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) itu sukar melupakan peristiwa yang dianggap menyeronokkan bagi rakan-rakannya, tetapi penyiksaan terhadap dirinya.

Menjadi bahan lawak orang lain menyebabkan perasaan Jasmi cukup pedih hingga dia tidak mahu meneruskan persekolahan.

Mujur nasihat keluarga menyebabkannya meneruskan persekolahan hingga sekolah menengah, tetapi setakat mengambil peperiksaan LCE atau Lower Certificate of Education (setaraf Penilaian Menengah Rendah sekarang).

Jasmi yakin pengalaman pahit yang dialaminya ketika kecil tidak lagi berlaku kerana keadaan sekolah sudah berubah. Jika masih ada yang hendak membuli, guru pasti mengambil tindakan.

Tanpa perangkaan rasmi, Jasmi menganggarkan tidak kurang 2,000 orang kerdil di negara ini. Katanya, walaupun PKOKM hanya mempunyai kira-kira 500 ahli, jumlah sebenar adalah kira-kira empat kali ganda berdasarkan penemuan setiap hari.

Beliau melihat taraf kehidupan orang kerdil di negara ini semakin baik, tetapi di kawasan pedalaman masih ada sedikit masalah. Ada yang belajar setakat sekolah rendah kerana perasaan rendah diri dan tekanan orang sekeliling.

Walaupun mempunyai kekurangan, kehidupan orang kerdil sama seperti manusia lain, termasuk dari segi intelektual. Ada juga orang kerdil berkelulusan profesional dan memegang jawatan baik di sektor awam dan swasta. Malah di Barat, ada orang kerdil menjadi pakar bedah.

Katanya, status orang kerdil sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) melayakkan mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi sesetengah ibu bapa yang mempunyai anak kerdil bersikap tidak peduli atau tidak tahu mengenai bantuan yang ditawarkan.

“Saya tidak menafikan masih ada orang kerdil rendah diri atau malu, tetapi mendaftar diri di JKM memberi banyak manfaat,” katanya.

Seperti manusia normal, katanya keutamaan orang kerdil ialah mendapat pekerjaan, tetapi dengan kekurangan fizikal, sesetengah sektor pekerjaan tertutup rapat seperti pasukan pakaian seragam yang memerlukan ketinggian minimum 5’ 2”.

Walaupun tidak berlaku diskriminasi terhadap orang kerdil di negara ini untuk mendapatkan pekerjaan, sama ada di sektor awam dan swasta jika memenuhi syarat ditetapkan, tetapi kekurangan fizikal sedikit sebanyak menyebabkan peluang mereka tidak secerah orang normal.

Ini yang menyebabkan sesetengah orang kerdil lebih suka bekerja sendiri, terutama dalam bidang perniagaan seperti Jasmi yang pernah menjadi ejen insurans dan kini, perniagaan makanan.

Katanya, bidang perniagaan menjanjikan peluang lebih cerah kepada orang kerdil kerana mereka boleh berusaha sendiri dan JKM memberi bantuan modal untuk memulakan perniagaan secara berkelompok kepada OKU, termasuk orang kerdil.

Kerdil akibat genetik

Berita Harian, 17 julai 2006


KIRA-KIRA 70 peratus daripada kes kerdil adalah akibat faktor genetik, kata pensyarah bidang genetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rozita Rosli.

Katanya, kerdil berlaku apabila ibu bapa atau seorang daripada mereka mempunyai gen yang membawa elemen kerdil.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) berkata, jika seorang mempunyai gen itu, ini sudah mencukupi untuk menyebabkan anak mereka dilahirkan kerdil, tetapi risiko adalah lebih tinggi jika kedua ibu bapa membawa gen itu.

"Ini yang menyebabkan walaupun ibu bapa serta datuk dan nenek mempunyai saiz normal, tetapi ada kemungkinan bayi yang dilahirkan kerdil kerana faktor keturunan. Dalam salasilah keluarganya memang ada yang kerdil, tetapi kita tidak tahu di peringkat mana," katanya.

Dr Rozita, keadaan kedua yang menyebabkan kerdil ialah berlaku sesuatu terhadap gen yang sukar diterangkan dari sudut perubatan.

Dalam kes kerdil seperti Jasmi, katanya keadaan itu adalah kekurangan sebahagian hormon pertumbuhan ketika kanak-kanak menyebabkan proses pertumbuhan berlaku dengan sangat perlahan dan tidak membesar seperti kanak-kanak normal.

Beliau berkata, kerdil seperti sesetengah kecacatan lain boleh dikesan ketika peringkat awal mengandung melalui ujian pranatal, tetapi dalam kebanyakan kes hanya diketahui apabila dilahirkan.

“Bagaimanapun, kerdil hanya cacat fizikal. Mereka tidak ada masalah dari sudut lain. Malah dari segi mental, tidak ada beza dengan manusia normal. Mereka mampu melakukan apa yang manusia normal lain buat,” katanya.

Dalam kes kerdil membabitkan kecacatan tulang, katanya pembedahan boleh dilakukan untuk membetulkan keadaan tulang seperti memanjangkan tulang, sekali gus meninggikan tubuh orang kerdil supaya kembali kelihatan normal.

Sukar dapat pasangan normal

Berita Harian, 17 julai 2006

JIKA boleh, jiwa orang kerdil tidak mahu bertemu jodoh sesama orang kerdil. Bagi lelaki kerdil, mereka bimbang jika berkahwin sesama insan senasib, kemungkinan zuriat yang bakal lahir mewarisi ciri fizikal ibu bapa.

Bagaimanapun, harapan itu tidak mudah ditunaikan kerana pelbagai faktor, termasuk kekhuatiran ibu bapa gadis normal bahawa lelaki kerdil tidak akan mampu menyara anak mereka.

Inilah pengalaman Jasmi Shafie yang putus tunang dengan seorang gadis normal kerana tanggapan itu.

“Mungkin itu alasan, tetapi itulah yang saya dengar. Kami bertunang selama setahun, tetapi kerana sebab kecil, pertunangan diputuskan,” katanya.

Jasmi kemudian bertemu jodoh dengan gadis senasib dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun. Semua anak lebih tinggi daripada Jasmi dan isterinya, tetapi anak bongsu menghadapi beberapa masalah kesihatan.

Bagaimanapun, ada orang kerdil yang bertemu jodoh gadis normal. Bukan seorang, tetapi tiga orang dan kini dua orang pada masa sama.

Walaupun beristeri dua, Ikhsan Sirat, 44, menempuh laluan sukar pada usia lewat 20-an untuk mencari pasangan hidup.

“Saya memang hendak kahwin dan keluarga di Pontian, Johor, pun suruh menamatkan zaman bujang. Keluarga turut mencarikan calon yang sesuai, tetapi sedih kerana apabila pergi meminang, pelbagai alasan diberikan apabila mengetahui keadaan diri saya.

“Pinangan ditolak dengan mengatakan saya kerdil, tetapi dengan berhelah seperti anak gadis mereka belum sedia berkahwin. Mungkin tidak menyinggung perasaan saya, tetapi saya faham makna tersirat,” katanya.

Ikhsan berkata, gadis normal tidak menolak apabila diajak keluar berjalan, tetapi akan memberi pelbagai alasan apabila dia menyuarakan hasrat hati untuk menjalin hubungan serius.

Bagaimanapun, hasil usaha keluarga, Ikhsan bertemu gadis normal, tetapi perkahwinan tidak bertahan lama. Dia kemudian berkahwin lain, seorang gadis normal dan mungkin sudah jodohnya, dia berkahwin dengan isteri kedua yang juga normal.