Monday, July 17, 2006

Otitis media ganggu pendengaran budak

Berita Harian, 17 julai 2006


JANGKITAN telinga tengah (otitis media) memang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak. Malah antara 30 hingga 40 peratus kanak-kanak menghadapi masalah kesihatan ini.

Bagaimanapun disebabkan kanak-kanak pada awal usia tidak berkeupayaan berbahasa dengan sempurna, dia gagal memberitahu ibu bapa kesakitan dialaminya. Justeru, ibu bapa seharusnya lebih peka perkembangan anak dan memerhatikan kelainan tingkah lakunya.

Antara gejala otitis media (OM) ialah sukar tidur, kerap menggaru atau menarik telinga yang sakit, demam, selesema dan kadangkala batuk.

Ia terjadi dalam dua cara, jangkitan yang akan menyebabkan rasa sakit diikuti dengan nanah kerana gegendang telinga pecah manakala satu lagi terjadi dalam bentuk keradangan. Simptom keradangan ialah rasa gatal tetapi tidak bernanah.

Dalam dua kejadian OM ini, keradangan membawa kesan jangka panjang seperti kurang pendengaran dan akan melambatkan perkembangan pertuturan anak jika tidak dirawat manakala jangkitan bernanah akan sembuh sepenuhnya menerusi pemberian antibiotik. Bagaimanapun ia bukan jaminan masalah itu tidak berulang.

Gegendang telinga yang pecah biasanya akan bertaut kembali dalam kes OM yang bernanah. Tetapi jika lubang yang pecah itu besar dan OM terjadi berulang kali, gegendang mungkin tidak akan bertaut dan menyebabkan kesan pada pendengaran.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Amir Izwan Mohamed Dahan, berkata setiap kanak-kanak berisiko mengalami OM sejak berusia beberapa bulan hingga sembilan tahun.

“Walaupun orang dewasa juga berhadapan masalah OM tetapi kanak-kanak lebih kerap menghidapinya kerana sistem ketahanan tubuh masih rendah dan tiub eustachian kanak-kanak (tiub yang menghubungkan bahagian atas tekak ke telinga tengah) pendek dan lurus berbanding orang dewasa,” katanya.

Keadaan ini katanya, menyumbang kepada berlakunya OM dalam pelbagai cara. Selalunya tiub ini tertutup tetapi terbuka untuk proses ‘pengudaraan’ atau menambah udara dalam telinga tengah. Tiub ini juga berfungsi menyeimbangkan tekanan udara di telinga tengah dengan tekanan udara di kawasan sekeliling yang berubah.

Bagaimanapun, jika tiub itu tersekat oleh kebengkakan atau mukus yang terbentuk oleh selesema ia tidak akan terbuka untuk proses pengudaraan itu. Ini menyebabkan cecair dari lapisan tisu telinga tengah terkumpul. Jika tiub itu terus tertutup, cecair itu tidak kering.

Satu faktor lagi mengapa kanak-kanak kerap berhadapan dengan OM kerana tisu yang mengembang di belakang kerongkong (adenoids) kanak-kanak biasanya lebih besar berbanding dewasa. Adenoids terdiri daripada sel limfa yang besar untuk melawan jangkitan. Ia terletak di belakang bahagian atas tekak. Kerana saiznya, adenoids boleh mengganggu pembukaan tiub eustachian. Malah, adenoids mungkin berhadapan jangkitan dan jangkitan itu akan merebak ke tiub eustachian.

“Untuk mencegah OM ada beberapa cara. Antaranya imunisasi menentang jangkitan virus pernafasan atau secara khusus menentang bakteria penyebab OM. Selain itu kebanyakan doktor menyarankan penggunaan antibiotik. Jika OM menyebabkan kesakitan, ubat tahan sakit diberikan. Penting untuk ibu bapa mematuhi arahan doktor dan antibiotik diberikan mengikut jadual hingga habis,” katanya.

Apatah lagi katanya jika kanak-kanak itu diletakkan di pusat asuhan kerana ibu bapa bekerja. Kanak-kanak yang berhadapan dengan OM harus diasingkan dengan rakan lain.

Kanak-kanak yang tinggal dengan ahli keluarga yang merokok juga cenderung untuk berhadapan dengan risiko OM. Justeru, elakkan mereka dari persekitaran yang penuh dengan asap rokok. Menyusukan anak (sama ada susu badan atau susu botol) sambil berbaring boleh juga menyebabkan susu mengalir masuk ke dalam telinga tanpa disedari. Justeru perhatikan anak yang sedang menyusu.

Secara umum, OM disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae dan Haemophilus influenzae. Bakteria yang sama boleh menyebabkan selesema yang biasa dihadapi kanak-kanak. Perhatikan berapa lama dia terkena selesema. Kadangkala selesema berpanjangan tanpa batuk pun boleh menyebabkan OM.

Kesan OM pada kanak-kanak

Bukan saja menyebabkan kesakitan, ia boleh menyebabkan komplikasi lebih serius jika tidak dirawat. Jangkitan yang tidak dirawat akan merebak dari telinga tengah ke bahagian berdekatan kepala termasuk otak. Walaupun kehilangan pendengaran disebabkan OM bersifat sementara, OM yang tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Nanah yang keluar dari telinga tengah dan kronik OM akan mengurangkan keupayaannya mendengar dan melambatkan proses pertuturan dan berbahasa.

No comments: