Muhammad Lee johan istimewa Tilawah Al-Quran Saudara Kita
KUALA LUMPUR 7 Julai - Muhammad Lee Abdullah muncul johan kategori istimewa dalam Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Kita 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Muhammad Lee yang cacat penglihatan memperdengarkan bacaannya dengan menggunakan al-Quran bertulisan braille.
Beliau yang memeluk Islam pada Januari 1987 menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM3,000 dan makanan kesihatan.
Raffie Ghalil Abbas pula memenangi kategori qari terbuka manakala Siti Salmiah Sulong menjuarai kategori qariah terbuka.
Kedua-dua mereka menerima hadiah Piala Pusingan Sultan Haji Ahmad Shah, piala iringan, wang tunai RM10,000, tiket menunaikan umrah dan barangan kesihatan setiap seorang.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Ketika ditemui selepas itu, Muhammad Lee berkata, kemenangannya itu adalah bukti golongan kurang upaya mampu membaca al-Quran seperti manusia biasa.
“Saya tidak menghadapi masalah walaupun membaca al-Quran dalam tulisan braille,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah berkata, tilawah tahun ini menunjukkan peningkatan peserta dari 86 kepada 130 orang.
‘‘Penambahan penyertaan ini menunjukkan Islam mudah difahami dan diterima masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment