Tuesday, July 04, 2006

Edisi Selatan: Juita dapat derma RM50,000

Harian Metro, 4 julai 2006

Oleh Jamaludin Husin
am@hmetro.com.my

MUAR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta di Serom, menderma kira-kira RM50,000 bagi mengisi tabung Badan Amal Tenaga Isteri Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) bertujuan meningkatkan mutu pengurusan Pusat Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.

Mereka yang memberi sumbangan termasuk kontraktor dan usahawan Bumiputera serta parti politik termasuk Umno dan MCA, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom.

Sumbangan itu diserahkan wakil NGO dan syarikat terbabit kepada Yang Dipertua Juita, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin, sempena majlis perasmian bangunan baru PDK itu di sini, kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Serom, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Adun Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh, Pegawai Daerah, Datuk Zalil Baron dan Pengerusi PDK, Asiah Mohd Nor.

Dr Jamilah yang juga isteri Menteri Besar berkata, derma yang dikumpul itu membolehkan pihak Juita menyalurkan bantuan kepada PDK bagi kepentingan pelatih yang ditempatkan di pusat komuniti berkenaan.

Beliau berkata, setiap PDK menerima bantuan tahunan daripada Juita bagi tujuan pengurusan, selain peruntukan yang disalurkan kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi PDK DUN Serom, pihak Juita menyalurkan bantuan RM10,000 awal tahun ini dan ditambah RM2,000 lagi sebagai geran insentif sempena majlis perasmian bangunan baru pusat komuniti berkenaan.

“Juita mengalu-alukan bantuan dan sumbangan orang ramai termasuk sektor swasta bagi membolehkan pelatih PDK yang terdiri daripada golongan istimewa,” katanya selepas majlis perasmian itu.

Seorang kontraktor kelas F, Yahya Othman, dari Kampung Kolam, Serom, di sini, berkata sempena majis itu dia turut menyumbang RM1,000 kepada tabung Juita.

Katanya, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih Juita membela nasib golongan kurang bernasib baik yang ditempatkan di PDK.

“Mereka yang terdiri daripada kalangan terencat akal dan fizikal serta sindrom down, menjalani pelbagai latihan di PDK dan memerlukan sokongan masyarakat.

“Walaupun sumbangan saya tidak seberapa, namun diharapkan ia dapat membantu meningkatkan lagi usaha Juita menjalankan pelbagai kegiatan kepada golongan istimewa yang ditempatkan di PDK,” katanya.

No comments: