Wednesday, July 12, 2006

`Topi berfikir’ bantu golongan lumpuh guna komputer

Utusan Malaysia, 11 julai 2006

Oleh ARIFFIN ABDUL MUTALIB


Seorang subjek kajian berada dalam bilik immersive yang dipanggil 'cave' dan membayangkan dirinya berada dalam situasi sedang berjalan ke hujung jalan dalam persekitaran maya.


TEKNOLOGI pengkomputeran semakin maju dan berperanan sebagai tulang belakang perkembangan arus perdana. Sokongan daripada teknologi pengkomputeran mampu mengubah cara manusia berurusan, berfikir, merancang, dan melakukan tindakan-tindakan lain tidak kira dalam apa bidang sekalipun.

Kekurangan yang wujud dalam pelbagai aspek suatu ketika dahulu kini telah banyak yang terungkai.

Golongan kurang upaya yang jarang diberi perhatian di masa lampau, kini merupakan suatu entiti yang dipandang mampu menjadi sumber yang produktif kepada sesebuah organisasi.

Kini, kajian dalam bidang sains komputer bagi menghasilkan teknologi khusus untuk golongan kurang upaya semakin diperhebat.

Penghasilan perisian-perisian seperti screen reader, screen magnifier’ dan perkakasan-perkakasan seperti HeadMouse® Extreme dan Braille pad membolehkan golongan kurang upaya menggunakan komputer.

Bukan itu sahaja, malah teknologi pengkomputeran khusus bagi golongan lemah kognitif juga dibangunkan seperti perisian pengenal suara dan teks-ke-ucapan.

Kini satu teknologi pengkomputeran yang amat canggih telah dihasilkan. Teknologi yang dimaksudkan ialah `Thinking Cap’ atau `Topi Berfikir,’ iaitu satu alat yang membantu golongan lumpuh menggunakan komputer.

Dari segi reka bentuk fizikal, ‘Thinking Cap’ merupakan sebuah topi, dibenamkan dengan elektrod yang berfungsi untuk mentafsirkan gelombang yang dihasilkan oleh otak melalui pemikiran yang terhasil di dalamnya.

Selain itu, sebuah penguat electroencephalogram, dan perisian yang khusus diperlukan. Gelombang yang dijana tersebut merupakan input (direkod sebagai electroencephalogram (EEG) kepada sistem, bagi menghasilkan tindakbalas.

Sistem ini sedang disiapkan secara kerjasama oleh para penyelidik di Graz University of Technology di Austria, di University College London dan Guger Technologies, yang juga di Graz.

Penggunaan sistem ini dalam aplikasi persekitaran maya melenyapkan falsafah penggunaan kayu bedik (joystick) atau alatan yang lain bagi membolehkan orang lumpuh juga berinteraksi dengan aplikasi sedemikian.

Menurut salah seorang penyelidik utamanya yang sedang menamatkan pengajian doktor falsafah, Robert Leeb; “Ia kelihatan pelik, seperti dalam filem fiksyen yang mana kita menggerakkan sesuatu melalui kawalan minda”.

Gambaran ini banyak ditonjolkan melalui filem-filem Hollywood.

Ujian telah dilakukan terhadap `Thinking Cap’ melibatkan tiga individu (subjek) pada suku akhir 2005.

Tiga kaedah digunakan untuk mendapatkan maklum balas mengenai sistem iaitu menggerakkan satu bar di antara garis silang pada skrin komputer, menyelusuri ruang maya dengan memakai alatan head-mounted display.

Ia juga dilakukan ujian duduk di dalam satu bilik immersive yang dipanggil ‘cave’ sambil membayangkan diri sedang menyelusuri jalan hingga ke hujung dalam persekitaran maya.

Dalam setiap persekitaran, pelbagai ‘keu’ termasuk audio dan visual disediakan seperti bunyi `bip’ sebanyak dua kali jika subjek memikirkan untuk menggerakkan tangan atau kaki.

Hasilnya, sistem ‘Thinking Cap’ telah terbukti berjaya menggerakkan penunjuk kursor menggunakan gelombang otak.

Ujian yang dijalankan membuktikan projek yang diterajui oleh Robert Leeb itu membolehkan semua subjek berjaya menyelusuri semua persekitaran dengan baik, malah dua daripadanya berjaya mencapai keputusan 100 peratus.

Kejayaan Leeb telah menyumbang kepada maklum balas yang sangat tinggi dalam arus ilusi realiti maya.

Kini, usaha-usaha bagi mengasingkan gelombang yang benar-benar merupakan signal daripada gangguan (noise) giat dijalankan.

Profesor Andrea Kuebler, seorang pakar dalam bidang Brain-Machine Interfaces di University Tübingen, Germany memberi reaksi, “mengkategorikan perkara penting, itulah cabaran utama kajian ini.”

Kejayaan penghasilan teknologi pengkomputeran seperti ini sudah semestinya membuka lagi ruangan baru dalam arus perkembangan cabang ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Gabungan pelbagai bidang ilmu termasuk teknologi maklumat, psikologi dan kejuruteraan ini membolehkan hasrat membantu golongan kurang upaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi semakin diperluas.

* ARIFFIN ABDUL MUTALIB ialah pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat, University Utara Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel: am.ariffin@uum.


1 comment:

Uscho_Croatia said...

hy,nice blog you have.....
i really like it......

visit my blog and leave comment

:-)