Tuesday, July 04, 2006

Di Saat Kau Ucapkan malukan penonton Melayu

Utusan Malaysia, 4 julai 2006

APAKAH yang telah terucap dalam drama Di saat Kau Ucapkan melalui slot Cerekarama TV3 pada malam minggu lalu (1 Julai 2006)?. Adegan keterlaluan mencampak sepinggan nasi, menyimbah secawan teh serta kata-kata kesat yang jelas memperlekeh golongan pembantu rumah, pesakit jiwa, orang cacat pendengaran dan penglihatan.

Itulah yang nampaknya mahu diucapkan dalam drama tersebut.

Saya berpendapat, karya berbentuk beginilah yang merencatkan minat penonton untuk terus setia menyokong drama atau filem tempatan.

Tidak dinafikan Cerekarama TV3 antara sebilangan kecil slot TV khusus memberi ruang kepada drama tempatan berbahasa Melayu untuk terus bernafas (walaupun sesetengahnya lemas dalam bahasa rojak) di tengah-tengah lautan drama asing pelbagai bahasa yang disiarkan oleh semua saluran TV kini.

Saya percaya drama arahan Haris Abdul Kadir terbitan SRS Productions ini membuatkan penonton menggeleng kepala, tersentak malah malu dengan imej yang diketengahkan dalam drama tersebut.

Itu belum lagi plot cerita yang hambar dan banyak elemen tidak masuk akal.

Watak ibu Rita mati disebabkan kepalanya terhantuk selepas jatuh tangga. Malah, Rita juga jatuh lalu keguguran. Tiada sedikitpun usaha Rita untuk cuba melarikan diri mendapatkan bantuan daripada terus dianiaya.

Hambali pula tidak berinisiatif untuk berjumpa secara bersemuka dengan bekas kekasihnya, sebaliknya hanya singgah meninjau dari jauh rumah Rita sahaja.

Begitu juga, punyalah berhari-hari Rita yang menghadapi tekanan jiwa berkeliaran di kawasan tumpuan warga KL dengan memegang pisau. Hebat, masyarakat kota kita tidak sedikitpun berasa terancam serta bagaikan tiadanya pemantauan daripada pihak berkuasa di bandar raya!

Justeru, diharapkan supaya mereka yang terlibat dalam penghasilan drama tempatan supaya sentiasa berhati-hati dalam berkarya.

Sensitiviti terhadap nilai budaya murni dan akal budi Melayu perlu diberi perhatian. Mereka perlu belajar menyampaikan mesej berkonotasi negatif yang dibawa oleh sesuatu watak secara halus dan berlapik atau menggunakan perlambangan tertentu.

Paparan negatif secara berterus-terang melalui dialog dan perlakuan melampau memiskinkan elemen keindahan dalam karya serta merosakkan mesej moral yang hendak disampaikan.

Lebih jauh daripada itu, menimbulkan tanggapan sinis dan membosankan khalayak penonton terutama kelompok Melayu urban dan bukan Melayu terhadap mutu drama atau filem tempatan berbahasa Melayu.

Juga, mengaibkan orang Melayu yang kaya dengan keperibadian murni bangsanya dan pegangan agamanya. Apatah lagi, dengan latar korporat golongan kelas pertengahan Melayu yang cuba diketengahkan oleh drama tersebut.

Mungkin ada baiknya selepas ini, penulis skrip, pengarah, penerbit mahupun pelakon bersama-sama menelaah hasil kerja produksi karyawan dari negara jiran, Indonesia.

Konflik akibat konspirasi perebutan harta dan kekayaan individu atau syarikat sememangnya klise. Namun, jika disampaikan dengan pendekatan yang berhemah atau beradab, plot cerita yang lancar serta sedikit masuk akal bukan sahaja menjadikan drama yang diterbitkan lebih bermutu malah mampu memancarkan citra positif masyarakat Melayu kepada audiens yang pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana konflik yang sama diadun dengan cara lebih menarik dan kreatif tanpa banyak babak negatif yang ditonjolkan secara terang-terangan seperti dalam drama Malim Kundang yang disiarkan menerusi TV2 setiap petang.

Malah, harus diteladani daripada mereka juga, bagaimana garapan cerita tanpa bahasa bercampur-aduk atau caca-marba masih mampu melahirkan ungkapan-ungkapan kata yang bermakna, tersusun, sopan dan ada ketika puitis menjadikan jalinan cerita bergerak lancar.

Penonjolan keterlaluan perlakuan biadap, kata-kata menghina, bahasa rojak dan kekerapan wujudnya watak kurang siuman bukanlah satu-satunya cara untuk menarik perhatian penonton seterusnya mengangkat kualiti hasil kerja seni produksi tempatan.

Nyata, pengisian drama atau filem yang penuh dengan elemen menjengkelkan serta lontaran dialog kesat jelas bertentangan dengan citra murni budaya kita.

Apatah lagi dalam usaha kerajaan menggiatkan Kempen Budi Bahasa untuk segenap peringkat umur dan seluruh lapisan masyarakat.

Jadikan karya drama dan filem nasional sebagai wadah memartabatkan bahasa, budaya dan akal budi kita sebagai jati diri kebanggaan bangsa Malaysia.

– MOHD ARIF ATAN,

Universiti Malaya.

No comments: