Sunday, July 09, 2006

Projek kesan penyakit keturunan dilancar

Berita Minggu, 9 julai 2006


KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat tidak berkahwin dengan saudara mara terdekat sama ada di pihak ibu atau bapa bagi mengelak risiko penyakit keturunan yang boleh menyebabkan anak mereka mengalami kecacatan anggota atau terencat akal.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan projek sulung mengesan penyakit metabolik semula jadi (IEM) bayi dalam kandungan di 10 hospital, bulan depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata kalau boleh cuba elakkan berkahwin dengan saudara dekat kerana anak yang bakal dilahirkan akan mendapat genetik dan enzim yang tidak berkembang sehingga boleh menyebabkan bayi menghidap IEM.

Beliau berkata, perkahwinan itu boleh menjejaskan tumbesaran otak dan fizikal anak sejak lahir lagi.

Projek mengesan IEM itu katanya, adalah projek pertama diperkenalkan pada peringkat Asia yang memperuntukkan RM2 kepada setiap 150,000 bayi di seluruh negara.

Kaedah pengesanan penyakit berkenaan dilaksanakan dengan mengambil tiga titis darah bayi bertujuan mengenal pasti penyakit dihadapi bayi berkenaan.

“IEM mempunyai kira-kira 100 jenis penyakit. Melalui projek ini, kita dapat mengesan kira-kira 40 jenis penyakit,” katanya selepas merasmikan Majlis Kem Metabolik Malaysia di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.

Turut hadir, Pakar Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Choy Yew Sing dan Presiden Persatuan Metabolik Malaysia, Azmi Abu Samah.

Majlis berkenaan anjuran Persatuan Metabolik Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun lalu, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit IEM dari semasa ke semasa.

Dr Choy berkata, kajian menunjukkan penyakit IEM jarang ditemui iaitu dengan nisbah 1:1500.

“IEM iaitu sekumpulan penyakit keturunan yang menjejas tindak balas kimia dalam badan. Penyakit seperti Maple syrup urine disease (MSUD), Urea cycle defects (UCD), Methylmalonic acedemia (MMA), Mucopolysaccharidosis (MPS) dan Mitochondrial disease adalah penyebab utama terencat akal dan kecacatan anggota.

Sementara itu, seorang ibu tunggal yang juga bekas Eksekutif Jualan, Wong Yoke Leng, 46, terpaksa berhenti kerja berikutan anak kembarnya yang berusia tujuh, mengidap EIM sejak tahun lalu.

“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dua anak, Harry Wong Soon Lee dan Henry Wong Shery Lee. Mereka dipercayai menghidap penyakit itu ketika belajar di tadika.

“Perubahan ketara ketika mereka masuk tahun dua di tadika berkenaan,” katanya yang berasal dari Setapak.

Wong yang bersama ibunya Chan Yoong, 70, menghabiskan wang kira-kira RM10,000 bagi menjalani perubatan anaknya.

No comments: