Thursday, July 27, 2006

Nada Nadi Komuniti penggerak utama masyarakat penyayang

Utusan Malaysia, 27 julai 2006

BANGI 26 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini melancarkan Nada Nadi Komuniti, sebuah program pembangunan masyarakat baru yang bakal menjadi penggerak utama dalam membangunkan masyarakat penyayang di negara ini.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di sini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Timbalannya, Datuk G. Palanivel dan Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Shahrizat berkata, program baru itu akan memupuk budaya ‘komuniti untuk komuniti’ yang menyaksikan kerajaan dan rakyat saling berganding bahu dalam menangani pelbagai isu sosial dan kemasyarakatan.

Katanya, antara teras utama program Nada Nadi Komuniti adalah untuk menyemarakkan semula semangat kesukarelaan di kalangan masyarakat negara ini.

“Kita mahu supaya kesukarelaan menjadi budaya hidup rakyat Malaysia di mana jua mereka berada,’’ katanya.

Beliau menambah, di bawah program itu, sukarelawan akan digerakkan di bawah Briged Kebajikan Perdana yang akan ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen.

Shahrizat berkata, dua anugerah, Anugerah CSR Perdana Menteri dan Anugerah Mayang Sri Endon akan diperkenalkan bagi mengiktiraf sumbangan masyarakat serta badan korporat dalam menjayakan aktiviti pembangunan masyarakat.

Katanya, Anugerah CSR Perdana Menteri dikhususkan untuk badan korporat manakala Anugerah Mayang Sri Endon kepada individu yang bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sukarela.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melancarkan logo baru JKM sempena sambutan ulang tahun ke-60 jabatan itu, Tahun Kebajikan Negara 2006 serta perasmian bangunan PLPP.

Beliau turut melepaskan Konvoi Kembara JKM yang merupakan program pertama Briged Kebajikan Perdana di bawah Nada Nadi Komuniti.

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrizat berkata, sejajar dengan perkembangan semasa, kementerian telah mengkaji semula pendekatan pemberian bantuan dengan memperkenalkan bantuan berkonsepkan kebajikan produktif.

“Menerusi konsep ini, selain menerima bantuan, golongan yang memerlukan bantuan akan ditingkatkan potensi mereka supaya mampu berdikari tanpa bergantung sepenuhnya dengan kerajaan,’’ katanya.

Dalam hal ini, katanya, ia menuntut perubahan sikap di kalangan penerima bantuan selain bantuan-bantuan daripada NGO khususnya dalam menyediakan latihan bagi menjayakan konsep kebajikan produktif itu.

Katanya, antara dasar yang sedang dirangka ialah Dasar Orang Kurang Upaya (OKU), Dasar Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak manakala dasar yang dikaji semula ialah Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Wanita Negara

3 comments:

Anonymous said...

Here are some links that I believe will be interested

Anonymous said...

Great site loved it alot, will come back and visit again.
»

Anonymous said...

Looks nice! Awesome content. Good job guys.
»