Thursday, July 27, 2006

Manfaat rawatan segera koklea

Utusan Malaysia, 27 julai 2006

Pembedahan pertama pemasangan implan koklea yang dilakukan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway dijalankan pada 10 Februari 2004.

Kini pusat perubatan itu telah berjaya mengendalikan 14 kes pembedahan seumpamanya. Yang terbaru adalah terhadap pesakit kanak-kanak, How Wai Ho, yang berusia enam tahun.

Pembedahan pemasangan implan koklea boleh dilakukan terhadap kanak-kanak seawal usia setahun sehinggalah warga emas.

Menurut Perunding Pembedahan ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) pusat perubatan berkenaan, Dr. Koay Cheng Boon, sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak mereka menghadapi masalah pendengaran, mereka perlu mendapatkan rawatan segera.

“Ini penting kerana sekiranya lambat mendapatkan rawatan iaitu kanak-kanak berkenaan telah melebihi usia lima tahun, lambat bagi kanak-kanak ini untuk berkembang dari segi kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Cheng Boon berkata, proses pertama yang akan dilakukan sebelum rawatan atau pembedahan, bayi atau kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran akan menjalani beberapa program imbasan pendengaran terlebih dahulu.

Malah beliau turut menyarankan agar ibu bapa melakukan program imbasan pendengaran di hospital-hospital yang menawarkan perkhidmatan itu bagi mendapatkan keputusan lebih awal berkenaan keadaan pendengaran anak-anak mereka.

Cheng Boon berkata, alatan terkini untuk pemeriksaan tahap pendengaran adalah menerusi program OAE (Oto Acoustic Emission) yang mana ibu bapa boleh mendapatkan pemeriksaan pendengaran bayi.

Seterusnya, mereka akan menjalani ujian pendengaran menerusi alatan yang paling moden dan canggih dipanggil ABR (Auditory Brainstem Response) bagi menentukan di tahap mana pendengaran bayi atau kanak-kanak berkenaan.

“Sekiranya kanak-kanak itu mempunyai masalah pendengaran pada tahap sederhana atau tidak sepenuhnya mereka hanya perlu menggunakan alat bantuan pendengaran.

“Tetapi sekiranya mereka menghadapi masalah pendengaran yang serius, doktor akan mencadangkan kepada ibu bapa agar anak-anak mereka menjalani pembedahan pemasangan implan koklea,’’ katanya.

Menurut Cheng Boon, pembedahan implan koklea hanya boleh dilakukan ketika bayi berkenaan berusia setahun dan sehingga menjelang ke usia itu, bayi berkenaan akan dipakaikan dengan alat bantuan pendengaran.

Terapi pertuturan

Pada masa yang sama, ibu bapa akan diberikan latihan terapi pertuturan bagi membantu mereka berkomunikasi dengan anak-anak mereka menerusi kaedah yang betul.

Pembedahan implan koklea mengambil masa dua hingga tiga jam. Terdapat dua alat komponen yang digunakan oleh pesakit iaitu satu alat komponen yang bakal dimasukkan ke dalam kulit di belakang telinga dan satu lagi dipakai di bahagian luar telinga.

Hanya selepas dua minggu pembedahan pemasangan implan koklea dilakukan ke atas pesakit, barulah alat pendengaran berkenaan diaktifkan dan pesakit berpeluang mendengar buat pertama kali.

Sementara itu Ketua Pakar Audiologi, Pusat Perubatan Sunway, Mazwin Omar berkata, implan koklear merupakan alat bantuan pendengaran yang berfungsi meningkatkan tahap pendengaran dengan merangsang saraf-saraf telinga dalam secara elektrikal.

Selepas komponen luar diaktifkan proses pertuturan akan diprogramkan dengan sejumlah program penghantaran bunyi individu yang dipanggil MAPS.

Proses pemetaan ini bertujuan menyesuaikan alat berkenaan dengan tahap pendengaran terbaik seseorang dalam persekitaran bunyi yang berbeza.

“Selepas diaktifkan pada hari pertama kita kena mengambil masa untuk memastikan semua komponen berjalan lancar,’’ katanya.

Selepas proses ini, kanak-kanak tadi akan menjalani terapi pertuturan. Dalam tempoh tiga bulan pertama mereka akan belajar mengesan dan mengenal pasti bunyi. Kaedah yang digunakan ialah bahasa dan percakapan yang berbentuk ulangan.

“Situasi perkembangan kanak-kanak adalah berbeza pada tahap ini. Ada yang cepat belajar dan ada yang memerlukan masa.

“Perkembangan pembelajaran ketika ini adalah sama sebagaimana bayi yang baru hendak belajar bercakap,’’ katanya.

Mazwin berkata, ramai di kalangan kita yang tidak tahu kesan besar yang ditanggung oleh anak-anak yang mengalami masalah pendengaran.

Sekiranya dibiarkan, sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan, bersosial dan belajar apabila usia semakin meningkat.

“Apabila kita tidak boleh mendengar, kita tidak boleh memproses pelbagai perkara yang kita nampak ke dalam otak.

“Bahkan untuk belajar membaca pun kita mesti mendengar dahulu,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa anak-anak yang menghadapi masalah pendengaran perlu mendapatkan rawatan awal kerana dengan cara itu peluang untuk anak-anak mereka berkomunikasi dan berinteraksi lebih awal adalah cerah.

1 comment:

Anonymous said...

Yes, it is a good article for information. Many parents are not aware of the benefits of early detection of hearing loss in children.