Ultrasound kesan kecacatan bayi
Utusan Malaysia, 3 september 2006
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
DARI melihat jantung bayi berdegup, menguap, tersedu, menghisap ibu jari dan menggeliatkan tubuhnya, ultrasound ibu hamil menjadi pengalaman mencuit hati tentang ahli keluarga baru yang masih di dalam kandungan.
Jika sebelum tahun 1950-an ibu bapa hanya dapat melihat kelibat bayi mereka buat pertama kalinya sebaik sahaja dilahirkan, namun kini kecanggihan teknologi membolehkan senyuman bayi dirakamkan berbulan-bulan lamanya sebelum dilahirkan.
Pada awalnya, ibu dan ayah hanya dapat melihat imej bayi mereka itu yang rata dan berwarna hitam putih menggunakan ultrasound dua dimensi (2D) tradisional. Imej ultrasound tiga dimensi (3D) mula dibangunkan pada tahun 1986 oleh Kazunori Baba dari University of Tokyo.
Bagaimanapun, tontonan imej ultrasound 3D yang mengambil gambar janin pada masa sebenar iaitu ketika bayi sedang bergerak-gerak, hanya menjadi realiti sedekad kemudian melalui penggunaan komputer yang lebih berkuasa tinggi.
Bayi seakan melambai-lambaikan tangannya yang kecil itu menerusi tingkap ke arah anda yang berada di dalam bilik doktor. Anda akan mula berteka-teki tentang mata, hidung atau raut wajahnya yang lebih mirip ‘mama’ atau ‘papa’.
Ultrasound untuk wanita mengandung atau ultrasound janin turut dikenali dengan pelbagai nama lain. Antaranya, sonogram kehamilan, ultrasonografi obstetrik dan sonogram obstetrik.
Namun, peluang mengetahui profil bayi anda bukanlah semata-mata bertujuan mengesahkan jantina bayi ataupun memberikan ibu bapa thrill (satu macam perasaan yang menggetarkan jiwa) mahupun untuk suka-suka sahaja.
Lebih dari itu, ultrasound membantu doktor anda membuat penilaian tentang perkembangan dan tumbesaran si manja. Jantina bayi merupakan satu bonus sahaja apabila ultrasound dilaksanakan bagi tujuan perubatan.
“Kebanyakan wanita tanpa mengira usia, mempunyai risiko yang kecil untuk melahirkan bayi dengan kecacatan fizikal mahu pun mental. Majoriti bayi yang dilahirkan adalah normal.
“Ultrasound biasanya dilakukan apabila kandungan disyaki tidak normal. Jika tidak, secara umumnya ia dilakukan semasa kandungan dianggarkan mencapai tujuh minggu.
“Ia bertujuan mengesahkan kehamilan dan memantau tahap kesihatan ibu serta perkembangan janinnya,’’ kata Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Fairuz A’shikin Abd. Kadir.
Menurutnya, semasa ultrasound dijalankan, gelombang bunyi berfrekuensi tinggi akan dihantar ke tisu-tisu yang terdapat di sekitar abdomen wanita hamil.
“Gelombang-gelombang bunyi ini akan dilantunkan ke seluruh struktur badan ibu dan janin.
“Ia kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk kawasan terang dan gelap - membentuk imej bayi anda pada monitor dan filem,’’ kata beliau.
Pengimejan ultrasound ini berdasarkan prinsip yang sama digunakan dalam sonar (alat pengesan di dalam air menggunakan gelombang bunyi) kapal, kelawar dan pengail yang dipasangkan dengan pengesan ikan.
Apabila bunyi yang dikawal melantun setelah terkena objek, gelombang yang bergema boleh digunakan bagi mengenal pasti berapa jauh kedudukan objek, saiz, bentuk serta konsistensi dalamannya sama ada cecair, pepejal atau campuran.
Dari segi psikologi, ultrasound bukan sahaja memberikan ketenangan fikiran kepada pasangan suami isteri tetapi juga berupaya membina ikatan kasih sayang yang lebih kukuh di antara ibu bapa dengan zuriat mereka.
Kajian turut membuktikan bahawa ibu berkenaan lebih mengambil berat tentang kesihatan dan pemakanannya serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam demi si bayi yang bakal lahir.
Bagaimanakah ultrasound dilakukan?
Prosedur dilakukan sambil berbaring. Gel yang jernih berasaskan air akan disapukan pada bahagian perut untuk membantu penghantaran gelombang bunyi.
Transducer iaitu alat yang menerima gelombang yang dipegang oleh doktor akan digerakkan ke depan dan ke belakang di atas perut bahagian bawah dan sekitar pelvis.
Persediaan
Anda dikehendaki minum dua hingga tiga gelas air, sejam sebelum ujian. Anda juga tidak dibenarkan membuang air kecil sehinggalah pemeriksaan selesai bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik.
Pakai baju yang longgar bersama kain atau seluar. Elakkan memakai gaun, maxi atau jubah jika tidak mahu menukar pakaian kerana hanya bahagian bawah perut yang perlu didedahkan untuk pemeriksaan.
Bagaimanakah rasanya?
Mungkin anda akan terasa kurang selesa disebabkan oleh pundi kencing yang penuh. Gel yang disapukan tadi akan terasa sedikit basah dan sejuk.
Risiko
Sehingga kini, tiada kesan biologi yang didokumentasikan baik oleh si ibu mahu pun bayi dengan penggunaan teknik-teknik ultrasound sedia ada. Tiada radiasi berion yang terlibat.
Apa perlunya ultrasound?
Sesetengah embrio membesar di dalam tiub fallopio dan bukannya di dalam rahim seperti sepatutnya. Ultrasound membantu doktor mengesan serta merawat kehamilan di luar rahim sebelum ia membahayakan kesihatan.
Dengan mengetahui usia bayi juga, doktor boleh menentukan dengan lebih tepat tarikh bayi dijangka lahir sekali gus membolehkan masa-masa penting sepanjang kehamilan itu dijejaki.
Sekiranya doktor mengesyaki kandungan lebih dari satu (kembar), ultrasound boleh memastikannya.
Doktor juga akan menggunakan ultrasound untuk memastikan sama ada bayi membesar normal - dengan memantau pergerakan bayi, pernafasan dan degupan jantungnya.
Sementara itu, segala masalah dengan uri yang memerlukan perhatian juga boleh diselidiki. Ini penting kerana uri membekalkan bayi dengan sumber pemakanan serta darah yang kaya dengan oksigen.
Sekiranya berlaku pendarahan atau lain-lain komplikasi, doktor akan melakukan penyiasatan lanjut menggunakan ultrasound.
Ultrasound turut dijadikan panduan untuk menempatkan jarum suntikan semasa ujian-ujian pranatal.
Misalnya, memeriksa sampel cecair amniotik bagi masalah-masalah genetik tertentu (amniosentisis) atau menguji contoh plasenta (uri) bagi keabnormalan genetik (pensampelan vilus korionik).
Akhir sekali, ultrasound membantu doktor mengesan sebarang kecacatan yang mungkin berlaku kepada bayi di dalam kandungan.
Diagnosis awal boleh mendorong kepada rawatan segera yang boleh menyelamatkan bayi dan ia boleh dikesan sebelum kandungan masuk minggu ke-20.
Antara kecacatan yang mungkin berlaku
* Hidrosefalus; masalah kepala bayi yang membesar
* Anensefali; ketiadaan tulang-tulang (separa atau lengkap) pada bahagian belakang tengkorak
* Spina bifida: kecacatan perkembangan bayi baru lahir dan sebahagian daripada korda spina serta salutan-salutannya terdedah melalui celah tulang belakang. Ia boleh didiagnosis kira-kira minggu ke-16 kehamilan melalui ujian cecair amniotik.
* Sumbing bibir dan lelangit
* Penyakit jantung kongenital (sejak lahir)
Jenis-jenis ultrasound
* Standard; jenis ini membina imej 2D bagi membantu doktor menentukan usia janin selain menilai tumbesaran serta perkembangannya.
Boleh dikatakan kebanyakan ultrasound menghasilkan bayi yang normal dan sihat atau kadang-kala, kembar.Pemeriksaan ultrasound pranatal yang standard selalunya mengambil masa kira-kira 20 minit.
* Ultrasound lanjutan; jenis ini lebih kurang sama dengan ultrasoud standard tetapi pemeriksaannya mensasarkan masalah yang dikhuatiri, menggunakan peralatan yang lebih sofistikated. Ia biasanya mengambil masa kira-kira 30 minit ke beberapa jam lamanya.
* Ultrasound transvaginal; doktor akan meletakkan alat seperti tongkat di dalam faraj untuk menghantar gelombang bunyi dan mengumpulkan refleksinya.
Ia digunakan secara lebih kerap pada awal kehamilan apabila rahim dan tiub fallopio berada lebih hampir dengan faraj berbanding permukaan perut.
* Ultrasound 3D; menawarkan imej 3D dengan kualiti foto yang lebih terperinci. Ia berupaya menilai dengan lebih lanjut imej-imej yang diperoleh daripada ultrasound lanjutan
* Pengimejan doppler; mengukur perubahan-perubahan yang berlaku di dalam gelombang ultrasound yang terlantun daripada objek yang bergerak seperti sel-sel darah.
Pengimejan jenis ini menawarkan maklumat terperinci tentang peredaran yang terutamanya sangat berfaedah jika ibu mengalami tekanan darah tinggi ataupun apabila bayi berkembang pada tahap yang lebih perlahan berbanding sepatutnya.
* Ekokardiografi janin; memberikan butiran lanjut keadaan jantung bayi yang digunakan sebagai pengesahan atau menyingkirkan kecacatan jantung kongenital.
No comments:
Post a Comment