Monday, September 11, 2006

Dwipolar sakit mental kronik

Berita Harian, 10 September 2006

Oleh Hanisah Selamat

Tekanan perasaan kritikal dapat dilihat melalui perubahan segera tingkah laku seseorang sama ada terlalu gembira atau murung


BERBANDING skizofrenia, dwipolar yang juga cabang penyakit mental kurang diketahui umum. Dianggarkan 10 peratus penduduk di negara ini dilanda tekanan perasaan tahap kritikal, namun hanya 20 peratus daripada 2.7 juta itu bertemu pakar.

Kesan paling ketara yang boleh dilihat dengan mata kasar ialah perubahan tingkah laku sama ada berubah terlampau gembira atau murung (mania) dalam tempoh terlalu panjang. Ketidakseimbangan kimia di dalam otak antara faktor penyebab perubahan mood mendadak pesakit dwipolar.

Namun, tidak ramai berani mencari penyelesaian masalah mereka hingga sukar dikesan. Stigma masyarakat yang memandang negatif pesakit menyebabkan individu malu mendapatkan bantuan.

Pada masa sama, pemahaman me­­nge­nai dwipolar yang terlalu rendah dikatakan punca tidak ramai menyedari mereka mempunyai simptom penyakit berkenaan. Mengikut soal selidik Morselli dan Elgie di Eropah, purata 5.7 tahun diperlukan untuk mengesahkan dwipolar dengan tepat.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (PPM), Profesor Maniam Thambu, berkata di negara maju sekali pun, penderita dwipolar sering diberi diagnosis yang salah disebabkan doktor kurang memahami gejala dan simptom berkaitan penyakit itu.

Katanya, di Malaysia, dwipolar mendu­duki tempat kedua selepas skizofrenia sekali gus menunjukkan penyakit ini perlu dirawati segera bagi membolehkan pesakit menjalani kehidupan normal manakala negara tidak kehilangan sumber tenaga berkebolehan.

“Pemahaman mengenai dwipolar amat kurang hingga pesakit tidak mampu diubati lebih awal. Tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka yang me­­ngalami tekanan perasaan pula antara faktor menyebabkan mereka malu mendapatkan nasihat dan rawatan.

“Perlu diketahui kelewatan rawatan boleh mendorong pesakit melakukan tindakan ekstrem termasuk mencedera­kan orang lain atau bunuh diri. Mereka juga akan kehilangan 10 tahun daripada hidup mereka,” katanya ketika melancarkan kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku.

Kempen sempena Kongres Psikiatrik Sedunia ke-19 itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan penghidap, keluarga dan orang ramai supaya segera bertindak seterusnya mengubah stigma buruk berkaitan penyakit berkenaan.

Apakah dwipolar?

Penyakit ini turut dikenali sebagai manic-depressive illness iaitu gangguan biologi yang menyerang sekurang-kurang tiga hingga empat peratus populasi dewasa di seluruh dunia. Kini dengan kesedaran dan ketepatan diagnosis, jumlah pesakit sebenar dijangka terus meningkat. Dwipolar boleh dianggap penyakit kronik kerana dianggarkan kira-kira 90 peratus pesakit akan mengalami sembilan fasa dwipolar sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat segera.

Kaedah rawatan

Usaha penyembuhan dwipolar dibahagikan kepada beberapa komponen iaitu ubat, rawatan psikososial, dan terapi elektrokonvulsif (ECT) atau kombinasi semua kaedah ini. Malah pemberian ubat-ubatan turut dipecahkan kepada beberapa bahagian bergantung kepada keperluan mereka.

Rawatan psikososial dan ubat

Digabungkan bersama ubat untuk menstabilkan mood sekali gus memulihkan fungsi harian. Pakar turut memberi panduan kepada pesakit dan keluarga mengenai penyakit ini. Antara lain pesakit diberi galakan supaya lebih bersemangat mengharungi kehidupan serta menanga­ni cabaran. Rawatan terapi yang dikete­ngahkan termasuk pendidikan, kognitif tingkah laku, keluarga, pemulihan cara kerja dan kumpulan sokongan.

Rawatan psikososial

Ia diberikan untuk menghentikan episod mania serta kes berkaitan seperti jika keadaan terlampau teruk hingga pengam­bilan ubat tidak memberi kesan, ubat kurang sesuai disebabkan penyakit atau kehamilan dan terdapat halusinasi dan rayan.

Pembabitan masyarakat

Tanggapan negatif mengenai penderita sakit mental hingga menyisihkan mereka perlu diubah. Pengerusi Penganjur Kempen, Dr Abdul Kadir Abdul Bakar, berkata stigma salah itu perlu diperbe­­tulkan kerana tanpa sokongan masya­­rakat pesakit tidak mungkin mampu menjalani hidup normal.

Katanya, kaedah rawatan termasuk terapi disyorkan pakar namun pembabi­tan keluarga serta masyarakat amat pen­­ting bagi memastikan pesakit tidak berasa dirinya terpinggir.

“Sejak dulu tanggapan mengenai pe­­nyakit mental begitu berbeza dengan pe­­nyakit lain. Pandangan serong orang ramai juga membuatkan sesetengah keluarga malu mengakui ada di kalangan saudara mempunyai masalah ini. Sikap malu ini seterusnya menyukarkan individu pergi bertemu doktor bagi mengubati mereka.

“Akhirnya, kombinasi diagnosis yang tidak tepat ditambah kelewatan mendapatkan rawatan membuatkan keadaan pesakit semakin teruk. Hakikatnya soko­­ngan sekeliling membolehkan mereka lebih bersemangat meneruskan hidup,” katanya.

Antara individu popular yang pernah mengalami dwipolar ialah Beethoven, Hans Christian Anderson, Jimi Hendrix, Winston Churchill, Jim Carrey dan Mike Tyson.

Proses pemulihan

Seperti penyakit berkaitan mental lain, proses penyembuhan bergantung kepada biologi pesakit. Jika dapat dikesan awal, ia tidak mengambil masa panjang tetapi pesakit harus mengikuti nasihat doktor. Mengikut kajian Majlis Penasihat Kesihatan Mental Amerika Syarikat, kadar kejayaan rawatan gangguan dwipolar agak cemerlang iaitu 80 peratus daripada pesakit dapat dipulihkan.

Kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku

Objektif kempen yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu menjurus kepada pemahaman mengenai dwipolar di kalangan masyarakat dan pesakit. Sekali gus kempen anjuran MPA sebagai langkah strategik menggalakkan individu yang terbabit mendapatkan rawatan segera. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari laman web http://www.psychiatry-malaysia.org.

Kes

Tina, 30, tidak mahu mengakui kemurungan yang dihadapi selepas kematian bapanya enam tahun lalu adalah tanda dwipolar. Dia berasa dirinya penyebab kehilangan ayah tersayang.

Sikap ibu yang terlampau bergantung kepadanya menambah tekanan malah situasi bertambah buruk apabila adiknya pula meninggal dunia. Bagi mengurangkan tekanan dia mula menjadi pemabuk.

Dia mengalami perubahan mood ketara hingga ke tahap mania. Walaupun rakan menasihatkannya berjumpa doktor, Tina masih tidak mahu mengakui dia mengalami tekanan perasaan.

Hanya empat tahun kemudian - sebaik saja membaca perihal dwipolar di internet - dia terbuka hati mendapatkan rawatan. Kini, selepas dua tahun Tina beransur pulih dan secara sukarela bergiat dalam kumpulan sokongan membantu teman senasib.

Faktor dwipolar

Sejarah keluarga -
Jika di kala­­ngan keluarga mempunyai penya­kit ini bermakna potensi individu mengalami dwipolar tinggi.

Ketidakseimbangan kimia - Tahap norepinehrine di dalam ba­­­dan yang terlalu tinggi boleh menjadi perangsang kepada dwipolar.

Faktor sekeliling -
Tekanan kehidupan, kaki botol dan penagih dadah berisiko besar.

Ubat-ubatan -
Pengambilan berlebihan ubat tekanan perasaan, darah tinggi dan steroid.

Perubahan hormon -
Tempoh mengandung, bersalin atau menopaus kritikal bagi sesetengah wanita.

Simptom

  • Mood terlampau, sama ada terlalu gembira atau murung.
  • Sukar tidur.
  • Cepat marah.
  • Lebih aktif.
  • Kesukaran memberi tumpuan.
  • Lemah pertimbangan.
  • Hilang minat terhadap perkara yang disukai.
  • Rendah harga diri.
  • Sentiasa berfikir mengenai kematian atau bunuh diri.

    Ubat

  • Penstabil mood (lithium, sodium valproate carbamazepine. lamot rigine).
    - memberikan kelegaan daripada serangan fasa mania.
    - mencegah serangan episod berulang.
    - bergantung kepada keadaan, ubat ini mungkin perlu diambil lebihdaripada setahun.
    - selalunya ubat ini turut digabungkan dengan rawatan psikososial.
  • Antipsikotik (haloperidol, chlor promazine, quetiapine, olanza pine, risperidone, ziprasidone)
    - merawat simptom mania.
    - digabungkan dengan ubat penstabil mood untuk menseimbangkan rawatan.
    - Antikemurungan (fluxetine, sertraline, venlafaxine, amitriptyline).
    - merawat simptom murung
    - digabungkan dengan penstabil mood kerana antitekanan boleh me­n­­­­­­­­­cetus kehadiran mood terlampau.

  • No comments: