Sunday, September 24, 2006

Remaja lembam fikiran hilangkan diri cari ‘Insp. Aleza’

Utusan Malaysia, 24 September 2006

Oleh: ROSMAWATI MION dan UMAVATHI RAMAYAH


MOHD. AMIR MOHD. MOKHTAR.

KUALA LUMPUR 23 Sept. – ‘‘Saya datang ke KL untuk cari Inspektor Aleza (lakonan Abby Abadi, kanan) dan rakan-rakannya dalam drama bersiri Gerak Khas.

‘‘Saya benar-benar minat mereka dan rancangan itu,’’ kata remaja lembam fikiran, Mohd. Amir Mohd. Mokhtar , 23, yang hilang dari rumahnya di Kampung Tengah, Tualang, Pokok Sena, Kedah, Selasa lalu.

Mohd. Amir ditemui dalam keadaan sihat di Taman Samudera, Batu Caves, awal pagi ini.

Menurut bapanya, Mohd. Mokhtar Adam, 54, anaknya itu ditemui sedang menjamu selera seorang diri di sebuah warung di taman perumahan itu pada kira-kira pukul 1 pagi.

Kata Mokhtar, panggilan ‘misteri’ yang diterimanya pada pukul 12.30 malam tadi akhirnya menemukan beliau dengan Mohd. Amir yang didakwa tidak pergi ke mana-mana selain berada di sekitar Kuala Lumpur sejak meninggalkan rumah Selasa lalu.

‘‘Saya cuma sempat berkata ‘helo’ sebelum talian terputus. Kemudian saya cuba menelefon semula beberapa kali, tetapi gagal.

‘‘Lantas, saya cuba meminta bantuan Telekom (103) untuk mengesan nombor itu dan diberitahu ia talian telefon awam di Taman Samudera, Batu Caves.

‘‘Cepat-cepat saya hubungi anak saya yang bekerja di Universiti Islam

Antarabangsa untuk ke sana bagi mencari adiknya.

‘‘Kemudian kira-kira pukul 1 pagi, anak saya menelefon memberitahu telah bertemu dengan Mohd. Amir dan terus membawanya pulang ke rumahnya di Keramat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, panggilan ‘misteri’ itu sebenarnya datang daripada Mohd. Amir.

‘‘Dia (Mohd. Amir) tidak cukup wang syiling, katanya dia cuma mempunyai 10 sen, sebab itu terputus,’’ ujar Mokhtar.

Selasa lalu, Mokhtar yang merupakan pesara polis terpaksa memandu kereta sejauh hampir 500 kilometer dari Alor Star ke Jalan Duta, Kuala Lumpur apabila mendapati anaknya keluar dari rumah tanpa pengetahuan sesiapa.

Mohd. Amir yang menunggang motosikal Kriss, meninggalkan rumah mereka di Kampung Tengah, Tualang, Pokok Sena bersama sebuah beg pakaian tanpa disedari oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 4 pagi.

Sejak kisahnya disiarkan Utusan Malaysia, Mohd. Mokhtar menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang mendakwa terserempak remaja terbabit di Kuala Lumpur dan Manjung, Perak.

Mokhtar yang tiba di ibu negara hari ini berkata, Mohd. Amir keluar rumah semata-mata untuk mencari pelakon-pelakon siri Gerak Khas dan membawa bersama wang tunai RM800 termasuk yang diambil daripada wang hasil jualan padi bapanya.

Jelas Mokhtar, sepanjang hidup ‘berdikari’ selama beberapa hari itu, anaknya tidur di surau, kaki lima di Jalan Chow Kit dan semalam di hotel semata-mata untuk menonton siri kegemarannya, Gerak Khas.

‘‘Dia letak motor di satu tempat, kemudian jalan sampai penat dan kembali semula ambil motornya. Saya bersyukur dia dah bijak sekarang. Dia juga tahu gambarnya keluar surat khabar menyebabkan dia takut bila nampak polis.

‘‘Dia disamun penagih dadah yang mengugut dengan pisau dan mengambil wang RM350 tetapi masih ada lagi RM100 dalam begnya,” ujar Mokhtar yang berterima kasih kepada Utusan Malaysia dan orang ramai yang membantu sehingga anaknya ditemui.

Sementara itu, usaha Mingguan Malaysia untuk mempertemukan para pelakon Gerak Khas dengan Mohd. Amir hari ini tidak kesampaian.

Ini kerana semasa pertemuan itu sedang diatur, Mohd. Amir dan keluarganya sudah ke Alor Star kira-kira pukul 7 malam.

Pengarah Gerak Khas, Datuk Yusuf Haslam semasa dihubungi menyatakan rasa hampa tidak dapat menemukan Mohd. Amir dengan para pelakon filem arahannya.

‘‘Rasanya bukan Abby sahaja yang sudi menemuinya tetapi saya sendiri sedia bertemunya seandainya itu dapat memenuhi impiannya,’’ katanya.





No comments: