Saturday, September 02, 2006

Bajet wawasan

Utusan Malaysia, 2 september 2006

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS

ABDULLAH Ahmad Badawi menunjukkan laporan Bajet 2007 sebelum membentangkannya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membentangkan Bajet 2007 yang menyaksikan kerajaan akan melonjakkan perbelanjaan pembangunan, selain berusaha mengukuhkan modal insan ke arah persediaan menuju status negara maju 2020.

Di masa penekanan itu diberi penumpuan, Perdana Menteri turut mengajak rakyat berwaspada kepada cabaran di hadapan mereka.

‘‘Dalam meniti perjalanan 15 tahun ke hadapan ini, kita akan menghadapi pelbagai dugaan - pelbagai cabaran; kita mungkin memiliki pelbagai kelemahan - pelbagai ketidaksempurnaan.

‘‘Kita juga mungkin melakukan kesilapan,’’ tegasnya ketika membentangkan Bajet 2007 di Dewan Rakyat petang ini.

Dalam hubungan itu, Abdullah turut mengingatkan mengenai soal perpaduan antara kaum yang menjadi tunjang kepada kejayaan negara ini.

Katanya, kejayaan pelaksanaan Bajet 2007 itu turut bergantung kepada kesungguhan rakyat, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, untuk menjayakan langkah-langkah yang digariskan di dalamnya.

Oleh itu, ketika membentangkan bajet yang bertema ‘Melaksanakan Misi Nasional Ke Arah Mencapai Wawasan Negara’ itu, Abdullah menyeru: ‘‘Marilah kita bersama bertekad dan berusaha dengan lebih gigih, tekun dan jujur untuk membina sebuah negara maju menjelang 2020.’’

Bajet 2007 ini memperuntukkan dana sebanyak RM159.4 bilion, meningkat berbanding RM136.8 bilion tahun ini.

Ini adalah belanjawan pertama selepas pembentangan RMK-9, Mac lalu. Ia juga merupakan pembentangan ketiga Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada akhir 2003.

Mengenai bajet itu, Abdullah berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar kewangan berkembang bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Ia bagi memastikan negara memenuhi sasaran Misi Nasional yang diperkenalkan dalam RMK-9.

Selaras dengan matlamat RMK-9 juga, bajet itu menjadikan lima teras Misi Nasional sebagai asas perancangan agihan perbelanjaan pada tahun depan.

Bajet kali ini turut memperlihatkan banyak penghargaan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam, seperti bonus, imbuhan tetap perkhidmatan awam serta pemanjangan faedah bantuan kos sara hidup (Cola).

Kerajaan juga memansuhkan yuran peperiksaan bagi UPSR, PMR, SPM dan STPM di semua sekolah kerajaan mulai tahun depan untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 5.5 juta murid di negara ini.

Dalam usaha membangunkan modal insan,

Abdullah mengumumkan, daripada peruntukan RM33.4 bilion, RM6.7 bilion disalurkan kepada pendidikan rendah, pendidikan menengah (RM6.2 bilion), pengajian tinggi (RM10.4 bilion) dan program latihan (RM10.1 bilion).

“Melalui peruntukan tersebut, ia akan memudahkan usaha membangunkan modal insan yang selama ini menjadi prasyarat penting memacu pertumbuhan rantaian ekonomi dengan berpaksikan pengetahuan serta teknologi,” katanya.

Bajet itu turut dianggap sebagai mesra perniagaan berikutan keputusan menurunkan cukai korporat sebanyak dua peratus secara berperingkat, kepada 27 peratus tahun depan dan 26 peratus pada 2008.

Kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai sebanyak RM2 bilion melalui pengurangan tersebut.

Abdullah berkata, Bajet 2007 merupakan satu agenda tindakan untuk memacu pelaksanaan Misi Nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Prospek ekonomi global bagi 2007 dijangka lebih sederhana disebabkan kesan harga minyak yang kekal tinggi, tekanan inflasi, peningkatan kadar faedah dan ketegangan geopolitik (jadi) ia sudah tentu akan mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, dalam Bajet 2007, kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal berkembang di samping langkah untuk merancakkan lagi kegiatan sektor swasta,” katanya.

Menurutnya, antara teras utama Misi Nasional ialah membolehkan sektor swasta menerajui semula pembangunan ekonomi negara serta menggiatkan penjanaan sumber pertumbuhan baru.

“Perubahan berterusan ke arah ekonomi berpaksikan teknologi dan pengetahuan menuntut kepada tenaga kerja mahir yang berkeupayaan, sesuai dengan keperluan industri.

“Oleh itu langkah akan diambil bagi meningkatkan lagi akses kepada sistem pendidikan dan latihan berkualiti di semua peringkat,” katanya.

Kadar defisit bagi 2007 diunjurkan terus mengecil kepada 3.4 peratus berbanding 3.5 peratus tahun ini, memberikan kebebasan kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan.

Ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar enam peratus tahun depan daripada unjuran 5.8 peratus tahun ini.

Menurut Abdullah, daripada jumlah dana yang diperuntukkan tahun ini, sebanyak RM112.9 bilion adalah bagi peruntukan mengurus, meningkat sebanyak 11.6 peratus dan RM46.5 bilion disediakan bagi peruntukan pembangunan, bertambah ketara sebanyak 31 peratus,” katanya.

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM134.8 bilion dan hampir 40 peratus daripadanya merupakan hasil berkaitan petroleum, terutamanya dividen daripada Petronas.

“Peningkatan ketara ini membolehkan kerajaan terus melaksanakan dasar fiskal mengembang bagi menyokong kegiatan ekonomi (tetapi pada masa yang sama) mengurangkan lagi defisit belanjawan,” kata Perdana Menteri.

Bagi peruntukan pembangunan, jumlah terbesar sebanyak RM20.8 bilion disediakan kepada sektor ekonomi termasuk pertanian, perindustrian dan infrastruktur.

Sebanyak RM14.2 bilion pula diperuntukkan kepada sektor sosial yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Sektor keselamatan pula menerima RM6.8 bilion, pentadbiran sebanyak RM2.7 bilion dan simpanan luar jangka RM2 bilion.

*Perbelanjaan

Bagi memantapkan sistem pendidikan dan latihan, sejumlah RM33.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, mewakili 21 peratus keseluruhan Bajet 2007.

Sebanyak 22 buah sekolah menengah dan rendah baru akan mula beroperasi, manakala 108 buah lagi akan dibina tahun depan.

Bagi memperkasakan sekolah kebangsaan pula, Bahasa Cina dan Tamil akan diajar sebagai mata pelajaran penuh, masing-masing di 150 dan 70 sekolah kebangsaan di seluruh negara.

Kadar bantuan bagi murid keluarga miskin di sekolah rendah pula dinaikkan kepada RM50 sebulan daripada RM30 manakala biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar sekolah rendah ditingkatkan kepada RM70 berbanding RM50.

Kanak-kanak kurang upaya juga tidak ketinggalan dengan elaun mereka di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti dinaikkan kepada RM50 sebulan berbanding RM25 sebulan sekarang.

Sebagai penggalak pemilikan komputer, tempoh layak menuntut galakan cukai bagi pembelian komputer dipendekkan kepada setiap tiga tahun daripada lima tahun.

Jumlah rebat cukai bagi pembelian komputer sebanyak RM500 pula diubah kepada pelepasan cukai RM3,000.

Selaras matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, kerajaan turut memberikan pengecualian cukai pendapatan kepada semua institusi perbankan Islam dan takaful yang menjalankan aktiviti dalam mata wang asing.

Bagaimanapun, kerajaan turut menekankan keperluan syarikat korporat terutamanya syarikat senaraian awam untuk menzahirkan pencapaian tanggungjawab sosialnya kepada umum.

Ia termasuk penyediaan peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan dan bumiputera serta komposisi pekerja syarikat berdasarkan kaum.

Selaras dengan penekanan gaya hidup sihat, duti eksais spesifik bagi rokok dinaikkan sebanyak satu sen sebatang.

Bagi minuman keras yang memiliki kandungan alkohol lebih 40 peratus pula, duti eksais spesifiknya dinaikkan sebanyak RM5 seliter.

No comments: