Ramai OKU buktikan kemampuan
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
JIKA dulu orang kurang upaya (OKU) dianggap tidak mempunyai peranan serta diketepikan daripada arus pembangunan negara, kini nasib golongan itu semakin berubah termasuk berpeluang mendapatkan pekerjaan.
Sehingga Jun lalu, kira-kira 130,000 OKU sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jumlah itu bukan sedikit dan satu kerugian jika sumbangan mereka dipersia-siakan.
Walaupun mereka tidak seperti manusia normal, tidak bermakna mereka tidak mampu menyumbang sesuatu untuk meningkatkan ekonomi diri dan negara.
Peluang harus diberi kepada golongan itu, apa lagi sudah ramai OKU yang membuktikan kemampuan mereka.
Di Jepun, nasib golongan itu lebih terjamin kerana kerajaannya mewajibkan sektor swasta menggaji OKU dan syarikat yang gagal berbuat demikian dikenakan levi.
Seharusnya perkara yang sama dibuat di negara ini. Walau apapun, OKU tidak harus menjeruk rasa kerana peluang bekerja tetap ada untuk mereka.
Golongan ini perlu diberi peluang menunjukkan kemahiran mereka kerana ia bukan saja membantu menghilangkan rasa rendah diri, malah dapat memberi mereka punca pendapatan serta menghalang mereka daripada terjebak menjadi pengemis atau semata-mata mengharapkan belas ihsan orang lain.
Antara sumber kekuatan OKU adalah sokongan daripada pertubuhan OKU serta badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang serta membela nasib golongan itu.
OKU perlu mempunyai hubungan akrab dengan persatuan seumpama itu supaya jalan mereka untuk mencapai sesuatu akan lebih lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada NGO terbabit.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Peluang Pekerjaan Untuk Orang Kurang Upaya pada 29 Jun lalu berkata, projek Rancangan Malaysia Ke-9 menjurus kepada pembangunan warga OKU.
Katanya, kerajaan sudah memperuntukkan RM22 juta untuk mewujudkan golongan usahawan OKU berjaya yang akan keluar menjadi majikan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU.
Menurutnya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengambil cabaran itu kerana menyedari masih kurang majikan yang berkeyakinan dan bersedia menggaji OKU.
Oleh itu, di samping usaha melaksanakan penempatan OKU di tempat kerja secara konvensional, jabatan berusaha mewujudkan majikan di kalangan OKU yang akan membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
Menurut maklumat daripada Kementerian Sumber Manusia, buat masa ini, dianggarkan ada lebih 60,000 OKU mampu bekerja. Daripada jumlah ini, hanya 8,175 pencari kerja OKU sudah berdaftar dengan JTK dan seramai 6,440 berjaya ditempatkan.
Masih ramai lagi pencari kerja OKU yang belum mendaftar dengan JTK dan yang sedang menanti peluang pekerjaan.
Golongan OKU tidak harus bersikap merendah diri, mereka harus berani dan percaya pada kemampuan sendiri untuk merebut peluang pekerjaan.
Mereka harus kuatkan semangat dan berusaha mencari peluang berjaya. Jika tidak dapat makan gaji, mereka boleh mencuba membuka perniagaan walaupun secara kecil-kecilan, asalkan tidak perlu mengharap ihsan orang lain.
Selalunya golongan ini mendapat latihan dalam bidang kemahiran seperti kraftangan.
Oleh itu, kemahiran seperti ini boleh digunakan untuk menyara diri dan keluarga.
Sikap berdikari akan meningkatkan keyakinan diri OKU apabila mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
Mereka juga boleh berdikari melalui pembabitan dengan aktiviti jualan langsung, atau bekerja dari rumah melalui konsep ‘teleworking’.
TIP Tingkat keyakinan diri
- OKU perlu diberi peluang mendapat punca pendapatan untuk menghalang mereka daripada terjebak menjadi pengemis atau semata-mata mengharap belas ihsan orang lain.
- Selalunya golongan ini mendapat latihan dalam bidang kemahiran seperti kraftangan. Maka, kemahiran seperti itu boleh digunakan untuk mendapatkan pendapatan sendiri.
- OKU boleh berdikari melalui perniagaan secara kecil-kecilan, pembabitan dengan aktiviti jualan langsung, atau bekerja dari rumah melalui konsep ‘teleworking’.
- Sikap berdikari akan meningkatkan keyakinan diri apabila mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
- OKU perlu mempunyai hubungan akrab dengan pertubuhan OKU serta badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang serta membela nasib golongan itu, supaya jalan mereka untuk mencapai sesuatu akan lebih lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada NGO terbabit.
No comments:
Post a Comment