Thursday, September 28, 2006

Murid balang oksigen belajar berpuasa

Utusan Malaysia, 28 September 2006

Oleh SHARIZA ABDULLAH


MOHAMAD Zulhilmi Yahya tabah mengerjakan ibadat puasa sambil menyiapkan kerja sekolah di rumahnya di Taman Makmur, Kulim, Kedah, semalam. – Gambar Shamsudin Salleh.


ALOR STAR 27 Sept. - Meskipun penghidap penyakit paru-paru kronik, Mohamad Zulhilmi Yahaya baru berusia tujuh tahun, namun ia tidak menghalangnya berpuasa seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Zulhilmi yang menghidap jangkitan paru-paru Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun, tetap menggagahkan dirinya untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu walaupun dengan penuh kesukaran termasuk terpaksa memakai satu tiub pernafasan pada hidungnya.

Apa yang menggembirakan, kanak-kanak yang pernah mendapat liputan akhbar ekoran keadaannya itu, berjaya berpuasa penuh semalam walaupun gagal melaksanakannya pada hari pertama, Ahad lalu.

“Pada hari pertama, dia hanya mampu ‘berpuasa’ separuh hari kerana tidak larat untuk menghabiskannya.

“Namun semalam dia dapat berpuasa penuh. Inilah kali pertama dia berpuasa sejak menghidap penyakit tersebut kira-kira tiga tahun lalu,” kata ibunya, Norizan Yeop, 39, ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah kesusahan dan penderitaan Mohamad Zulhilmi dari Taman Makmur, Lunas yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram ke sekolah mendapat perhatian umum setelah Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenainya pada awal tahun ini.

Balang oksigen itu terpaksa dibawa setiap hari bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami jangkitan paru-paru Bronchiolotis Obliterans itu bernafas dengan selesa.

Berikutan laporan itu, pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan kepadanya termasuk pengurangan kos pembelian bekalan gas itu oleh Malaysia Oxygen Bhd. (MOX).

Menurut Norizan, anak tunggalnya itu beria-ia untuk berpuasa dan dia memberi sepenuh sokongan kerana menyifatkan Ramadan sebagai bulan penuh berkat dan rahmat yang perlu direbut oleh setiap individu.

“Mana tahu nanti penyakitnya akan sembuh sepenuhnya berkat bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, semasa bersahur dia akan memastikan Zulhilmi yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Seluang, Lunas, dekat sini mengambil kesemua ubatnya sebagai ‘bekalan’ untuknya berpuasa.

Selepas berbuka pula, katanya, dia akan memastikan Zulhilmi terlebih dahulu menggunakan penyedut (inhaler) sebelum menjamah makanan.

Norizan menjelaskan, dia tidak pernah memaksa Zulhilmi berpuasa kerana memahami kesihatan dan usia anaknya yang masih muda.

‘‘Setakat mana kemampuan Zulhilmi berpuasa adalah bergantung kepada kesihatannya dan saya akan meminta dia berbuka sekiranya tidak larat. Yang penting dia belajar berpuasa setakat yang termampu,” katanya.

No comments: