Monday, September 18, 2006

PDK Permas Jaya terima sumbangan

Berita Harian, 18 september 2006

JOHOR BAHRU: Great Eastern Life Assurance (M) Bhd (Great Eastern) di sini menderma peralatan khas bernilai RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permas Jaya dan Kulai, baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan adalah sebahagian projek amal yang dijalankan syarikat berkenaan melalui program Penjagaan Kanak-kanak Great Eastern.

Replika cek itu disampaikan Ketua Pentadbiran Great Eastern Johor Bahru, Bob Lor kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Manayi Ibrahim.

Pengurus Great Eastern negeri, James Phang, berkata PDK Permas Jaya dan Kulai mempunyai lebih 20 kanak-kanak istimewa seperti Sindrom Down, ketidakupayaan belajar, terencat akal dan cacat anggota yang kebanyakannya berusia antara lima hingga 17 tahun.

"Kita berharap dengan adanya peralatan berkenaan kehidupan kanak-kanak berkenaan akan lebih baik dan memudahkan proses pemulihan serta memperbaiki tahap kesihatan mereka dengan membentuk keperluan fisiologi dan aktiviti sosial," katanya.

Program Penjagaan Kanak-kanak Great Eastern dimulakan pada 1995 untuk mewujudkan semangat penyayang dan perkongsian antara kakitangan dan ahli syarikat itu dan sudah menyumbang lebih RM1 juta kepada lebih 70 pertubuhan amal kanak-kanak seluruh negara.

Setiap tahun, kakitangan dan ahli Great Eastern bersama-sama mengumpul sumbangan daripada orang ramai dengan hasilnya akan didermakan untuk keperluan kanak-kanak istimewa.

Selain menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan amal dan rumah yang dinaungi Yayasan Kebajikan negara, program itu juga menganjurkan pelbagai projek dan acara untuk kumpulan sasar mereka forum kanak-kanak, sesi terapi seni dan perkhemahan remaja.

No comments: